Hai! Aku si confessor ‘Aku SURVIVOR’. Untuk confession kali ini aku mahu berkongsi mengenai fasa-fasa kesedihan dalam hidup aku.
Sebelum itu, aku ingin menjelaskan bahawa penyakit kemurungan (depression) boleh didiagnos oleh Pakar Psikiatri sahaja. Ini bemaksud, kita tidak boleh self-diagnos. Borang DASS itu ialah sebagai saringan awal, dan siasatan lanjut akan dilakukan oleh doktor di Klinik Psikiatri. Kemurungan ialah salah satu penyakit mental dan kemurungan itu sendiri ada pelbagai jenis, contohnya Dysthymia ( Persistence Depression Disorder), Major Depression Disorder ( MDD ) dan banyak lagi dan ia nya boleh membawa maut. Jujurnya, aku dan aku rasa insan-insan yang senasib dengan aku tersangatlah malu, kecewa dan sedih, apabila doktor mengesahkan penyakit kami. Stigma masyarakat sekeliling membuatkan aku rela berdiam diri dan tidak sesekali membuka mulutku mengenai penyakit yang aku deritai ini. Bagi mereka, penyakit mental selalu dikaitkan dengan gila, lemah pegangan Agama, jauh dari Allah dan lebih teruk lagi apabila mereka berkata, “sekali jumpa Psychiatrist atau Psychologist, sampai bila-bila kena jumpa mereka”. Aku sangat terkesan dengan ayat itu. Aku berkata dalam hati, “sampai hati berkata begitu, penyakit ini bukan kami minta”.
Aku setiap bulan akan berjumpa Pakar Psikiatri dan sebulan sekali menjalani terapi cara kerja. Dua bulan sekali aku jalani sesi Psikoterapi. Bukan mudah untuk aku menjawab soalan-soalan orang disekelilingku. Ramai mulai curiga apabila aku kerap mendapatkan rawatan doktor. Pelbagai jawapan dan alasan yang aku beri. Mujur time slip yang aku dapat, tidak dinyatakan cop Klinik Psikiatri. Kerana itu lah perkara yang paling merungsingkan aku jika aku dirawat sebagai pesakit mental. Sebenarnya, bukan mudah untuk sorokkan penyakit yang tidak nampak ini (invisible illness). Kau kena sentiasa berlakon jadi kuat, berpura-pura gembira walaupun hakikatnya dalaman kau koyak rabak, hancur. Dan aku amat berkecil hati, satu hari kawan aku di diagnos penyakit buah pinggang (kidney disease), berpusu-pusu rakan sekerja datang memberi semangat, malahan ada yang menitikkan airmata. Ramai rakan sekerja menziarahi beliau sepanjang beliau dimasukkan ke wad. Maka, tahu lah aku jurang antara penyakit mental dan penyakit fizikal yang bagaikan langit dah bumi.
Aku mengalami banyak fasa kesedihan dalam hidup aku, yang boleh aku bahagikan kepada 4 fasa. Fasa ke-3 merupakan puncak kepada segala kesedihan. Yang mana aku terpaksa ‘reach out for help’ Ketika itu aku rasa sangat ‘down’ dan merasakan kesedihan yang amat menggunung tinggi, hingga aku hanya memikirkan mati ialah jalan terbaik melenyapkan penderitaan emosi yang aku tanggung ini.
Fasa pertama kesedihan dalam hidup aku apabila bapa yang aku sayangi meninggal dunia. Bapa aku meninggal semasa dalam tidur, akibat serangan jantung. Ketika itu aku masih kecil, berumur 10 tahun. Yang ketika itu aku baru sahaja beberapa tahun mengecapi kehidupan normal seperti kanak-kanak lain iaitu kehidupan bersama ibu dan bapa. Ketika aku mendapat tahu bapa meninggal, hati aku dirundung pilu. Ketika itu juga aku menangis semahu-mahunya. Hati aku hancur akibat konflik perebutan mayat bapa aku. Aku menangis hingga hampir mahu pengsan kerana aku tidak menjamah sebarang makanan pada hari malang itu. Setiap apa yang berlaku pada hari kejadian itu, masih kukuh terpahat dalam memori aku. Bertambah sendu di hati aku apabila berlaku konflik antara ibu dan Atok. Ya Allah, tak boleh lupa macam mana adik aku didera dan aku juga pernah dipukul, membuatku sangat trauma pada sesetengah barang. Ya, aku didera secara mental dan fizikal. Aku yang masih mentah, terpaksa menyerap segala hentakkan penderitaan yang sangat melukai emosi hati seorang anak kecil.
Fasa kedua kesedihan dalam hidup aku iaitu apabila aku menerima khabar duka, pensyarah yang banyak membantu aku semasa aku di Universiti, telah menghadap Ilahi. Aku menerima berita pahit itu semasa aku sedang bertugas, semasa aku sedang merawat pesakit. Aku mohon sebentar kepada rakan setugas untuk aku beredar seketika. Aku membuat panggilan telefon dan menghubungi kawan untuk mengesahkan berita yang aku terima. Berita itu aku terima dengan tangis dan esakkan yang panjang. Beliau meninggal semasa dalam bulan Ramadan dan aku tidak dapat hadir ke hari pengebumian beliau kerana kekangan jarak. Aku sangat kesal kerana aku gagal menepati janji aku untuk outing dan belanja beliau makan apabila aku mula bekerja. Aku menangis kerana pada tahun akhir pengajian, beliau telah melanjutkan pelajaran ke luar negara dan itu lah kali terakhir aku berjumpa beliau. Hati aku bertambah sebak setiap kali memberi rawatan kepada pesakit, aku terbayang-bayangkan wajah beliau. Aku rasa sangat bersalah kerana aku gagal merawat pensyarah yang telah banyak berjasa kepada aku. Pensyarah yang sangat disayangi semua. Sungguh, tidak ada apapun dalam dunia ini mampu membalas jasa dan budi baik beliau. Beliau antara individu paling penting dalam hidupku. Yang setia mendengar keluhanku, yang sabar melihat tangisanku yang berjam-jam lamanya, yang gigih membantu aku dalam pengajianku hingga aku mampu mengenggam sekeping ijazah.
Pemergian Atok aku buat selama-lamanya, ialah kemuncak kepada segala kesedihan dalam hidup. Sebelum Atok menghembuskan nafas terakhir, aku sempat menjaga beliau di dalam wad. Hati aku gusar setiap kali doktor melakukan rondaan ( ward round ). Aku berdoa mengharapkan keajaiban wahlalnya aku tahu Atok aku bila-bila masa sahaja akan meninggalkan aku kerana doktor telah isu DIL. Aku pulang dengan berat hati kerana tugasan yang menuntut aku pulang. Pada hari Atok meninggal, jam 12:50pm, semasa itu aku sedang merawat pesakit, aku merasakan kepala aku tersangat berat seperti mahu pitam. Apabila jam 1 tengahari, selepas selesai merawat pesakit. Aku menerima khabar paling duka sepanjang episod kesedihan hidup aku. Insan yang paling menyayangi aku, yang menjaga aku sejak bayi, yang telah banyak berkorban membesarkan diri aku, telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku terduduk meraung dalam bilik tempat aku bekerja. Air mata laju mengalir sambil aku berlari ke mendapatkan ketua untuk memohon cuti kecemasan. Dengan esakan sendu aku berkata, “benarkan saya pulang ke kampung, Atok saya meninggal dunia”.
Sepanjang perjalanan 3 jam, airmata aku tidak berhenti mengalir. Setibanya aku di kampung, jenazah arwah sudah dibawa ke masjid untuk dimandi dan dikafankan. Aku lihat, perkarangan masjid sesak dengan kereta dan motor. Ramai penduduk kampung yang hadir. Suasana bertambah hiba apabila aku bersalaman dengan ahli keluarga aku, kesemua mereka mengalirkan airmata. Sepupu yang paling rapat denganku melepaskan tangisan pilu di atas bahu aku.
Aku melihat dengan mata kepalaku ketika Atok diturunkan ke liang lahad. Aku amat sebak, airmata tidak berhenti mengalir. Saat mereka menimbus kubur Atok, aku rasakan satu perasaan yang belum pernah aku alami. Aku rasa kosong sekosong-kosongnya. Jauh di dalam lubuk hati aku, aku mulai terasa sepi, perasaan itu mencengkam jiwaku.
Usai selesai pengebumian, kami semua pulang ke rumah. Rumah yang aku diami sejak kecil aku lihat sangat suram tanpa Atok. Kami berkumpul di rumah, semua berwajah sunggul dan muram sehinggakan ada seorang keluarga aku berkata, “sunyinya rumah ini tanpa Atok”. Aku seperti ternampak-nampak kelibat Atok di setiap ceruk rumah itu. Hati aku disayat pilu. Lantas, keesokan harinya, aku pulang bekerja semula. Aku tidak mampu berlama-lama di dalam rumah itu. Rumah yang banyak memberi kenangan aku bersama Atok dan nenek, rumah tempat aku berteduh dan menumpang kasih, rumah tempat aku dibesarkan.
Setiba aku di rumah, perasaan aku kosong. Aku menangis hampir 2 jam. Aku sungguh rindu Atok. Aku menangis sambil membelek foto-foto lama aku bersama Atok. Aku menjalani rutin harian dengan fikiran yang kosong. Aku melakukan kerja seperti biasa, luaran aku berpura-pura tersenyum seperti tiada apa berlaku, hakikatnya dalaman aku begitu amat lara. Setiap kali waktu rehat, aku menangis sambil melihat foto aku bersama Atok. Pulang ke rumah aku juga menangis. Sehinggakan sendu tangisan terbawa-bawa semasa aku tidur. Bila aku tersedar dari tidur, pipiku dipenuhi airmata. Hampir 3 minggu aku berkeadaan seperti itu. Begitu amat terkesannya kehilangan Atok bagi aku. Aku hilang berat badan dengan mendadak akibat beban emosi kesedihan yang luar biasa. Tekanan di tempat kerja, menambahkan parah kepada emosi aku, sehingga aku rasa tidak mampu lagi untuk berjuang seorang diri. Akhirnya, aku akur aku memang perlukan bantuan. Syukur, Allah mudahkan segalan-galanya.
Allah ambil 3 insan yang paling aku sayangi dalam hidup ini, dan Allah gantikan dengan 3 insan lain. Walaupun mereka orang asing dalam hidup aku, walaupun aku tidak pernah bersua muka secara fizikal, namun mereka gigih dan tidak jemu berada di sisi aku ketika detik-detik getir dalam hidup aku iaitu percubaan aku untuk membunuh diri. Aku sangat terhutang budi dan terharu atas perhatian yang diberikan. Bagi aku ini adalah satu keajaiban dan juga bantuan dari Allah. Bagaimana Allah telah mengerakkan hati-hati mereka untuk membantu aku yang bukanlah sesiapa ini. Keajaiban yang mana, seorang Psychologist yang berada di luar Malaysia, yang memberi sokongan awal untuk aku reach out. Keajaiban yang mana, Pakar Psikiatri menghubungi aku saat aku sendirian berperang melawan penyakit yang berada di dalam minda ini. Keajaiban yang mana, hadirnya seorang individu yang membantu aku dan memberi sokongan emosi dan moral saat aku mengalami kemurungan yang maha dahsyat. Pernah aku berkata kepada Pakar itu, “saya tak sangka seorang Pakar boleh rescue saya pada jam 1 pagi”. Aku pernah mendengar talk yang disampaikan oleh beliau, beliau membahasakan beliau sebagai Pakar Penyembuh Jiwa. Mungkin kedengaran lebih ‘mesra’ atau kurang menakutkan dipanggil begitu berbanding di panggil Pakar Psikiatri.
Semasa aku dalam proses road of recovery, minda dan fizikal aku mulai melihatkan perkembangan positif. Dan ketika emosi aku sudah mulai stabil, aku menerima tamparan emosi hebat. Aku kehilangan dua sepupu berturut-turut dalam minggu yang sama. Aku terduduk menangis kerana mereka ialah sepupu yang paling aku rapat. Mereka meninggal selang sehari. Proses recovery mula terganggu, emosi aku berkecamuk apabila suasana itu seperti suasana aku kehilangan Atok. Aku mula rasa ‘down’ yang sangat teruk. Rasa bersalah menghantui aku kerana aku berada di sisi sepupuku semasa doktor memberi penerangan management terakhir. Terduduk aku, esak sendu semakin bertambah bila mana, kakaknya bertanya “ada peluang ke?”. Aku hanya mampu membalas dengan linangan airmata sambil mengelengkan kepalaku. Perasaan dan beban emosi aku sangat terganggu pada minggu itu, mujur ada mereka (3 individu) yang menjadi tempat untuk aku luahkan segala emosi sedihku. Akibat beban emosi yang parah, pada satu petang aku mengalami halusinasi. Halusinasi yang amat menakutkan. Aku segera maklumkan kepada Pakar itu. Aku beranggapan halusinasi itu hadir akibat dari keletihan emosi dan fizikal aku pada minggu itu. Mujur aku hanya mengalami satu episod halusinasi sahaja. 2 minggu berturut-turut aku menjalani sesi Psikoterapi kerana aku gagal mengawal perasaan, iaitu sehari selepas pemergian sepupu-sepupuku dan seminggu selepas itu. Sepanjang sesi itu, aku menangis tanpa henti. Aku luahkan apa yang aku rasa kepada Psychologist dan dia cukup berempati dengan kejadian yang menimpa aku. Aku memberitahu, aku sangat sedih kerana ia mengingatkan aku kepada hari kematian Atok kerana suasananya hampir sama. Ia nya juga mengingatkan aku kepada hari kematian bapa dan pensyarahku.
Kini, aku sudah sedikit kuat menempuhi kesemua dugaan dalam hidup ini. Walaupun kadang-kadang flashback itu datang menyerang minda namun aku mampu mengawal emosi dan perasaan. Jujur aku kata, sesungguhnya road of recovery itu adalah satu perjalanan yang amat sunyi dan ‘bumping’. Dengan bantuan ubat-ubatan dan sesi Psikoterapi, ianya sangat membantu di dalam proses recovery ini. Jujurnya, aku juga mahu kan kehidupan yang normal seperti insan lain, aku mahu bebas dari penyakit yang aku deritai ini. Aku bersyukur, atas sokongan, dorongan dan perhatian yang tidak henti-henti dari 3 individu yang aku sebut diatas , membuatkan aku mampu untuk kembali berdiri dan melangkah lebih jauh. Semoga langkahku kali ini akan lebih kuat. Amin.
– HNN
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment