Bismillah. Assalamu’alaikum wbt. Terima kasih kepada IIUM Confession kerana sudi menyiarkan kisah saya. Sebelum saya menulis lebih panjang, saya berharap jika sesiapa yang mengenali diri saya, mohon jangan ditag dan seangkatan dengannya. Ini adalah kali pertama saya menulis di ruangan ini sejak menjadi pembaca tegar dari awal penubuhan IIUM Confession.
Saya kini adalah seorang penuntut tahun akhir diploma (bukan sains) di sebuah IPTS di Malaysia. Alhamdulillah. Alkisah, beberapa tahun yang lalu, saya merupakan seorang mahasiswa perubatan di sebuah negara luar. Namun, ketika berada di tahun 3 perubatan saya telah mendapat kemurungan disebabkan beberapa faktor (bukan faktor belajar) dan ketika itu juga saya mempunyai masalah kewangan sehingga saya terpaksa menamatkan pengajian saya di pertengahan jalan. Ya, ibu bapa dan keluarga saya agak kecewa dengan keputusan saya tersebut.
Kemurungan saya semakin teruk setelah saya menuntut di IPTS ini sehingga pada pertengahan tahun lepas saya mengambil keputusan untuk bertemu doktor dan pegawai psikologi. Kini, saya masih dalam rawatan dan telah dibekalkan ubat anti-depressant sertraline 100mg. Alhamdulillah, emosi saya semakin stabil daripada beberapa tahun lepas. Namun, sehingga kini, saya masih tidak mampu melupakan bidang perubatan yang telah menjadi impian saya sejak dari kanak-kanak lagi dan apabila terfikir pasti saya berasa sedih serta kesal dengan keputusan terburu-buru saya dahulu. Entahlah, tetapi saya berasa bahawa saya telah mensia-siakan peluang keemasan saya dahulu. I regret so much for took it for granted.
Jauh dalam sanubari, saya masih sangat berharap saya dapat kembali ke bidang perubatan walaupun umur saya sudah meningkat namun realitinya saya bukanlah daripada keluarga yang berada, dan ibu bapa saya tidak mampu membiayai pengajian saya. Sedih tetapi itulah hakikatnya. Sinar harapan saya untuk kembali ke bidang perubatan kelihatan samar-samar sahaja. Saya melihat rakan-rakan perubatan saya dahulu telah selamat bergraduasi. Alhamdulillah. Gembira untuk mereka tetapi berduka untuk diri sendiri. Melihat saudara Islam kita di Palestin, Syria dan lain-lain dibedil teruk oleh para kuffar, lebih menyayatkan sukma saya kerana saya pernah berazam andai suatu hari nanti saya menjadi doktor, saya ingin mengikuti misi kemanusiaan dan membantu memberikan rawatan kepada yang memerlukan.
Pasti akan ada netizen yang berfikir saya bukan seorang yang bersyukur dan redha dengan ketentuan Ilahi. Saya sendiri berdoa, berharap dan telah cuba untuk redha selama beberapa tahun, namun kesedihan dan rasa bersalah serta berasa tiada masa hadapan itu terlalu kuat menyelubungi diri saya. Diploma yang bakal saya miliki ini bukanlah tidak bagus namun jiwa saya tidak berasa untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang ini lagi walaupun saya senantiasa memperoleh keputusan cemerlang pada setiap semester.
Akhir kata, pada 10 malam terakhir Ramadhan ini, Allah memakbulkan doa-doa saya. Andai bidang perubatan ini terbaik untuk saya, permudahkan jalan saya untuk kembali dan bukakanlan pintu hati dermawan yang bertaqwa untuk menaja saya. Namun, jika bidang perubatan ini bukanlah yang terbaik untuk saya, redhakanlah hati saya, jauhkan hati saya dari perasaan kesal lagi dan tunjukkanlah jalan yang terbaik untuk saya. Sesungguhnya, saya kini masih dalam kebingungan dan kesedihan yang amat. Amin.
Mohon doa semua. Maafkan saya. Terima kasih.
– Yang Berharap
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment