Assalamualaikum. Terima kasih sudi siarkan nukilan ringkas ini. Daripada tajuk, mungkin dapat agak apa yang bakal aku karangkan. Seperti yang aku kata, semua orang adalah pesakit atau keluarga pesakit atau apa-apa jelah yang berkaitan kesakitan. Kalau sedang sihat, maka bersyukurlah. Semoga satu saat tatkala Allah SWT pilih untuk diuji dengan kesakitan, kita mampu menghadapinya. Tapi, aku bukanlah ‘officially’ kakitangan kesihatan. Atau lebih tepat, aku ni pelajar perubatan, yang bakal ‘join’ kakitangan2 kesihatan( doktor, jururawat, dressar dll) yang lain inshaAllah…Sekarang, aku selalu anggap diri aku sebagai orang tengah yang memerhatikan gelagat manusia bergelar kakitangan kesihatan dan jugak para pesakit. Apa-apa isu yang timbul, aku tak menyebelahi mana-mana pihak tertentu, aku lebih senang cuba untuk meletakkan diri aku di kedua-dua posisi dan berfikir.
Cuma, aku semakin gerun untuk menghadapi realiti andai berjaya menjadi doktor suatu hari nanti. Takut untuk menghadapi realiti masyarakat yang semakin hilang rasa hormat antara satu sama lain dan lebih gemar untuk mengecam dan mengutuk sesama sendiri. Tambahan, aku belajar di sebuah negara luar yang mana akhlak masyarakatnya sangat indah persis apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Aku risau andai tak mampu menghadapi masyarakat Malaysia setelah begitu selesa dengan budaya dan kelembutan manusia di tempat aku belajar ni setelah beberapa tahun berada di negara ini.
Aku masih ingat semasa aku belum bergelar mahasiswa perubatan dan tak faham apa-apa mengenai bidang ini. Aku jarang jumpa doktor kecuali kalau benar2 sakit. Aku masih ingat, kali terakhir aku ke klinik 6 tahun lepas(sebelum belajar medic) sebab aku demam seminggu tak kebah dan bengkak sebelah bawah leher. Aku bimbang kalau2 ni ‘beguk’, so aku jumpa jugak doktor untuk elakkan jangkitan kerana masa tu aku masih pergi kelas sebab demam aku ni pelik sikit, dia datang malam ja. Aku benci sangat, bila sampai klinik, doktor tu tanya punyalah banyak soalan . Antara yang aku ingat “Ada ahli keluarga awak pernah kena TB tak?”. Balik rumah, aku cerita kat parents sambil marah-marah, ada ke patut doktor tanya soalan sejarah keluarga punya penyakit, manalah aku tahu!!Aku yang sakit, bukan ahli keluarga aku, please la fokus rawat aku je!!!!
Setelah aku dah berada di bidang ni, aku makin faham kenapa doktor tu tanya semua soalan-soalan tu. Kalau awak datang jumpa doktor dengan demam dan peluh waktu malam lengkap dengan pakej bengkak sebelah bawah leher, kewajipan dia untuk ‘rule out’ penyakit berbahaya yang boleh membawa maut seperti TB dan acute/chronic leukemia. Maafkan aku doktor, aku masa tu tak faham, yang aku tahu dah sakit, bagi ubat please! Aku menyesal gi kecam doktor tu, padahal dia dah jalankan tugas dia dengan begitu sempurna.
Nampak tak disini, untuk betul2 faham satu ja soalan yang sesorang doktor tanya, aku kena belajar medic for like 5 tahun! Maka sebagai pesakit yang marhaen, aku faham kalau ada antara mereka yang marah2 dan sebagainya sebab tak faham. Tugas para kakitangan kesihatan adalah untuk merawat dan berkomunikasi hingga anda semua memahami kondisi anda sendiri dengan baik. Bayangkan struggle seorang doktor/jururawat untuk fahamkan pesakit yang maybe tak ada langsung background sains tentang sesuatu benda yang mereka sendiri ambik masa bertahun-tahun nak faham??? Doktor tanya soalan dengan harapan dia dapat siasat masalah kita sebelum kena buat ‘further investigation’ contohnya ambik darah or x-ray. Korang nak ke bayar kos ‘investigation’ ni? Lagi banyak maklumat yang dia dapat menerusi saringan pertama iaitu soalan dan pemeriksaan, lagi efektif dia dapat rawat kita. Sebab sesungguhnya dalam surah At-Tinn, Allah SWT dah cakap yang manusia ni adalah sebaik-baik ciptaan. Begitu teliti dan kompleks Dia mencipta kita, mana mungkin bila sakit, kaedah rawatan sama seperti hantar kereta pergi bengkel. Petang datang ambik, bayar.
Dan satu lagi, bukti peradaban sesebuah umat itu adalah apabila kehidupannya lebih bersistem-haha, yang ni yang aku faham masa belajar sejarah zaman sekolah dulu. Begitu jugak dengan perubatan, ia adalah satu sistem yang beroperasi mengikut guidelines tertentu. Contoh, nak bagi sejenis ubat sahaja ada satu guideline. Berapa banyak penyakit dan ubat yang ada atas muka bumi Allah ini? Kalau sikit, mesti dah lama aku grad, tak perlu nak terperap lama-lama kat med school ni. Oleh itu, kakitangan kesihatan memang tak boleh bertindak melulu sesuka hati macam hospital ini ibu ayah kami yang punya. Kalau dulu aku tak faham kenapa bila ada budak jantung berlubang ja, nak kena rayu bantuan kewangan. Apa salahnya para doktor budiman buat je pembedahan tersebut dengan hutang dulu ke or derma jelah. Doktor kan kaya raya? But now, aku dah faham yang satu pembedahan tertakluk bawah sistem yang lebih teratur untuk kemaslahatan kita bersama. Pembedahan sentiasa akan ikut tahap kecemasan. Bila ada orang minta bantuan untuk jantung berlubang contohnya, bukan untuk bayar upah doktor ya tuan puan sekalian, ribuan ringgit tu untuk beli injap jantung dan perkakasan pembedahan dan sebagainya. Merawat manusia yang unik ni bukan boleh main recycle je alatan semua sebab kuman dimana-mana! Injap jantung bukan buat guna besi buat pagar kebun je!
Dulu, masa tak faham, aku pun selalu ingat para doktor dan jururawta ni suka bersembang ja tepi koridor. Sekarang aku faham bahawa mereka tak bersembang. Kalau anda nampak situasi seperti ini, marilah bersangka baik, mungkin sedang berlaku proses ‘passing over/take over/ward round’ dimana mereka perlu berbincang tentang situasi setiap pesakit di sesebuah ward. Aku tak tahu sangat di Malaysia, tapi di sini, waktu rehat yang sejam between 1-2pm tu pun kami kena hadiri sesi ‘Lunch and Learning’ dimana kami makan sambil dengar presentation pasal keadaan pesakit2 yang berada bawah jagaan kami. Jelasnya, semasa di hospital, pesakit adalah keutamaan. Itu je yang berada dalam fikiran para doktor sebelum tamat shif kerja mereka. They rarely had a proper lunch di meja makan! Faham ke? Kalau tak faham tak apa sebab aku sendiri ambik masa bertahun nak faham the whole medical system, belum campur the whole complexity of human body lagi.
Kini, makin lama aku di bidang ini, aku makin nampak betapa betapa besar kuasa Allah swt mencipta manusia dengan begitu teliti. Kami kakitangan kesihatan, sudah sedia maklum akan risiko pekerjaan ini. Eh, nak basuh tangan pun kena ada kursus khas tau? Mana boleh main sental 5 saat and terus sentuh pesakit. Betapa mulianya pesakit pada kami. Kesilapan wajib dielakkan kerana kami sedang berurusan dengan nyawa manusia. Kalau salah baiki kereta boleh bayar, tapi nyawa manusia tiada galang gantinya. Tapi sesungguhnya, Allah lebih tahu. Kalau ada kesilapan atau kecuaian, kami mengaku datang atas kelemahan diri kami sendiri. Masyarakat kecam seolah-olah kami sengaja nak susahkan/cederakan/bunuh pesakit. Masyarakat tak tahu, kakitangan kesihatan yang buat silap maybe ditarik lesen perkhidmatan, sia2 belajar bertahun-tahun, macam mana nak bayar hutang dan cari rezeki? Cukuplah itu sebagai hukuman. Pernah seorang pensyarah aku yang hebat buat sekali je kesilapan, masuk surat khabar atas kecuaian dia. Bayangkan punyalah ramai pesakit yang dia bantu dan rawat sepanjang berpuluh tahun dia berkhidmat sebagai doktor, satu kesilapan yang tak disengajakan, memusnahkan karier dia. Tapi, kami di dalam bidang ini sentiasa menyokong dia, kesilapan begini boleh berlaku kepada sesiapa. Mungkin kami sendiri? Kalau kami orang yang faham sistem perubatan ini tak bersama beliau, takkan nak harapkan masyarakat luar!
Pointnya di sini, semua kakitangan kesihatan adalah pesakit. Oleh itu, percayalah, setiap kali mereka menjalankan tugas, mereka akan cuba yang terbaik. Hadith ada cakap, beri kepada orang lain apa yang kita nak untuk diri kita sendiri. Aku yakin mereka sentiasa berusaha yang terbaik kerana andai suatu hari nanti mereka sakit, tentulah mereka mahukan perkara yang sama. Segala kelemahan perlu diutarakan secara professional dan berakhlak. Hubungan doktor-pesakit perlu sentiasa dibina untuk mencapai kesan rawatan berkesan, bukan sebaliknya. Jangan mudah melabel seseorang bodoh, bongkak, gila dan sebagainya. Hargailah kewujudan kakitangan kesihatan yang rela menceburi bidang berisiko tinggi ini. Mereka boleh je nak pilih bidang lain yang lebih selamat dan kurang risiko, tapi seperti semua maklum, setiap cabang ilmu dan kepakaran tak kira bidang masakan, pertanian dan penternakan adalah fardhu kifayah. Perlu ada yang melaksanakannya.
Tapi, tak semua pesakit adalah kakitangan kesihatan. Aku sendiri faham kalau ada pesakit marah-marah dan sebagainya. Berulang kali aku kongsikan, kita akan mudah marah dan membuat tuduhan apabila kita tak faham. Apabila kita mula faham, kita akan mula nampak relevannya sesuatu perkara itu. Benda ini bukan berlaku kepada kakitangan kesihatan sahaja, malah kepada semua sektor pekerjaan yang lain juga. Sebab setiap manusia lemah dan kita tak mampu nak buat semua benda. Takkan lah perdana menteri jugak kena jadi doktor, polis, guru, buruh, nelayan, petani, jaguh sukan dan juga jutawan? Kita memerlukan sesama sendiri untuk memastikan keharmonian sejagat. Oleh itu, marilah kita bersangka baik, banyak bertanya dan menyokong antara satu sama lain. Buanglah sikap suka menghentam dan menimbulkan kebencian terhadap orang lain. Kalau nak benci sorang-sorang okay lagi, ni tak, disebarkannya kebencian ke segenap penjuru masyarakat. Moga sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa keadaan dikurniakan kekuatan dan kesabaran. Sama-samalah kita perbaiki kelemahan masing-masing dan pertingkatkan potensi diri dalam bidang yang diceburi. Sibukkanlah diri kita dengan hal-hal bermanfaat seperti ini daripada membuang masa mengecam dan menyebarkan keburukan! PEACE.
– Orang tengah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment