Hai, admin. Terima kasih jika kisah saya ini disiarkan. Tujuan saya hanyalah untuk memberi peringatan kepada suami dan wanita-wanita diluar sana baik isteri ataupun wanita-wanita yang berkawan rapat dengan suami orang di tempat kerja untuk menjaga batas pergaulan dan menghormati ikatan suci sebuah perkahwinan.
Saya dan suami adalah sebaya dan kami berkahwin muda ketika berumur 22 tahun. Setelah 5 tahun berkahwin, kami dikurniakan sepasang cahaya mata. Walaupun sentiasa diuji dengan onak ranjau perkahwinan, kami akan cuba untuk tetap bahagia dan percaya dengan takdir dan rezeki yang ditetapkan oleh yang Maha Esa.
Masalah bermula apabila suami mula dapat pekerjaan tetap di industri penerbangan dengan gaji yang agak lumayan. Saya mula perasan sikap suami yang semakin jauh dengan Tuhan dan mula lupa diri. Persekitaran tempat kerja di industri penerbangan yang boleh dikatakan pergaulan agak bebas, ramai wanita-wanita seksi dan yang bertudung namun terlalu ‘terbuka’ untuk setiap perkara mula menakutkan saya.
Tetapi suami meyakinkan saya bahawa dia akan kuatkan iman demi saya dan anak-anak kerana memikirkan tentang pengorbanan saya selama 5 tahun ini yang bersusah payah mencari kerja tetap untuk suami saya sehingga saya terpaksa berhenti belajar di tahun akhir pengajian ijazah sarjana saya semata-mata kerana masalah kewangan yang dihadapi. Suami berjanji untuk menebusnya kembali dengan bekerja dengan niat untuk mencari rezeki yang halal untuk keluarga.
Namun, semakin hari janji hanya tinggal janji. Sekuat mana iman seorang lelaki tetap akan lemah dan terkulai layu dengan zina mata yang tidak tertunduk, pujukan dan keseronokan berdamping dengan wanita yang bukan mahramnya. Semuanya berpunca daripada suami kerap menumpangkan rakan sekerja wanita yang sering meminta tolong untuk mengambil dan menghantarnya ke tempat kerja dengan alasan ‘sejalan’. Apabila saya mula merungut dan mempersoalkan kenapa kerap menumpangkan rakan sekerja wanita, suami akan mula marah-marah dan mengatakan bahawa saya tidak ada hati budi dan perasaan kerana berkira untuk menolong rakan sekerja wanitanya yang dalam kesusahan. Untuk pengetahuan waktu bekerja suami saya mengikut shift yang ada kalanya perlu balik kerja lewat malam sehingga pukul 3 pagi.
Hati dan perasaan isteri mana yang akan tenteram bila tahu suami berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahram iaitu satu perbuatan permulaan zina dan haram yang ditegah. Suami mula anggap saya terlalu cemburu buta dan semakin hari sentiasa bersikap dingin dan mula berubah menjadi panas baran. Rumahtangga kami kini bergolak hanya kerana rakan sekerja wanita yang masih bujang dan tidak tahu menghormati perasaan seorang isteri. Apabila saya menghubunginya dan melarang dia untuk menumpang suami saya, dia akan bercerita kepada rakan-rakan sekerja suami saya bahawa suami saya takutkan bini dan mempunyai seorang isteri yang queen control.
Keadaan ini menyebabkan suami saya semakin membenci saya dan menganggap saya telah masuk campur dalam urusan perkerjaannya. Suami mula menyembunyikan banyak perkara kepada saya, banyak menipu saya kononnya tidak lagi menumpangkan dan berkawan dengan rakan sekerjanya itu. Tetapi semuanya hanya lakonan semata-mata. Dari situ, saya telah nampak bahawa suami semakin jauh tersasar, mengejar duniawi dan mula bertindak kejam ke atas saya dan anak-anak.
