Friday, 24 November 2017

Menangani Anasir Gangguan Luar

PengakuanKu

MENANGANI GANGGUAN ANASIR LUAR BERPENYAKIT HATI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pertama sekali saya mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada admin yang sudi menyiarkan tulisan saya ini. Tidak lupa kepada yang meluangkan masa membacanya dan bakal memberikan maklumbalas, saya hargai kesudian anda semua. Saya berharap isi kandungan artikel saya sedikit sebanyak dapat memberikan manafaat kepada pengikut IIUM Confessions.

Suka juga saya berpesan, berhujah atau memberikan komen serta teguran, lakukanlah dengan berhemah dan berlapang dada. Jika kita melihat daripada sudut yang positif, kita sepatutnya memahami kebanyakan luahan di ruangan ini lebih menjurus kepada pengalaman penulis itu sendiri. Sesuatu topik yang diutarakan mungkin berada di dalam skop yang kecil yang hanya berada di dalam fikiran penulis semata-mata. Contohnya; jika penulis membawa tajuk/cerita mengenai ‘peranan wanita’, kita fokus sahaja kepada ‘wanita’ yang dimaksudkan. Tidak perlu kita mempertikaikan atau berkata sinis – apa pula peranan lelaki? Sebabnya suatu waktu, mungkin oranglain akan menulis isu berkaitan lelaki pula.

Baiklah, biar saya memperkenalkan diri. In sha Allah, tiada yang kenalpun kecuali admin itupun sekadar melihat profil akaun Facebook yang digunakan ini. Saya seorang wanita, berusia awal 50an (geng makcik-makcik, tetapi in sha Allah sentiasa mengelak daripada menyertai kumpulan makcik bawang). Saya merupakan pesara awal sebuah institusi kewangan dan memiliki beberapa orang anak yang masih bersekolah, masih menuntut di universiti dan yang telah bekerja di sektor swasta serta jabatan kerajaan.

Kehidupan seharian kita adalah sinonim sebagaimana mutiara kata yang selalu kita temui (melalui pendengaran atau pembacaan) iaitu; “hidup tidak dapat lari daripada masalah” atau “masalah adalah dugaan hidup yang mendewasakan kita”. Kerap juga kita berjumpa nasihat agar mendepani masalah dengan mencari jalan penyelesaian, bukan membiarkannya berlarutan. Maaf, banyak pula perkataan ‘masalah’ terpaksa disebut di sini.

Setenang-tenang hidup ialah tatkala dalam kalangan ahli keluarga terdekat kita mampu memahami sesama sendiri, bertolak ansur dan sentiasa menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNYA. Kita didik suami/isteri dan anak-anak kita dahulu. Apabila pembentukan akhlak yang baik disemai di rumah, hubungan dengan orang sekeliling juga akan berjalan dengan lancar. Namun seringkali berlaku, anasir-anasir luar yang berpenyakit hati akan menguji kita dengan sifat-sifat cemburu, buruk sangka dan dengki khianat. Lebih parah lagi fitnah turut mengiringi sehingga tercetus perang dingin, perbalahan yang berpanjangan atau terus terputus tali persahabatan/persaudaraan.

Susah sebenarnya untuk saya meluahkan apa yang hendak disampaikan, bimbang disalahtafsir, namun saya mencuba sebaiknya dengan mengambil contoh daripada pengalaman sendiri. Kita tidak perlu gusar dengan orang-orang yang sentiasa berfikiran positif. Apa yang saya ingin ketengahkan ialah mengenai gangguan daripada anasir luar yang berpenyakit hati (diulangi: berpenyakit hati) yang sentiasa mencari bahan untuk mengkritik. Bukan kritikan yang membina sebaliknya sekadar bertujuan menampakkan diri masing-masing adalah kelompok yang hebat. Untuk memudahkan, saya ringkaskan istilah anasir luar yang berpenyakit hati sebagai ALBH. Jadi, bagi yang seringkali terdera perasaan dek penangan ALBH, bertabahlah dan marilah kita sama-sama menangani mereka dengan cara paling berhemah agar beroleh ‘win-win situation’. Jom kita hayati…

PERTAMA: “TIDAK BOSANKAH ASYIK TERPERAP DI RUMAH?”
Inilah soalan paling minima yang akan dikemukakan oleh ALBH. Bagi kita yang memang suka berada di rumah, keseronokannya hanya kita yang tahu. Orang yang menghargai masa tidak akan membazirkannya dengan sia-sia, tidak membuang waktu dengan melepak dan berbual kosong dengan jiran tetangga (terutama kaum wanita). Perlu dijawabkah soalan begini? Memadai, senyum sahaja… Kalau rasa ingin menjawab; jawablah “bosan apa… kita mengadap TV, main congkak, layan whatsapp, bergossip di Facebook, makan, tidur, makan, tidur”. Jangan diceritakan aktiviti sebenar yang kita lakukan iaitu membaca/menghafal Quran, menyemak kerja sekolah anak (atau cucu), mengemas rumah, menggubah bunga, berkebun atau menjahit. ALBH tidak perlu mengetahui kegiatan berfaedah yang dibuat oleh kita.

KEDUA: KEKURANGAN DIKEJI ORANG, KELEBIHANPUN DIUMPAT JUGA
Mengeji rumah orang yang kotor/bersepah bagi saya masih boleh diterima akal. Sebaliknya jika rumah kita super duper bersih, ALBH tidak pula memuji kerajinan kita berkemas rumah. Walaupun kita bukanlah dahagakan pujian (sebab kita memang rajin semulajadi kan…), ALBH tanpa perasaan bersalah membuat andaian yang bukan-bukan. Minda mereka dipaku dengan anggapan kononnya tuanrumah kepada kediaman yang bersih kemas ini tidak boleh menerima kedatangan tetamu kerana bimbang rumah dikotorkan orang. Entah teropong hikmat jenama apa yang mereka gunakanpun tidaklah diketahui sehinggakan mereka mampu memberikan kenyataan bahawa tuanrumah asyik mengemop lantai dan menyapu sampah sahaja kerjanya.

Sebaiknya jika kita mengalami umpat keji dan buruk sangka sedemikian, ambillah sikap yang positif. Selalulah mempelawa mereka berkunjung ke rumah walaupun jarang ditunaikan. Kemudian cuba bandingkan adakah tetamu lain selain daripada golongan ALBH ini, yang sudi bertandang tanpa ragu-ragu. Jika ada, bermakna golongan ALBH ini sebenarnya takut kepada bayang-bayang mereka sendiri. Bersyukurlah kita sebanyak-banyaknya kerana kita masih popular dalam kalangan manusia yang lebih tahu menghargai kesempurnaan.

KETIGA: TETAMU PEMBAWA RAHMAT JIKA BETUL GAYANYA
Saya percaya tiada orang yang tidak sukakan kehadiran tetamu, apatah lagi sekiranya kita memahami kelebihan pahala yang bakal dianugerahi oleh sang tetamu. Namun bila berhadapan tetamu-tetamu yang menggunakan segala panca indera (mata, telinga, mulut dan perut) tetapi kurang peka dengan masa, agak-agaknya? Peliknya golongan ALBH pula, kalau rumah mereka sentiasa meriah dengan kehadiran saudara mara, mereka akan memandang hina keadaan rumah kita yang jarang disinggahi sesiapa. Sedangkan hakikatnya, terdapat hikmah yang mereka tidak rasai iaitu; anak-anak kita tidak terganggu masa pembelajaran mereka, ‘rahsia’ di dalam rumah kita terselamat daripada pengetahuan orang luar, bahkan kita lebih selesa bab penjagaan aurat.

KEEMPAT: KEPAKARANNYA? KEPAKARAN KITA?
Wahhhh… mereka pakar memasak. Main lempar-lempar sahaja bahan masakan, sudah siap tiga empat jenis menu. Manafaatnya tentulah tekak dan perut sahabat handai, kaum kerabat. Ramai yang suka/sayang kepada ahli-ahli dapur sebegini. Alhamdulillah, tumpang kenyang. Tetapi, dikecam pula kita yang tidak pandai menyediakan juadah enak-enak ini.

Tidak mengapa, usah risau. Tenang-tenangkan hati. Kitapun mempunyai kepakaran yang tidak perlu ditunjukkan. Kita diam-diam sudah, tahu-tahu siap artikel (jika suka menulis), siap menjahit baju kurung mertua, selesai berkebun sayur di tepi rumah dan beres segala macam kerja yang berbeza dengan mereka. Kalau kita mahu hebat seperti ALBH juga, kitapun kena cari buku resepi, belajar memasak kemudian ajaklah kawan-kawan makan bersama. Cuma sekarang, kita tanya diri sendiri; mengapa disibukkan apa yang kita tidak mahir sedangkan ada benda lain yang kita ‘terror’ lakukan? Terimalah keadaan masing-masing yang mempunyai kelebihan sendiri-sendiri. Opppsss, ALBH tidak boleh seimbangkan perkara begini.

KELIMA: PENDIDIKAN, PEKERJAAN DAN PERKAHWINAN ANAK-ANAK
Bermulanya anak-anak bersekolah, tidak sah kalau tidak bersembang tentang kelas mana dan nombor berapa dalam peperiksaan. Biasanya ibubapa yang mempunyai anak-anak ‘top five’ di sekolah, tidak banyak bunyi. Berbeza yang sebaliknya, mengambil tahu kedudukan anak orang, disangkakan untuk menumpang gembira, rupa-rupanya mahu dikecamnya. Pernah mendengar gossip-gossip di belakang?
1. Memanglah… anak cikgu, anak pegawai bank (eh! Sayakah itu?) tentulah pandai-pandai.
2. Tidak keluar rumah, mengadap buku sahaja.
3. Pergi kelas tuisyen swasta (berbayar).

Ya, makcik-makcik bawang. Faktanya jangan disanggah. Anak-anak ini kalau tidak dipertanggungjawabkan kepada pembelajaran, dari mana otaknya hendak diasah? Bukan setakat anak guru atau anak orang ‘ada-ada’ sahaja, anak petani, nelayan dan sebagainya kena tahu limit mereka sebagai pelajar. Penghujungnya, apabila mereka ini memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh, MRSM atau sekolah-sekolah terkenal, keluar pula kenyataan; “alaaa, sekolah mana-manapun sama”. Walhal kalau mereka ini tidak belajar, tidak mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan, layakkah diterima oleh sekolah-sekolah sedemikian?

Seorang daripada ALBH (pakcik bawang) pernah menempelak kumpulan whatsapp sekolah saya. Katanya; apalah guna anak-anak belajar tinggi kemudian bekerjaya hebat tetapi mengabaikan ibubapa? Lebih baik yang bekerja cuci longkang tetapi menjaga kebajikan orangtuanya. Setuju tidak pernyataan sebegini? Kebanyakan ahli kumpulan berdiam diri, sebahagian kecilnya menyokong (sokong membawa rebah) manakala yang lain-lain ber-pm sesama sendiri – “dah dia tak hado anak yang berjaya, dongkilah tu”. Tiba-tiba mencelah seorang lagi ahli kumpulan; menulis begini:-
* Terbaik jika insan tidak berpelajaran tinggi, tidak berkerjaya hebat tetapi menjaga kebajikan ibubapa.
* Lagi terbaik jika insan berpelajaran tinggi dan berkerjaya hebat dan menjaga kebajikan ibubapa.
* Lebih teruk jika sudahlah tidak berpelajaran dan tidak berkerjaya hebat tetapi mengabaikan ibubapa.
* Jadi, yang mana pilihan anda?

Kerja kerajaan, kerja swasta, kerja sendiri, kerja kampung atau kerja kilang semuanyapun mahu disensasikan.

“Jodoh pertemuan di tangan Tuhan”. Haaa itu dia pepatah yang digunapakai dek anak-anak muda apabila ditanyakan soal perkahwinan. Sebagai ibubapa, kita semestinya mempunyai perancangan tersendiri untuk merealisasikan impian perkahwinan anak kita. Anak sulung begini, anak perempuan pula begitu. Apa pula peranan golongan ALBH? Kaki sibuklah, apalagi… “Anak kau ada ijazah, cantik, ada kereta, kerja bagus (sekadar contoh), belanja hantaran letaklah 15k”. ALBH yang mengambil berat hal ehwal kerja kahwin ini kebiasaannya dalam kalangan saudara mara. Penyelesaiannya; kita kena kuat menangkis godaan serta hasutan. Kita buatlah keputusan mengikut persetujuan suami isteri sendiri dan bakal pengantin, tidak perlu diminta pendapat makcik pakcik berlabel ALBH. Waktu orang datang meminang kita berpakat dengan pihak sebelah sana – jumlah hantaran tidak dinyatakan. Hahaha, mesti seronok membuatkan si ALBH resah gelisah mencari sumber maklumat yang sahih. Kalau rumah kita besar tetapi kita mengadakan majlis di dewan, ALBH pun bersusah payah mengata kita ‘kedekut’ tidak mahu membenarkan orang keluar masuk rumah kita, sedangkan hakikatnya mereka hendak sangat melihat hiasan bilik pengantin.

KEENAM: LAWAN PROSES MENYALIN MENAMPAL DINDING FACEBOOK DENGAN PROSES UNDANG-UNDANG
Ini adalah satu-satunya kerja paling ‘havoc’ pernah saya lakukan. Suatu ketika, saya berselisih faham dengan ibu sendiri sehingga membawa kepada kejadian tidak bertegur sapa untuk satu jangkamasa yang agak panjang. Ada saudara yang memberikan nasihat dengan cara berhemah; saya terima dengan fikiran yang terbuka cuma saya meminta tempoh untuk menyejukkan hati bagi memperbaiki semula hubungan. Insan berbudi begini hanya beberapa kerat daripada berpuluh-puluh kerat. Yang lain kalut menjadi batu api.

Sebelumnya; ‘throwback’ sedikit – sebelum bapa saya meninggal dunia, dia telah mengamanahkan harta sekian-sekian dibahagikan sama rata kepada saya dan abang serta adik (saya anak perempuan tunggal). Lebih spesifik lagi; tanah dan rumah yang saya duduki yang asalnya atas nama ibu dipindahmilik kepada saya dengan alasan saya tinggal di situ sedari kecil. Selepas bapa meninggal dunia, ibu saya berpindah ke rumah lain yang dibelinya (rumah lebih kecil di kawasan tumpuan pengajian agama) dan proses pembahagian harta diuruskan mengikut kehendak ibu dan mengikut amanah arwah. Alhamdulillah, dalam kalangan kami bertiga beradik tiada bantahan yang ditimbulkan. Ipar-ipar menurut perintah sahaja, hehehe. Malangnya adik-adik ibu yang bermulut puaka, bercakap manis di hadapan tetapi di belakang diapi-apikan pula. Dikatakan kepada ibu; “beraninya memberikan harta kepada anak-anak sebelum mati. Nanti awak diabaikan, merempat tidak ketahuan” dan “U.R (nama saya untuk kisah ini) tak patut mendapat bahagian yang sama banyak sebab dia anak perempuan”. Ibu tidak berkata apa… Abang dan adik pula membela, bahawa segala urusan kami berlandaskan kesefahaman dan persetujuan bersama.

Bertahun-tahun berlalu, saya aman tenteram walaupun adik-adik ibu kadangkala merisik-risik ingin tahu berapa banyak wang peninggalan arwah yang ibu simpan. Pakcik saya yang seorang pula mempersoalkan mengapa kami bertiga beradik langsung tidak mengambil wang sewaan sawah sedangkan setiap tanah sawah telah dinamakan atas nama kami? Kami senyum sahaja dengan persoalan itu. Tidak perlu rasanya kami menjelaskan tujuan kami menyerahkan semuanya kepada ibu adalah untuk perbelanjaan harian beliau.

Berbalik kepada kejadian perselisihan faham di antara saya dengan ibu. Abang dan adik hanya menasihati secara ‘ringan’ kerana enggan mengeruhkan keadaan. Lagipun mereka tinggal agak jauh, jarang mengikuti perkembangan yang berlaku. Dek kerana saya sendiri mengambil sikap ‘relaxlah… gaduh-gaduh manja sajapun, nanti baiklah’, saya sangkakan segalanya akan berakhir dengan mudah. Rupa-rupanya pakcik makcik dan sepupu-sepupu saya mengambil kesempatan ini dengan menunjukkan kononnya mereka amat prihatin terhadap ibu. Mereka kerap bertandang ke rumah ibu, membawa ibu berjalan-jalan dan membelikan barang dapur (perkara yang sebelumnya amat jarang dilakukan). Layanan yang mereka berikan membuatkan ibu mula membandingkan dengan ‘kejahatan’ yang saya lakukan. Memang saya ada berbuat salah/dosa terhadap ibu, tetapi sikap saudara mara seolah-olah menghukum tanpa perbicaraan.

Saya perhatikan sahaja gelagat sepupu-sepupu saya ini (semuanya pangkat adik), sebaik sahaja ada aktiviti yang mereka sertai bersama ibu, mereka akan memasukkan gambar di dalam Facebook. Kapsyennya; ‘inilah keluarga kecil kami’ atau ‘seronok bila berkumpul beramai-ramai’. Pernah beberapa kali dikongsikan tazkirah/ayat-ayat Quran/hadis (copy paste) yang mempunyai perkataan ‘ANAK DERHAKA’. Walaupun saya tidak menuduh mereka sengaja menujukan sajian Facebook itu kepada saya, tetapi secara logiknya orang yang terdekatpun mampu berfikir perkongsian itu disengajakan atau kebetulan? Ibarat menyiram minyak ke atas bara. Mereka ini tidak pernahpun bersemuka dengan saya, bertanya apakah punca sebenarnya yang terjadi. Jauh sekali untuk memberikan nasihat yang berguna. Bahkan mereka mengelakkan diri daripada bertembung di jalanan. Jika terserempakpun, sapaan saya dijawab acuh tidak acuh. Anak saya yang kecil pula diejek-ejek dengan perkataan yang sinis (budak kecil tidak pandai berbohong, yang ini saya pasti).

Pada suatu ketika ibu saya berkata kepada anak saya; “betullah seperti tokcik itu kata… tidak bagus memberi harta kepada anak-anak semasa kita masih hidup”. Termakan juga akhirnya ibu saya dengan pendapat adik-adik beliau. Walaupun apa yang disebut mereka itu sudah bertahun-tahun dahulu, dek kerana termakan budi (atas kebaikan layanan mereka), perkara yang lama diungkit semula.

Penyudahnya, saya bersemuka dengan ibu. Saya tanya apakah yang ibu mahukan sebenarnya? Jika ibu gembira mengejar kasih sayang adik-adik serta anak-anak saudara ibu, sila teruskan andainya ibu rasa mereka ikhlas selama-lamanya. Tetapi saya mahu ibu kenangkan semula pengalaman ibu bersama adik-adik ibu ketika ibu hidup susah dahulu. Saya sanggup memulangkan segala harta yang dipindahmilik kepada saya tetapi dengan bersyarat iaitu bayarlah gantirugi yang saya tanggung dan saya akan berpindah. Tidak menjadi masalah kerana saya sebenarnya mempunyai rumah sendiri yang disewakan. Menangislah ibu dengan ‘ugutan’ saya itu. Katanya; dia tidak terniatpun… Saya teruskan soalan; mengapa perlu mengadu domba kepada mereka ini? Tidak bolehkah ibu hidup tenang-tenang, bersyukur dengan kebahagiaan anak sendiri dan berbangga dengan kejayaan cucu-cucu? Saya katakan; bukan saya tidak mahu datang memohon ampun maaf daripada ibu tetapi saya menunggu masa yang sesuai. Malangnya sewaktu penantian itu, jarum penghasut lebih pantas memainkan peranan. Oleh kerana ALBH ini melibatkan diri sekali, masalah yang sepatutnya selesai dalam jangkamasa pendek menjadi berlarut-larutan. Akhirnya perbalahan di antara saya dengan ibu ditamatkan. ALBH tak ada pula mengucapkan tahniah kepada saya di atas kejayaan tersebut.

Dalam masa yang sama, saya bertemu seorang rakan yang bekerja sebagai pengamal undang-undang. Saya meminta pendapat beliau apakah yang sepatutnya saya lakukan. Setelah berbincang, kami membuat beberapa deraf yang antara lain menyebut; perolehan harta yang saya dapat itu tidak menyalahi undang-undangpun berdasarkan adanya dokumen-dokumen penyerahan yang sah, saya berhak sepenuhnya samada menjual atau memindahkan milik dan melakukan apa-apa perubahan pada bangunan serta tanah berkenaan. Mulanya saya ingin mengirimkan deraf tersebut kepada setiap seorang yang berkaitan tetapi saya juga memikirkan kesan jangkapanjangnya. Biarpun sengsara jiwa difitnah, saya masih sayangkan hubungan silaturrahim dan hubungan kekeluargaan.

Memandangkan mereka menggunakan Facebook untuk memberi tekanan kepada saya, saya turut menggunakan medium yang sama. Saya buat imbasan pada deraf perundangan tadi dengan menutup maklumat penting seperti nama, alamat dan nombor kad pengenalan, lalu saya jadikan hantaran pada status Facebook saya. Audien yang boleh melihat hantaran ini juga saya tetapkan hanya kepada mereka yang berkaitan. Saya tahu, mereka akan membacanya. Almaklumlah, ALBH sudah pasti rajin mengintai aktiviti seharian oranglain melalui media sosial. Sebagaimana saya tidak menuduh mereka, pastilah merekapun tidak boleh menuduh saya menujukan hantaran ini kepada mereka.

Hasilnya? Menakjubkan. Segala status perkongsian berkenaan istilah ANAK DERHAKA dipadam, gambar-gambar yang boleh dikategorikan sebagai gambar sinis ikut dihilangkan, malahan mana-mana ‘posting’ saya yang selama ini tidak pernah di’like’ (mungkin kerana tidak sealiran gaya hidup) tiba-tiba mendapat peningkatan jumlah ’like’ yang diberikan oleh sepupu-sepupu saya. ‘Posting’ saya bukannya keghairahan bercerita atau memasukkan gambar makan di luar atau berkunjung ke tempat peranginan. Kebanyakannya cuma nota-nota kesihatan dan ringkasan buku-buku yang saya baca. Tidak mengapalah, saya perindahkan fikiran – mereka sedang menimba ilmu. Hahaha.

Saat ini, saya kadang-kadang tergelak apabila membelek semula surat peguam yang membawa impak positif itu. Orang yang semacam melarikan diri, sekarang peramah dan berhemah bila bertegur sapa. Masing-masing berlagak umpama tiada apa-apa pernah berlaku. Saya memaafkan biarpun mereka tidak memintanya. Dan saya memohon maaf walaupun saya tidak bersalah sepenuhnya. Sungguh, ketenangan hati selepas membuang segala amarah hanya Allah yang mengetahui akan nikmatnya.

KETUJUH: MEMENTINGKAN KUALITI. BUAT PERBANDINGAN
Mendepani kerenah golongan ALBH ini memang tidak akan habis sampai bila-bilapun. Kita hendak menghadapinya, jangan meletakkan diri/kedudukan kita di atas landasan yang sama dengan mereka. Kita perbaiki segala kelemahan secara mementingkan kualiti terhadap apa sahaja yang kita lakukan. Bandingkan diri/kehidupan kita dengan oranglain secara membahagikannya kepada dua bahagian/keadaan:-
1. Melihat kelebihan oranglain.
Terbitkan perasaan cemburu. Cemburu yang mendorong kita untuk berusaha memiliki kelebihan seperti oranglain itu juga.
2. Melihat kekurangan oranglain.
Bukan untuk mengeji apatah lagi menghina ketidakadaan orang itu. Sebaliknya mensyukuri nikmat yang kita perolehi.

KELAPAN: KITA TIDAK BOLEH MENGUBAH ORANGLAIN, SEBALIKNYA UBAHLAH DIRI SENDIRI
Nasihat saya; jika kita seorang ibu atau seorang bapa, ambillah teladan daripada perangai orangtua kita yang terdahulu. Latihlah diri kita agar tidak ‘mewarisi’ perangai buruk mereka. Kenali sikap ANASIR LUAR BERPENYAKIT HATI, jangan dijangkiti!

– Hajah U.R –

– Hajah U.R

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.