Thursday, 7 June 2018

Berbakti Kepada Ibu Ayah Kunci Ke Syurga

PengakuanKu

Assalamualaikum admin. Terima kasih andai confession saya ini tersiar. Semoga ia dapat memberikan manfaat kepada pembaca sekalian. Ceritanya bermula selepas saya menamatkan pengajian di UIA, saya pulang ke rumah. Saya masih belum mencari apa-apa pekerjaan waktu itu. Maklumlah, baru habis belajar. Fikir nak rehat dulu sementara. Suatu hari umi bagitahu saya dia nak bawa chek tinggal dengan kami dan meminta saya untuk menjaganya. Ini kerana, umi dan abah saya bekerja sebagai cikgu. Jadi sampai umi saya pulang, sayalah yang akan menjaganya. Saya bersetuju memandangkan saya juga tidak melakukan apa-apa di rumah. Sekurang-kurangnya, saya ada seorang teman sewaktu mereka yang lain ke sekolah.

Beberapa hari kemudian, umi dan abah membawa chek pulang dari rumah ibu saudara saya. Sudak agak lama chek berada di sana tanpa bergilir dengan adik-beradik yang lain. Kedatangan chek saya sambut dengan penuh kegembiraan. Chek juga tersenyum gembira apabila sampai ke rumah saya. Abah memimpin chek ke ruangannya. Chek masih boleh perjalan. Tapi dia perlu berpegang kepada sesuatu. Sejak dari hari itu, rutin saya mula berubah. Setiap pagi saya akan membawanya ke bilik air untuk dimandikan. Setelah selesai memandikannya, saya membawanya ke meja makan untuk bersarapan. Setelah selesai menjamu selera, chek akan duduk di kerusi yang ada di dapur untuk menonton televisyen. Pada waktu itulah saya menyiapkan kerja-kerja rumah. Menjelang tengahhari, saya memberikannya makan sekali lagi sementara menunggu untuk makan bersama ahli keluarga yang lain. Pada waktu petang pula, saya menolaknay untuk bersiar-siar di halaman rumah. Begitulah rutin saya sehari-harian setelah kedatangan chek. Tidak lama selepas itu, chek mula menunjukkan perubahan. Dia mula kencing di merata-rata tempat. Kadang-kadang sampai tiga kali dia kencing sementara hendak sampai ke bilik air. Sewaktu membersihkannya, kadang-kadang airmata saya mengalir. Mungkin kerana sedih mengenangkan nasib atuk saya atau kerana saya letih.

Lama kelamaan, chek sudah tidak mampu berjalan. Kerusi rodalah yang menjadi kakinya. Oleh kerana chek sudak tidak mampu berjalan, saya papah dia untuk duduk di dalam bilik air. Setelah selesai, saya angkatnya semula untuk duduk di kerusi roda. Ada suatu hari tu, seperti biasa saya membawanya ke bilik air. Entah bagaimana tiba-tiba chek tergelincir. Mujurlah waktu itu saya sempat memegangnya dan dia jatuh dalam pelukan saya. Saya sangat risau waktu itu. Mungkin kerana saya terlalu letih. Kudrat seorang perempuan dengan seorang lelaki tak sama kan. Malam tu, saya menyuruh adik saya menggosokkan belakang saya kerana saya rasa lenguh. Tiba-tiba umi datang ke bilik saya.

“Kak. Tidak mengapalah. Biar umi hantar chek umah ayah long. Umi taknak menyusahkan kakak”, kata umi sambil menangis dan berlalu pergi. Saya terkejut kerana tiba-tiba umi mengatakan perkara itu. Saya tidak pernah merungut bahawa saya tidak mahu menjaga chek lagi. Rupa-rupanya adik saya yang menceritakannya kepada umi kerana dia kasihan melihat saya. Saya terus berlalu mendapatkan umi. Waktu itu umi sedang duduk di samping katil chek yang sedang tidur sambil memegang tangan chek. Masih kedengaran esakan airmata yang dicurahkannya tadi. Saya menghampiri umi dan mencium tangannya.

“Umi. Kakak nak jaga chek. Umi tak susahkan kakak pun. Kakak yang sukarela nak jaga chek. Kakak tahu umi nak sangat chek ada dengan umi di hari-hari tuanya. Tapi sebab kerja, waktu umi terbatas. Kakak anak umi. Cucu chek. Kakak sayang umi dengan chek. Jadi tugas kakaklah untuk menolong dan membahagiakan umi. Kakak bukan sakit sangat pun. Saja je kakak suruh Yana urut tadi”, saya menjelaskannya kepada umi. Umi memeluk saya dan mengucapkan terima kasih. Waktu tu ramai yang tanya saya kenapa saya masih belum bekerja. Takkan nak duduk rumah je. Sejujurnya waktu tu saya fikir, menjaga atuk saya adalah pekerjaan saya sekarang. Hati saya terasa sangat berat untuk meninggalkan dia dan mencari pekerjaan. Yang ada dalam fikiran saya adalah saya nak jaga dia sampai akhir hayat dia. Ada juga yang bagitahu saya susah nak dapat jodoh kalau tak bekerja sebab lelaki sekarang nak perempuan yang berkerjaya. Abang saya pun bagitahu perkara yang sama bila umi saya minta dia carikan jodoh untuk saya. Saya tak kisah pasal semua tu. Allah sedang aturkan yang terbaik untuk hidup saya. Yang penting sekarang, saya nak tolong umi saya jaga chek. Itu sahaja.

Sampai satu hari tu, tiba-tiba chek sudah tidak mampu untuk bangun. Dia hanya menghabiskan masa dengan berbaring di atas katil. Disebabkan itu, umi terpaksa membenarkan chek pakai pampers. Pada mulanya umi sangat berat hati sebab dia tak sanggup tengok chek pakai pampers. Tapi dia sedar keadaan akan jadi makin sukar, dia membenarkannya dengan hati yang beat. Rutin saya berubah. Setiap hari saya akan basahkan tuala untuk lap tubuh dia dan salin pampers dia. Waktu tu, saya ingat lagi. Sebab saya rasa letih sangat, saya mengeluh pada arwah chek. Saya ucapkan kata-kata yang mengguris perasaannya. Saya sangat menyesali perbuatan saya. Tapi saya bersykur sebab saya sempat ampun daripada dia. Beberapa minggu selepas menyambut hari raya Aidilfitri, chek pergi meninggalkan kami semua. Chek pergi dengan membawa beribu kesedihan dalam hatinya. Saya tahu apa yang ada dalam hati dia. Kelukaan dia sebab saya Nampak semuanya dari matanya. Sungguh arwah chek adalah seorang insan yang mulia. Dia tak pernah cakap buruk pasal orang. Dia tak marah-marah. Dia sentiasa tenang dengan senyuman yang terukir diwajah dia. Saya rindu akan dia. Hanya doa yang mampu saya titipkan. Semoga arwah chek tenang di sana dan ditempatkan dikalangan hambanya yang beriman.

Umi selalu pesan pada saya, terasa hati macammana sekalipun, jangan sesekali marah atau berdendam. Sebab bila orang tu dah tiada, rasa marah atau tak puas hati tu akan hilang. Yang ada hanyalah perasaan apa yang kita tak mampu lakukan untuk dia. Apa sikap kita yang melukakan dia. Itulah yang saya rasa lepas arwah chek pergi. Saya fikir yang saya mampu buat yang lebih baik untuk jaga dia. Saya rasa bersalah dengan apa yang saya buat pada dia. Sepatutnya bila perasaan letih dan serabut itu datang, saya kena kuat. Saya kena lawan. Tapi saya turutkan sampai saya lukakan hati dia. “Maafkan Tiey chek. Tiey tak mampu jaga chek sebaik mungkin. Tiey sayang chek. Sangat”.

Beberapa minngu selepas arwah chek pergi, saya menerima satu berita gembira daripada Puan Najah. Manuskrip saya diterima untuk diterbitkan. Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat masa tu. Cita-cita saya jadi kenyataan. Umilah orang pertama yang saya bagitahu. Umi cakap “Allah takkan sia-siakan hambanya. Berbuat baik dengan orang tua takkan pernah rugi. Tahniah kakak sayang”. Maka terhasillah buku pertama saya. Sekarang saya masih berusaha untuk mencari pekerjaan. Tetapi belum rezeki saya. Doakan saya ye semoga semuanya dipermudahkan. Urusan jodoh saya jugak. Semoga saya dipertemukan dengan seorang lelaki yang betul-betul ikhlas menrima saya seadanya saya.

Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan ayah, berbaktilah kepada mereka kerana mereka adalah salah satu daripada kunci-kunci untuk kita ke syurga. Allah bagi kita kita peluang untuk bersama mereka saat mereka menuju hari tua mereka. Jadi manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya. Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dimana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sungguh kasihan. Sungguh kasihan. Sungguh kasihan”. Salah seorang sahabat bertanya “Siapa yang kasihan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Orang yang sempat berjumpa dengan orang tuanya, kedua-duanya atau salah seorang di antara keduanya saat umur mereka sudah menua, namun tidak bisa membuatnya masuk syurga.”

Ada juga hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi dimana baginda bersabda:

“Orang tua adalah pintu pertengahan menuju ke syurga. Bila engkau mahu, silakan engkau menjaganya. Bila tidak mahu, silalah untuk tidak mempedulikannya”.

Walau semewah apapun kehidupan kita dan walau setinggi manapun kedudukan kita dimata manusia, semua itu tiada ertinya kalau kita melukakan hati orang tua kita. Sibuk macammana sekalipun, carilah masa untuk mereka. Kalau mereka mampu korbankan kehidupan mereka untuk membesarkan kita, kenapa kita tidak boleh korbankan masa kita untuk mereka? Jangan sia-siakan peluang yang Allah S.W.T dah bagi pada kita sebab tak semua orang dapat bersama dengan orang tua mereka semasa mereka meniti usia tua.

– Alia Hayati

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.