Hubungan yang mulai hanya rakan sekerja telah berubah menjadi satu hubungan intim yang telah meranapkan darjat seorang isteri. Perempuan lain mula diagung-agungkan dan nafkah kami anak beranak terbiar. Saya telah berusaha terlalu banyak untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan kami, tapi di mata suami rakan sekerjanya sahaja yang lebih memahaminya.
Tidak mampu saya bayangkan seorang suami yang penyayang, rajin, baik melayan anak-anak begitu cepat berubah apabila terjerat dengan hembusan nafsu. Terlalu banyak perkara yang berlaku yang meruntun jiwa saya, yang menyeksa zahir dan batin sehingga akhirnya suami mengambil keputusan untuk menceraikan saya tanpa memikirkan langsung tentang masa depan anak-anak saya. Dunia saya gelap, saya tiada arah tuju dan saya mengalami tekanan perasaan yang dasyat sehingga saya ingin cuba untuk bunuh diri. Namun, suami masih tidak pedulikan saya dan merancang untuk berkahwin dengan rakan sekerjanya. Saya masih sendirian, tekanan, murung bersama anak-anak.
Sehingga lah pada suatu hari, hujan yang sangat lebat dan anak kedua saya menjatuhkan senaskah Al-Quran. Hati saya tiba-tiba meruntun hiba. Saya terlampau mengikut perasaan yang saya telah kehilangan suami yang tersayang namun saya terlupa selama ini saya juga turut lupa bahawa saya masih ada Dia, Allah S.W.T yang merupakan cinta teragung lebih dari segalanya. Di saat itu, saya terus berdoa agar diberi kekuatan dan suami diberikan balasan atas tindakannya yang menganaiya saya. Saya semakin tenang dan mula menerima takdir bahawa jodoh saya setakat suami telah tamat dan saya mula mengorak langkah dan nekad menyambung pengajian saya dengan usaha saya sendiri dan sokongan keluarga.
Sebulan kemudian, saya dapat berita bahawa suami saya kemalangan bersama rakan sekerjanya dan suami saya lumpuh kerana kecederaan kaki yang agak parah. Rakan sekerjanya pula masih koma dan tidak sedarkan diri. Saya berasa bersalah mungkinkah itu balasan dari doa insan teranaiya?
Justeru, saya hanya ingin menasihati suami di luar sana bahawa setiap apa yang anda lakukan kepada isteri anda akan mendapat pembalasan sewajarnya. Kerana Allah S.W.T itu Maha Adil. Walaupun bagi anda permulaan zina seperti menumpang rakan sekerja itu hanya perkara biasa dan hal remeh temeh, tetapi sekecil-kecil perkara itulah tetap mampu jadi pemusnah kehidupan anda. Syeikh Muhammad Bin Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis yang berkata: Syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berkhalwat) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (6/320).
Buat wanita bujang yang berkawan rapat dengan suami orang, sila jaga batas pergaulan anda. Anda tidak tahu apa pengorbanan dan kesusahan seorang isteri yang telah ditempuh untuk suaminya. Sila fikirkan anak-anak kecil yang tergadai kasih sayang keluarga harmoni hanya kerana sikap pentingkan diri anda yang tidak peduli untuk menghormati perkahwinan orang lain. Jauhkan diri anda untuk terlalu rapat denga dengan suami orang. Hidup umpama roda, kelak pasti akan turut mengalaminya.
Untuk isteri-isteri di luar sana, sila percaya dengan diri anda, sila percaya dengan perasaan rasa tidak keruan anda. Luahkan apa yang bermain di kepala anda walaupun sekecil perkara yang suami anda lakukan agar kudis tidak menjadi nanah seperti kisah saya. Halang selagi boleh dan usaha selagi mampu demi kebaikan perkahwinan anda. Kerana dugaan yang datang bermula dari sekecil-kecil perkara. Namun jika telah tamat tempoh jodoh anda silalah palingkan rasa cinta dan sayang itu untuk Allah S.W.T yang Satu.
Sekian, semoga menjadi pedoman. Terima kasih.
– Widuri
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment