Di saat aku menulis ini, baru sudah kuselesaikan urusan tidur anakku yang acapkali tidurnya perlu seseorang yang berjaga, memberi peluk, memberi gosok,
memberi pujuk.
Anakku seperti ramai anak-anak yang lain, diberi sedikit ujian oleh Allah dengan penyakit eczema. Tidur malamnya sering terganggu dengan serangan kegatalan dan ketidakselesaan. Sering juga, sehingga berdarah-darah dia menggaru. Itu adalah satu mimpi yang mengerikan, kerana apabila luka dan berdarah, episod seterusnya yang mungkin adalah jangkitan kuman pada kawasan yang terluka dan juga terlalu mudah merebak ke seluruh badan, menyebabkan eczemanya saat itu menjadi terlalu teruk. Gatal yang melampau. Semakin digaru. Semakin luka. Semakin merebak.
Malam ini, seperti juga malam-malam yang kuingati, air mata aku tidak dapat ditahan-tahan, dadaku sesak melihatkan anakku yang merintih kegatalan, seolah tidak
mampu kuredakan. Malam ini juga, sebagaimana malam-malam yang dahulu, aku masih bangun, merasakan keberadaan Allah yang menyaksikan tingkah-tingkah aku dan anakku dalam kegelapan.
Malam adalah waktunya kegatalan mencapai kemuncak. Malam adalah ketikanya yang jika tiada yang berjaga buat anakku, esok akan aku saksikan bahawa badannya akan bercalar dan luka akibat menggaru berjam-jam. Kerana itu aku dan mataku perlu celik. Kerana itu aku perlu menggosok. Kerana itu aku perlu berbuat apa sahaja bagi mengelakkan itu terjadi.
Malam ini, seperti malam-malam yang dahulu, aku masih bangun, dan sepenuhnya hati ini mengharapkan rahmat, kasih sayang dan keredupan
pandangan Allah terhadap aku dan anakku, yang akan menyejukkan hati-hati ini yang teruji. Anak aku diuji, dan aku teruji.
Dan malam ini, sepertinya yang pernah dahulu, aku berjaga selepas lenanya anakku dalam igauan esak-esak sedu akibat tangis nya tadi yang lama dan syahdu, memikirkan bagaimana dahulu ibuku menjagaku sehingga hidupnya aku saat ini.
Ibuku bukanlah seorang wanita yang masyhur di mata dunia, bukanlah wanita yang bekerjaya dan tinggi cita-cita, tetapi melihat dan memikirkan ibuku, membuatku seolah melihat wanita syurga. Kesejukan kasih sayang yang tidak pernah putus dikirimkan dan menyelubungi aku hingga saat ini, membuat aku merasai betapa keajaiban kasih sayang dan rahmah yang Allah telah ciptakan dalam jiwa seorang perempuan bergelar ibu.
Ibu seolah takungan kasih sayang yang tidak pernah kering, walhal ibu sendiri tidak pernah merasa pengalaman dicurahkan kasih sayang itu oleh ibunya. Ibu bukan sahaja kasih akan aku, ibu kasih akan anakku. Ajaib ibuku. Dan aku tahu malam-malam aku berjaga ini, tidak tertanding dengan malam-malam ibu membuka mata dek menenangkan aku dan adik beradikku dahulu.
Ya Tuhan, entah apa yang cuba kusampaikan. Tetapi ku tahu, rahmat yang kupohon-pohon dariMu itu telahpun salah satunya Kau kirimkan buatku, iaitu ibuku. Terima kasih Tuhan ya Rahman, ya Raheem. Hanya rahmatMu yang menjadi harapan kami ya Allah.
رب ارحمهما كما ربياني صغيرا
– Aku
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment