Assalamualaikum wrt wbt. Saya amat berharap confession ini disiarkan kerana ini adalah nasihat ikhlas daripada saya untuk para ibu tunggal di luar sana.
Saya terbuka hati untuk menulis confession ini selepas membaca beberapa luahan yang dibuat oleh beberapa orang ibu tunggal berkenaan hal memulakan kehidupan baru dengan orang baru. Untuk pengetahuan, saya juga merupakan seorang ibu tunggal dengan sepasang anak yang merupakan cinta hati saya yang amat saya sayangi lebih daripada nyawa saya sendiri (saya yakin orang lain yang mempunyai anak-anak pun begitu jua).
Ketika ini saya sedang melanjutkan pengajian di universiti, dan menguruskan anak-anak saya seorang diri. Saya telah 5 tahun menjadi ibu tunggal setelah diceraikan kerana orang ketiga wpun telah puas berusaha menyelamatkan rumahtangga saya demi anak-anak dan amat memahami apa yang dirasai oleh orang – orang yang senasib dengan saya. Timbul perasan kasihan pada confessor2 sebelum ini, maka kerana itu lah saya membuat keputusan untuk berkongsi pengalaman dan pendapat saya. Semoga menjadi manfaat dan pedoman bersama di masa depan.
Berdasarkan pengalaman saya, bukan mudah untuk seorang ibu tunggal bangkit semula daripada kelukaan masa silam. Lebih payah sekiranya takdir itu terjadi atas asbab penceraian. Ibu tunggal yang bercerai bukan sahaja perlu bangkit untuk menguruskan kehidupan diri dan anak-anak seorang diri, tetapi juga perlu bangkit untuk melawan emosi negatif yang timbul akibat penceraian seperti rasa rendah diri, rasa tak berharga, merasa diri tiada apa yang istimewa, rasa lonely dan juga cemburu melihat keluarga sempurna dan bahagia yang dimiliki orang-orang di sekeliling kita.
Sebenarnya, perjuangan melawan emosi supaya sentiasa positif itu lebih hebat cabarannya berbanding perjuangan memenuhi keperluan material diri dan anak-anak. Kadang-kadang hati kecil tersentuh bila anak-anak pulang dari sekolah bercerita tentang diejek kerana tiada ayah, bertanya tentang ayah. Kadang-kadang ada tugasan sekolah yang diberikan pihak sekolah seperti buat karangan mengenai keluarga, lukis salasilah keluarga… yang menuntut saya menjadi sekreatif yang mungkin untuk menjawab soalan anak-anak. Kreatif, kerana tidak mahu memburukkan ayah mereka, dan tidak mahu mereka menjadi anak derhaka.
Kadang-kadang hati luluh melihat anak-anak cuba menumpang kasih sekali sekala dengan ayah kawan-kawan mereka dan juga cikgu lelaki. Samada saya ataupun anak-anak, kami sebenarnya amat cemburu melihat keluarga yang dilengkapi dengan seorang bapa/suami. Tetapi itulah takdir yang kami perlu terima. Dan telah saya tanamkan berkali – kali di minda anak-anak saya untuk bersyukur dengan apa yang kami ada, we have each other, we love each other … dan kehadiran seorang ayah tidak perlu kerana we are already strong because we have each other. Semua ini saya cakap banyak kali pada anak- anak saya supaya mereka tidak merasakan hidup mereka cacat tanpa ayah.
Untuk diri saya sendiri, gelaran janda yang saya bawa ini sedikit sebanyak memberi tekanan dalam pergaulan saya. Saya juga mengalami rasa rendah diri sehinggakan pernah menolak untuk menjadi imam solat berjemaah antara sahabat2 perempuan, kerana merasakan orang yang bergelar isteri lebih layak menjadi imam. Berasa rendah diri untuk berbual dengan rakan-rakan kerana merasa diri ini tiada apa pun yang menarik untuk dikongsi. Berasa payah untuk jemput rakan-rakan datang berjamu di rumah kerana mereka ada suami. Sudah pastilah suami mereka mati kutu kerana saya tiada suami untuk menjadi teman beramah mesra.
Disebabkan segala tekanan perasaan dan gangguan emosi ini, maka saya juga pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Inilah yang ingin saya kongsikan bersama confessor2 sebelum ini. Suatu hakikat yang kita perlu terima apabila bergelar ibu tunggal, ialah jangan lah begitu mengharapkan akan hadir seorang lelaki yang akan menjadi penyelamat. Yang akan mengisi kekosongan di hati kita dan anak-anak kita. Yang akan melindungi kita. Yang akan sanggup menerima kita dan anak-anak kita dengan setulus ikhlas hati. Yang akan menjadi penawar pada kecacatan sosial yang kita alami.
Suatu hakikat besar yang perlu kita sedari, kebarangkalian untuk hadirnya seorang lelaki yang sanggup terima kita dengan segala pakej yang kita ada dengan setulus dan seikhlas hati … adalah hampir tiada wpun tidak mustahil. Bukan mudah untuk seorang lelaki menyayangi anak-anak kita dengan ikhlas. Mungkin sekali sekala berjumpa anak- anak kita mereka boleh beli aiskrim dan bergurau senda, tetapi terlalu sedikit lelaki di atas dunia ini yang sanggup untuk bertanggungjawab mendidik dan menyayangi anak-anak kita hingga menjadi manusia berguna hingga ke syurga.
Suatu hakikat lagi yang perlu kita terima, payah untuk berjumpa lelaki yang sanggup terima masa silam kita. Sebagai ibu tunggal, kita juga bertanggungjawab untuk sentiasa menjadi jambatan antara anak-anak dan ayah kandung mereka. Lebih daripada itu termasuk juga keluarga bekas suami, kerana anak-anak kita juga adalah cucu bekas mertua, dan anak-anak saudara biras kita. Situasi akan jadi sukar sekiranya suami baru tidak memahami dan menyebabkan kita tersepit antara menjaga hati suami dan menjaga silaturrahim dengan bekas suami sefamili supaya tidak terputus.
Dan juga suatu hakikat besar lagi, mampukah untuk seorang lelaki menerima diri kita seadanya? Kita ni ibu tunggal, dah beranak pinak. Sebahagian daripada kita kelihatan lebih berusia kerana situasi kita dan tekanan untuk bangkit menjadikan kita tiada masa untuk menjaga diri sendiri sampai tak sedar yang wajah kita, diri kita tidak secantik zaman anak dara dahulu. Dan lelaki secara naturenya memang suka memandang yang cantik. Silap hari bulan selepas kahwin kita semakin tertekan dengan piawaian suami baru.
Kerana hakikat-hakikat ini lah, fikiran untuk berkahwin baru telah jauh saya benamkan di dasar hati paling dalam. Hati memang ingin memiliki keluarga yang lengkap dan bahagia, tapi keinginan itu saya tanam sedalam-dalamnya di lubuk hati yang paling dasar. Bukan niat saya untuk memunahkan harapan sendiri dan harapan rakan-rakan ibu tunggal yang membaca confession ini. Tetapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Dan kerana itu kita perlu bangkit sendiri dari segi fizikal dan emosi… bangkit sendiri tanpa perlu ada tongkat dari seorang suami baru.
Saya berpendapat dari kecil hinggalah sekarang ini, kita sentiasa di’brainwash’ bahawa lelaki adalah penyelamat. Dari kisah Cinderella, snow white, bawang putih bawang merah …. Semuanya kisah yang akhirnya perempuan hanya menemui bahagia bila berjumpa dengan hero penyelamat. Kerana itu, saya juga pernah ada fikiran yang sama. Bila sedih-perlu suami; anak sedih-perlu ayah; bila sunyi-perlu suami; bila susah-perlu suami … semuanya rasa sungguh payah dan sedih kerana tiada suami. Sehinggalah saya katakan pada diri, sebenarnya kami tidak perlukan suami dan ayah… kami perlukan ALLAH. Cukuplah Allah untuk kami.
Saya keluar daripada kepompong kesedihan, kesunyian, ketidak sempurnaan … setelah sedar yang kami ada ALLAH. Sebelum ini bukan saya tidak sedar, tapi saya selalu lupa yang Allah bukan hanya ADA, tetapi juga sangat DEKAT. Saya sendiri lupa bila saya tersedar … cuma yang saya ingat segala kesedihan, kesunyian, ketidaksempurnaan yang saya rasa membuka pintu hati saya untuk taubat, semakin cuba memperbaiki ibadah, mengajar diri saya untuk rindu Allah dan Rasulullah. Dan Alhamdulillah… dalam saya merangkak mencari Allah, banyak pintu rupanya yang Allah buka untuk saya.
Terlalu panjang untuk diceritakan, tetapi cukuplah untuk diringkaskan … setelah kepercayaan bahawa cukup Allah bagi kami, segala yang saya lalui menjadi sangat mudah. Miracles always happen dalam setiap kesusahan saya dan anak-anak lalui, sampaikan adakala saya termenung memikirkan dari mana semua perkara yang menggembirakan dan menyenangkan kami anak-beranak datang.
Kadang-kadang dengan hanya lintasan hati perkara yang teringin dan yang saya rasa perlu tapi susah nak dibuat atau didapatkan disebabkan limitation saya sebagai seorang ibu tunggal, Allah beri dan selesaikan dari sumber yang tak terduga… Subhanallah… percayalah sahabat-sahabat sekalian rasa sungguh indah bila rasa Allah yang menjaga saya dan anak-anak saya. Dan jagaan Allah itu lebih sempurna daripada jagaan seorang suami atau bapa.
Seikhlas hati saya katakan, kehidupan kami anak beranak sekarang ini sangat tenang dan bahagia. Walaupun ada sesekali diuji, tapi saya tak cepat melatah kerana yakin Allah akan beri yang terbaik untuk kami. Begitu juga soal jodoh ini. Segala hakikat telah membuatkan saya menyerahkan segala urusan jodoh saya pada Allah, tanpa saya sedikit pun berharap atau berusaha ke arah itu. Kalaupun ada harapan berjodoh itu terdetik di hati, hanya kerana saya teringin bila tiba saat Allah menjemput saya menemuiNya nanti, biar lah saya berstatus isteri supaya saya menemui Allah dalam keadaan saya sedang mengamalkan sunnah Rasulullah.
Berbalik dengan luahan confessor sebelum ini, apabila dengan berani meluahkan isi hati pada seorang lelaki yang tiba-tiba membuka pintu hati. Saya sebenarnya berasa sangat-sangat kasihan. Saya sangat memahami perasaan itu. Walaupun saya kagum dengan keberanian itu, tapi mungkin ada sesuatu yang saudari terlupa.
Lelaki, sifatnya memburu bukan diburu; mengejar bukan dikejar … seorang lelaki akan berusaha bersungguh-sungguh untuk sesuatu yang dia benar-benar mahu dan hargai; seorang lelaki akan berkorban apa sahaja untuk sesiapa yang dia sayang; dan juga seorang lelaki kalau sudah sayang setulus hati tidak akan melepaskan. Ini lah sifat lelaki yang kita sebagai wanita perlu ingat dan pasakkan dalam minda.
Oleh itu, atas dasar kasihan, saya ingin mengingatkan ibu-ibu tunggal supaya tidak perlu untuk beranikan diri meluahkan isi hati anda. Maaf andai ada yang tidak bersetuju. Tetapi saya mahu mengajak rakan-rakan ibu tunggal untuk berpijak di bumi yang nyata. Lelaki dengan segala sifat yang saya katakan tadi akan dengan besar hati meluahkan isi hatinya pada kita sekiranya dia benar-benar bersungguh untuk memikul tanggungjawab bersama kita. Ingatlah, kita ini ibu tunggal berpakej dengan hakikat2 yang saya dah nyatakan tadi. Sekiranya seorang lelaki itu sanggup menerima pakej kita seadanya dan setulusnya, biarlah dia yang menawarkan diri.
Untuk pengetahuan, saya juga pernah berada di tempat confessor dulu. Tapi sewaktu saya bujang. Saya yang memulakan langkah pertama sebelum berkahwin dengan bekas suami. Memang lah awalnya wangi dan bahagia, tetapi bila berkrisis hal ini lah yang diungkit oleh bekas suami saya. Malah bila saya cuba mempertahankan rumahtangga kami, maruah saya bagai dipijak2 bila bekas suami mengatakan yang perkahwinan kami satu kesilapan dan menyalahkan saya kerana saya yang meluahkan isi hati saya kepadanya dahulu.
Itu kisah sebelum bergelar janda… apatah lagi sekarang ini dengan title ibu tunggal yang kita pegang dengan segala pakej hakikat dan tanggungjawab instant yang perlu dipikul bersama-sama. Bukan bersangka buruk, hanya berhati-hati kerana kita perlu menjaga hati kita daripada dirobek kesekian kali. Kalaupun ada yang berkenan di hati, gunakan lah orang tengah sebagaimana Khadijah menggunakan khadamnya untuk meminang Rasulullah. Saya merasakan cara begitu lebih bertepatan dengan diri kita yang terikat dengan gelaran ibu tunggal ini. Terima lah hakikat yang fairy tale bukan lagi untuk kita mimpikan.
Saya juga amat memahami kesunyian rakan-rakan ibu tunggal kerana saya juga pernah merasainya. Itu lah yang menjadi titik tolak untuk kita merasa tertekan kerana tiada suami. Setulus hati, saya ingin mengesyorkan kepada semua ibu tunggal untuk mengisi kekosongan itu, menjadi kuat …dengan AL-QUR’AN. Mulakan dengan membacanya dengan cara yang paling terbaik dan memahami kandungannya. Kemudian teruskan dengan hafalan AL-QUR’AN secara berperingkat dengan tasmik dibimbing guru. Percayalah, jiwa dan fikiran kita akan sentiasa sibuk dengan Al-Qur’an, bagaikan lagu yang terngiang dicuping telinga dan bernyanyi di dasar hati.
Itu lah yang saya lakukan. Dalam merangkak mencari Tuhan, saya yang buta Al-Qur’an gigihkan diri mencari guru dan belajar. Bukan seorang guru saya, tapi saya suka belajar dengan berbagai guru kerana kefasihan dan detail tajwid guru-guru itu sendiri berbeza. Saya bukan jurusan agama, tapi sedikit demi sedikit Allah bukakan hati saya untuk menghafal Al-Qur’an, puncanya dari kesedaran yang saya perlu mahir Al-Qur’an kalau mahu anak-anak saya mahir Al-Quran juga. Dan ketika ini masih lagi menghafaz juzuk demi juzuk … doakan saya mampu untuk habiskan dan pelihara hafalan ini sebelum menutup mata selama-lamanya.
Ajaibnya Al-Qur’an yang menghilangkan segala duka lara saya. Kalau sebelum ini, fikiran saya asyik teringat kata-kata racun bekas suami saya yang menyebabkan saya murung … sekarang saya seakan terlupa apa yang dikatanya. Hilang juga segala dendam dan marah pada dia. Hilang segala kerisauan saya mendidik dan menjaga anak-anak saya seorang diri … kerisauan seakan terpadam dengan sibuknya fikiran saya memikirkan jadual hafalan saya setiap hari.
Hilang juga segala kekhuatiran apa yang bakal berlaku di masa depan … entah ke mana perginya kekhuatiran itu bila Al-Qur’an bagaikan sentiasa terngiang walaupun sedang melakukan rutin harian biasa. Percayalah nasihat saya ini…kerana saya telah mengalami dan melakukannya saat ini. Yakinlah… Allah telah jadikan Al-Qur’an itu mudah untuk kita dan juga penawar untuk jiwa.
Sebelum saya akhiri confession ini, maaf andai ada bahasa saya yang menyinggung atau dirasakan tidak kena. Saya masih hamba Allah yang sentiasa berdosa. Confession picisan dari saya ini diharap dapat menyuntik semangat untuk ibu-ibu tunggal di luar sana supaya menjadi lebih kuat. Walau apa pun masalah kita di dunia ini, yakinlah betapa segala jawapan untuk segala masalah adalah ALLAH. InsyaAllah, yakinlah Allah adalah sebaik-baik Pelindung dan Penjaga.
-Nasuha-
– Nasuha
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment