Assalamualaikum. Hai.
Terima kasih terlebih dahulu diucapkan kepada admin sekiranya confession aku ini disiarkan. Aku menulis perkongsian ini di sini sekadar untuk meluahkan rasa. Mungkin ada yang mengalami nasib yang sama seperti aku, atau yang lebih teruk dari aku. Mungkin juga skop confession ku ini sudah terlalu biasa disiarkan. Namun aku tetap ingin berkongsi rasa.
Aku Shamila (bukan nama sebenar), merupakan anak sulung dalam keluarga dan berusia 30 tahun. Selepas menamatkan pengajian master pada tahun lepas, sehingga kini aku masih mencari pekerjaan. Walaupun mempunyai pengalaman kerja lebih 3 tahun sebelum aku membuat keputusan untuk sambung master sepenuh masa, ternyata ia seperti bukan satu kelebihan buat ku.
Pencapaian akademik ku boleh dikatakan cemerlang. CGPA atas 3.50 dan pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik. Aku juga aktif menyertai aktiviti luar sewaktu degree dan master. Hubungan ku dengan rakan-rakan dan pensyarah sangat baik. Nama ku agak dikenali di fakulti, namun terkadang aku merasakan semua itu seolah-olah tidak bermakna dalam usaha ku untuk mendapatkan kerjaya yang terbaik.
Sejak aku menamatkan pengajian degree dalam bidang sains tulen 4 tahun yang lalu, aku belum pernah merasa untuk memiliki kerjaya yang berkaitan dengan bidang ku atau yang setara dengan kelulusan ku. Gaji paling tinggi ku terima adalah RM1200. Sepanjang 3 tahun lebih aku bekerja sebagai admin dengan gaji tidak lebih dari itu. Dan sepanjang tempoh itu jugalah aku tidak berhenti mencuba nasib menghantar resume dan menghadiri temuduga untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik. Namun semuanya berakhir dengan hampa.
Walaupun aku mampu bertahan dengan gaji sebanyak itu (kerana aku tinggal bersama keluarga), sebagai manusia aku inginkan perubahan. Aku inginkan peningkatan dalam hidup dan juga kerjaya. Maka atas sebab itu aku membuat keputusan untuk sambung pengajian ke peringkat master. Dengan harapan selepas ini aku dapat menambah ilmu di dada dan seterusnya mendapatkan kerjaya yang lebih baik. Namun hakikatnya tidak seperti yang ku harapkan. Telah banyak resume ku hantar dan temuduga yang ku hadapi, semuanya gagal. Banyak bengkel resume dan kerjaya ku sertai, masih juga tidak membuahkan hasil.
Entah berapa ribu sudah kos yang ku habiskan demi untuk mencapai cita-cita ku. Kedua orang tua ku juga banyak membantu menampung kos untuk ku hadir ke temuduga. Ternyata aku masih juga gagal. Tidak ku tahu bagaimana aku dapat membalas jasa kedua orang tua ku. Masihkah ada peluang untuk ku membalas jasa-jasa mereka..
Dalam keluarga besar pula, jika semuanya berkumpul.. Pasti aku akan dihujani persoalan dari pakcik makcik yang aku kira kalian pasti dapat meneka apakah soalan yang ditanya. Lebih-lebih lagi kini usia ku menginjak 30 tahun. Jawapan ku pada setiap soalan, aku hanya mampu berkata, “Insyaallah.. Nanti ada la tu”.
Aku tidak pasti, masihkah ada peluang untuk ku mendapatkan kerjaya yang ku impikan.. Mendapatkan hidup yang lebih stabil.. Jujurnya kadang-kala aku cemburu melihat kehidupan rakan-rakan ku yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Padahal antara mereka dahulunya ada yang tidak aktif langsung menyertai kegiatan luar dan pencapaian akademik juga sederhana. Ada yang suka meniru ketika test dan exam. Ada yang suka copy assignment orang lain. Tetapi kini zahirnya mereka lebih berjaya berbanding aku. Mudahnya mereka mendapat kerjaya yang setaraf dengan bidang dan kelulusan. Aku cuba berfikiran positif. Itulah dinamakan rezeki.
Kegagalan demi kegagalan yang ku hadapi hingga saat ini sememangnya ada memberi tekanan pada diriku. Ditambah dengan kata-kata manusia di hadapan dan belakang ku. Namun aku cuba kuat dan teruskan juga usaha untuk menggapai cita-cita. Usia ku anggap hanyalah sebuah angka, bukannya penghalang. Mungkin ini ujian Tuhan buat diriku. Aku belajar untuk redha dan ikhlas dengan ketentuan-Nya.
Semoga ada sinar kebahagiaan dan kejayaan menanti di penghujung destinasi.
– Shamila –
– Shamila
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment