Friday, 28 October 2016

Terhalang Daripada Tahajjud

PengakuanKu

Assalamualaikum. Saya bekas pelajar UIA. Saya berharap semoga kisah ini menjadi suri tauladan buat diri saya sendiri dan pembaca sekalian.

Saya bukan mahu bercerita tentang konsistensi saya dalam menjaga solat tahajjud. Saya mahu bercerita tentang pengalaman peribadi saya sendiri, kisah yang menyebabkan saya terhalang daripada melakukan tahajjud selama hampir 2 bulan. Saya yakin itu adalah disebabkan oleh kesilapan saya sendiri.

Sekarang saya merupakan pelajar sarjana di sebuah universiti awam di ibu negara. Saya sudah berada di semester ke-3 pengajian. Sejak semester pertama yang lalu, saya sudah dilantik sebagai penolong penyelidik di jabatan fakulti. Dengan gaji yang saya perolehi, dapatlah saya menyimpan untuk yuran pengajian, sewa rumah, bil-bil, tambang pengangkutan, untuk makan dan minum.

Rezeki saya memang sudah Allah s.w.t tentukan. Setelah tamat kontrak sebagai penolong penyelidik pada Mei, 2016 yang lalu, kontrak saya disambung lagi. Pembaharuan kontrak baru menyebabkan urusan gaji saya tergendala selama 3 bulan. Jadi, memandangkan gaji saya tertangguh selama 3 bulan, saya terpaksa bekerja separuh masa sebagai pembantu kedai bagi mengumpulkan wang untuk yuran pengajian serta saraan hidup. Jadi semenjak daripada bulan Julai yang lalu, saya melakukan 2 kerja setiap hari. Paginya saya ke pejabat. Petangnya setelah tamat waktu pejabat, saya bekerja separuh masa sebagai pembantu kedai sehingga jam 10 malam. Sabtu dan Ahad juga saya bekerja antara 8 hingga 12 jam. Jadi, saya bekerja selama 7 hari setiap minggu tanpa cuti.

Bermulalah kisah saya yang terhalang untuk bangun tahajjud selama hampir 2 bulan. Saya tinggal cuma 2 beradik dengan adik saya dalam sebuah rumah yang kami sewa bersama. Adik saya ini juga seorang yang gemar bertahajjud. Namun, bila beliau bangun tahajjud, beliau tidak akan menggerakkan saya untuk bangun tahajjud bersama. Itu memang sudah kebiasaan beliau dan saya sendiri. Kami akan bangun sendiri-sendiri untuk solat malam.

Akibat bekerja sehingga 10 malam setiap hari pada hari Isnin-Jumaat, dan bekerja juga ada Sabtu dan Ahad, saya mengalami kepenatan yang luar biasa. Setiap malam apabila pulang daripada bekerja, saya terus solat, baca al Quran dan tidur. Pada bulan pertama saya bekerja melebihi 40 jam setiap minggu, saya tidak mengalami masalah untuk bangun tahajjud. Namun, setelah masuk bulan ke dua, badan saya mulai merasai kepenatan yang teramat sehingga menyukarkan saya untuk bangun malam. Alarm juga tak berjaya membangunkan saya untuk solat malam walaupun setiap malam saya kuncikan alarm jam 1 pagi, 2:30 pagi dan 4 pagi untuk tahajjud. Namun ketiga-tiga waktu alarm tersebut tidak berjaya membangunkan saya untuk solat di waktu malam.

Tidur saya terlalu nyenyak dek kerana kepenatan bekerja melebihi 12 jam setiap hari (kecuali Sabtu & Ahad kerana terkadang saya ditugaskan bekerja selama 8 jam sahaja di kedai). Terkadang bila saya bangun pagi untuk ke pejabat, saya lihat telefon bimbit yang saya pasangkan alarmnya sudah berada di sisi tubuh saya. Bermakna ketika alarm berbunyi, tangan saya secara langsung mencapai telefon tersebut untuk dimatikan alarmnya, namun tubuh saya tidak terbangun. Dalam seminggu, beberapa kali keadaan ini berulang sehingga dalam seminggu cuma beberapa hari saya mampu bangun malam.

Saya mula resah dengan keadaan ini. Saya renungi kembali apakah saya telah melakukan dosa-dosa yang masih belum saya mohon taubat daripada Allah s.w.t sehingga saya terhalang daripada melakukan tahajjud begini.

Saya mula timbul perasaan marah terhadap adik saya kerana tidak mengejutkan saya bersama setiap kali dia bangun tahajjud. Saya kerap memarahinya kerana perkara itu. Namun, pada awal-awal kejadian ini, saya masih boleh bangun tahajud kira-kira 2-3 kali dalam seminggu. Mungkin kerana kemarahan saya terhadapnya tidak terlalu keras.

Hati saya terlalu bimbang. Sehinggalah suatu hari saya bergaduh dengan adik saya. Pergaduhan yang besar gara-gara kerana saya tidak berpuas hati kerana adik saya tidak membangunkan saya untuk solat malam. Kami bergaduh besar sehingga tidak bertegur sapa selama beberapa hari. Saya menuduhnya mementingkan diri sendiri dan mahu masuk syurga seorang diri sahaja. Dasyat kan tuduhan saya terhadap adik saya tu?

Allah s.w.t Maha Pengasih dan Penyayang. Dia akan menunjuki mana kesilapan dan dosa yang tidak disedari oleh hamba-hambaNya dengan caraNya yang tersendiri. Setelah pergaduhan besar itu, saya langsung terhalang untuk bangun tahajjud. Setiap malam saya gagal bangun. Walaupun terjaga, saya akan tidur kembali kerana terlalu mengantuk. Apabila tersedar paginya untuk solat subuh dan kerja, barulah saya menyesali malam yang saya tinggalkan tahajjud walaupun telah tersedar. Hal ini berlangsung selama hampir sebulan.

Saya mula rasa terbeban dengan perkara ini. Saya bermonolog setiap hari dalam hati dengan Allah..”Ya Allah, apa yang menghalangiku daripada tahajjud begini? Apakah rezeki yang kuperolehi tidak halal? Apakah kerana diriku terlalu penat? Atau adakah kerana Engkau murka kerana aku telah menyalahkan adikku yang tidak membangunkan aku untuk tahajjud sehingga aku memarahinya begitu?” Begitulah pertanyaan saya kepada Allah secara berulang-ulang.

Hati saya cenderung menyatakan bahawa ia berpunca kerana saya telah menyalahkan dan memarahi adik saya kerana hal ini. Saya terus memohon taubat kepada Allah s.w.t. Saya berdoa kepada Allah semoga dipermudahkan saya untuk bangun solat malam lagi seperti sebelum ini. Kerana nikmat solat malam itu terlalu luar biasa. Saya merindukan saat-saat untuk bangun lagi menghadap Allah untuk solat di keheningan malam yang sunyi dan damai.

Alhamdulillah, setelah bertaubat, Allah mempermudahkan kembali untuk saya solat tahajjud. Saya tidak lagi berang kepada adik saya bila satu malam saya tidak terjaga untuk solat tahajjud. Saya menerimanya dengan hati yang lapang dan berbaik sangka kepada Allah bahawa Allah mahu saya berehat sebaiknya dan secukupnya. Sehingga kini saya masih lagi bekerja. Cuma, sebagai langkah alternatif, setiap malam sebelum saya tidur, saya akan pastikan saya akan solat witir 3 rakaat terlebih dahulu. Kerana itu adalah berdasarkan hadith Rasulallah s.a.w yang berbunyi:

“Siapa di antara kalian yang khawatir tidak bisa bangun di akhir malam, hendaklah ia mengerjakan witir, baru kemudian tidur. Dan siapa yang yakin akan terbangun di akhir malam, hendaklah ia mengerjakan witir di akhir malam karena bacaan di akhir malam dihadiri (oleh para Malaikat) dan itu tentu lebih utama.” (HR. Muslim no. 755)

Saya juga cenderung mengikuti cara Abu Bakar as Siddiq r.a. Kebiasaan Abu Bakar as Siddiq r.a itu, sebelum beliau tidur, beliau akan mendirikan solat witir dahulu. Ini kerana Abu Bakar as Siddiq khuatir beliau tidak sekuat Umar al Khattab r.a yang mampu mengerjakan witir di sepertiga malam lantaran kerana Abu Bakar as Siddiq sibuk dengan urusan perniagaan beliau di siang hari. Maka saya memilih cenderung untuk mengikut perbuatan Abu Bakar as Siddiq r.a dalam hal ini kerana dikhuatiri tidak terbangun untuk solat tahajjud lagi.

Pengajaran yang saya petik daripada peristiwa ini ialah kita tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya kita gagal untuk melakukan satu-satu amal kebaikan, kerana ia akan memberi kesan terhadap hubungan kita dengan Allah dan insan yang kita persalahkan itu. Kedua, saya belajar bahasa Islam sentiasa memberikan jalan alternatif bagi penganutnya dalam bab beribadah. Ia tidak rigid sehingga menyukarkan kita untuk mencari pahala beramal soleh. Contohnya telah saya berikan berdasarkan hadith di atas. Contoh yang lain juga adalah seperti ibadah puasa sunat. Mungkin antara kita ada yang tidak mampu melakukan puasa Nabi Daud. Maka Allah s.w. masih memberikan alternatif lain untuk kita merebut pahala puasa sunnah iaitu dengan mengerjakan puasa setiap Isnin dan Khamis. Begitu indahnya Islam.

Ketiga, janganlah kita berasa sombong atas ibadah yang kita lakukan kerana setiap kali kita dapat melakukan amal kebaikan, itu semua adalah kerana izin Allah s.w.t. Allah yang mengizinkan kita untuk bangun tahajjud, Allah lah yang memberikan kita kekuatan untuk puasa sunat, Allahlah yang mendatangkan kemudahan dan rezeki kepada kita untuk bersedekah. Allah jualah punca bagi segala kemampuan yang kita ada untuk beramal soleh.

Akhir kata, semoga confession ini akan berjaya terbit untuk bacaan dan teladan kita semua.

-Si Meot-

– Si Meot

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.