Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Teringin juga nak berkongsi kisah suka duka sebagai pendidik yang hampir satu dekad berkhidmat di gelanggang sepak terajang dunia pendidikan moden. Kisah yang bakal dikongsi ini bukanlah bertujuan mengaibkan mahupun menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, untuk kita sama-sama mengambil pengajaran daripadanya dan bertindak dengan lebih bijak pada masa hadapan.
Kisah Cikgu Azizan menggamit kembali episod luka dan duka aku sewaktu awal bergelar guru dan warden. Aku memang cintakan bidang ni. Sebab tu, awal-awal lagi aku dah bersedia untuk jalankan peranan sebaiknya dalam mendidik anak bangsa. Pesan mak dan ayah sentiasa terpahat kukuh dalam hati aku supaya berkhidmat kerana Allah.
Namun, aku diuji dengan satu peristiwa yang meninggalkan kesan yang mendalam di hati. Seorang pelajarku agak sosial dan sering bertindak mempengaruhi rakan-rakan lain melakukan perkara-perkara yang melanggar disiplin asrama dan sekolah.
Kemuncaknya, dia tidak pulang ke asrama beberapa hari dan menurut seorang jiran yang prihatin, dia tinggal di rumah rakan berlainan jantina. Atas rasa tanggungjawab, aku menelefon ibubapanya untuk memaklumkan perkara tersebut. Jangankan ucapan terima kasih, maki hamun pula yang aku dapat atas tindakan yang ‘menjaga tepi kain’ tersebut.
Aku pasrah untuk menerima makian dan kritikan itu, namun tidak lupa juga menyarankan supaya ibubapa pelajar itu bertindak. Sekurang-kurangnya tugas aku selesai dan mungkin dapat membantu pelajar dan keluarga itu tak kisahlah walaupun hati agak kecewa.
Tidak pula aku menyangka, episod itu bersambung ke babak seterusnya. Aku difitnah pula oleh seluruh ahli keluarga itu. Sehinggakan makcik-makcik bawang di kawasan sekitar rumah diberitakan bergosip tentang diri aku, melabel aku sebagai seorang cikgu yang teruk. Pada waktu itu, hanya Allah yang tahu betapa malunya nak bertemu dengan masyarakat.
Tapi, mak aku dan aku bukanlah keturunan makcik bawang yang nak jaja kisah keluarga dia. Kami ambil pendekatan “diam lebih baik”. Pesan mak aku selalu ingat, “sabar”. Insyaallah, Allah akan tolong orang yang sabar.
Akhirnya kisah anak dia Allah buka satu-satu buat tatapan umum sehinggalah sekarang ini. Jadi, masyarakat terutamanya makcik-makcik bawang bolehlah menilai siapa betul dan siapa salah. Alhamdulillah..
Sungguhpun aku rasa lega, tapi dalam hati tetap ada rasa kesal dengan apa yang berlaku. Sebenarnya kisah ini x perlu pun jadi tatapan umum tapi keluarga pelajar itu yang memilih untuk sebar fitnah sedangkan aku hanya menceritakan kisah anaknya kepada dia sahaja. Setelah fitnah aku tersebar, baru aku ceritakan kepada mak dan keluarga dan kami pendam bersama.
Pengajaran yang aku dapat daripada peristiwa itu, aku perlu lebih berhati-hati. Aku perlu menjadi guru yang lebih prihatin dan bertindak dengan lebih bijak untuk tangani masalah pelajar. Walaupun berdepan dengan pelbagai kerenah ibubapa, aku mesti kuat dan terus-menerus lakukan yang terbaik. “Sabar” perlu aku utamakan dalam setiap dugaan kerana bantuan Allah pasti akan datang.
Kepada ibubapa, saya x faham kenapa anda harus melenting dan memfitnah orang yang memaklumkan tentang kelakuan tidak baik anak anda. Cuba untuk terima dengan hati yang terbuka dan sekiranya tidak percaya, siasatlah terlebih dahulu. Memang anak akan mereka fitnah keburukan guru untuk menutup salahnya, tuduhan itupun ibubapa perlu siasat dahulu sebelum sebar-sebarkan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata..
Di sini juga saya ada beberapa saranan untuk ibubapa pelajar yang ingin melihat anaknya berakhlak mulia. (Berdasarkan pengalaman);
Bina hubungan baik dengan guru di sekolah, sekurang-kurangnya seorang guru, guru kelas misalnya. Jadi, anak tiada ruang untuk melaga-lagakan guru dan ibubapa.
Selain daripada itu, kebanyakan pelajar yang hormat guru datang daripada keluarga yang mak ayah mereka selalu berjumpa guru dan hormati guru. Anak melihat bagaimana layanan ibubapa terhadap guru dan mereka mengikut contoh yang ibubapa berikan.
Elakkan bercakap buruk tentang guru-guru atau merendahkan guru di hadapan anak kerana itu akan mengurangkan rasa hormat mereka kepada guru. Malah, guru juga sentiasa berpesan kepada para pelajar supaya hormat dan sayang ibubapa. Apabila mereka hormat guru, mereka akan mudah menerima teguran dan nasihat guru yang cuba sedaya-upaya membentuk akhlak mereka.
Apabila anak anda mula bercakap sesuatu yang buruk tentang cikgu atau rakan-rakan, bermakna masalah awal mula timbul. Siasat. Boleh jadi, anak anda adalah pencetus kepada masalah. Guru tiada masa untuk dengki kepada pelajar mahupun sengaja mencari salah pelajar. Atau mendenda pelajar tanpa sebab.
Guru bukanlah insan yang sempurna, begitu juga ibubapa. Jadi, sama-samalah kita berbincang supaya kita saling melengkapi. Maafkanlah atas sebarang kesalahan dan kekurangan kami selaku warga pendidik. Semoga kita dapat sama-sama membentuk generasi yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Sekian kisah daripada seorang cikgu yang akan kembali bertugas.
Permudahkanlah perjalananku,
Ya Allah.
– Cikgu (Bukan Nama Sebenar)
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment