Thursday, 11 January 2018

Cahaya Petunjuk Keimanan

PengakuanKu

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalammulaikum para pembaca. Terima kasih kepada admin sekiranya kisah ini disiarkan. Memandangkan ini adalah kali pertama aku menceritakan kisah hidupku secara umum, jadi perasaan gementar sedang menguasai diri ketika aku menaip kisah ini. Maaf sekiranya terdapat typo dalam coretanku.

Aku anak sulung. Sejak dari kecil lagi, aku sentiasa akur dengan kata-kata orang tuaku. Orang tuaku pula begitu tegas dalam mendidik anak-anak. Lebih-lebih lagi terhadap aku kerana aku tahu mereka mahu adik-adikku menjadikan aku sebagai contoh yang baik.

Kisahnya bermula ketika aku di Tingkatan 4. Ketika di pertengahan tahun Tingkatan 4. salah seorang rakan baikku ini mengaku bahawa dia begitu minat dengan ajaran agama Islam. Dia mula belajar mendalami agama tersebut melalui seorang guru di sekolah kami yang kebetulan agak rapat dengannya. Beberapa minggu sebelum bulan Ramadhan pada tahun itu juga, rakanku itu mengaku bahawa dia telah selamat mengucapkan kalimah syahadah dengan bersaksikan keluarga dan rakan-rakan guru tersebut.

Aku sebagai rakan baiknya pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusan rakanku itu. Ini kerana selama ini aku melihatnya seorang yang taat dalam agama kelahirannya. Untuk makluman para pembaca ketika ini, Allah masih belum memberikan aku sinar hidayah dan terbuka hati untuk mengikut jejak langkah sahabatku itu. Lantaran itulah aku membangkang keputusannya walaupun aku tahu tiada apa yang dapat aku lakukan kerana itu pilihannya, hidupnya. Namun, kami masih tetap berkawan baik dan lama kelamaan aku dapat menerima dirinya seadanya.

Ketika di Tingkatan 5, aku terpaksa berpindah sekolah kerana mengikut keluarga. Memang agak berat hatiku untuk meninggalkan sekolah lama. Apatah lagi, tahun itu merupakan tahun yang penting kerana aku bakal menduduki SPM. Menyesuaikan diri dengan keadaan sekolah baru dan rakan-rakan baru juga turut mengambil masa bagiku. Namun, aku tidak mahu melawan kehendak orang tua dan ku gagahi jua diriku untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah lama dan rakan-rakan baikku.

Di sekolah baru tersebut, aku ditempatkan di sebuah kelas yang hampir majoritinya pelajar muslim. Hanya beberapa orang sahaja yang bukan muslim, termasuk aku. Aku boleh dikatakan mengalami kejutan budaya juga kerana di sekolah lamaku dulu hanya sebilangan sahaja pelajar muslim. Masuk sahaja sekolah baru ini, aku berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Mujurlah rakan-rakan sekelasku ramah orangnya, lantas aku mula berkawan dengan mereka tanpa mengira perbezaan agama dan bahasa antara kami.

Di sekolah baru ini, aku berkawan rapat dengan seorang hamba Allah. Aku kenalkannya sebagai Jenab (semestinya bukan nama sebenar). Kami agak rapat sehinggakan orang tuaku juga maklum akan hal itu. Memandangkan orang tuaku sejenis yang tegas, maka semua rakanku dan juga latar belakang keluarga mereka juga perlu aku maklumkan. Aku tidak pernah menyalahkan mereka atas ketegasan mereka kerana orang tua kita sentiasa mahu yang terbaik untuk kita.

Tinggal beberapa bulan lagi hendak SPM, kami di Tingkatan 5 mula semakin sibuk dengan ujian-ujian percubaan SPM. Sehinggalah pada suatu hari, ketika itu pelajar yang mengambil subjek Bahasa Arab dalam kelas kami masih lagi sibuk menduduki ujian percubaan. Jenab tidak mengambil subjek tersebut dan hanya mengambil subjek Pendidikan Islam (PI) sahaja. Aku pula mengambil subjek Pendidikan Moral (PM). Kebetulan pada hari tersebut, subjek PI dan PM tiada kertas lagi.

Jenab memanggil aku untuk duduk bersama di tempatnya kerana ketika itu minggu ujian percubaan sedang berlangsung dan sudah semestinya meja dan kerusi pelajar disusun secara berasingan. Aku pun bergerak ke tempatnya dengan nada yang perlahan untuk menghormati rakan-rakan kelasku yang sedang menjawab peperiksaan subjek Bahasa Arab. Mujurlah guru yang mengawas membenarkan sebarang pergerakan daripada murid yang tidak mengambil Bahasa Arab dengan syarat tidak boleh membuat bising.

Setibanya aku di tempat Jenab, Jenab lalu bertanyakan kepadaku hendak berbual tentang apa. Aku yang ketika itu langsung tiada idea juga hanya mengangkat bahu. Tiba-tiba, entah dari mana idea Jenab datang, dia mula mengajakku untuk berdebat tentang perbezaan agama. Aku pada mulanya agak terkejut juga dengan idea Jenab, namun aku yakin aku mampu memberikan hujah-hujah yang baik tentang agama kelahiranku.

Perdebatan antara kami pun bermula dengan suara yang cuba diminimakan sebaik mungkin. Semakin lama kami berdebat, semakin banyak pula soalan-soalan tentang agama kelahiranku sendiri yang aku tidak dapat jawab daripada Jenab. Aku tidak marah kepadanya kerana bertanya, namun aku malu dengan diriku sendiri ketika itu kerana pengetahuanku yang sedikit tentang agama kelahiranku, agama keluargaku sendiri. Aku tidak mahu menceritakan di sini apakah yang membuatku aku kelu untuk menjawab segala persoalan daripada Jenab untuk menjaga sensitiviti keagamaan. Perdebatan kami terpaksa ditamatkan apabila selesai sahaja masa menjawab untuk para pelajar yang mengambil Bahasa Arab. Aku dan Jenab berjanji untuk menyambung lagi perdebatan kami, dan kali ini aku berjanji kepada diriku sendiri untuk belajar lebih mendalam lagi tentang agama kelahiranku. Aku bertekad untuk
menjawab segala kekeliruan Jenab tentang agamaku.

Semenjak dari saat itu, aku mula menjadi seorang penganut agamaku yang taat. Setiap aktiviti di tempat ibadah aku akan ikut. Namun, masih juga aku belum menemui jawapan-jawapan kepada persoalan Jenab. Aku bersungguh-sungguh berdoa dan berasa cemburu apabila melihat penganut seagamaku kelihatan khusyuk dalam beribadah. Aku juga ingin merasakan apa yang mereka rasakan ketika beribadah, iaitu perasaan di aman kita yakin wujudnya Tuhan dan kehadiranNya yang begitu dekat sekali dengan kita. Namun, semakin aku mula mendekatkan diri dengan agama kelahiranku, aku pula yang keliru dengan agamaku sendiri. Dalam diam, aku juga mempersoalkan semua persoalan Jenab tentang agamaku.

Hari berganti hari dan tidak terasa aku sudahpun selesai menduduki peperiksaan SPM. Aku dan Jenab pula tidak pernah berkesempatan untuk berdebat lagi kerana masing-masing sibuk mempersiapkan diri dengan SPM. Habis SPM pula, orang tuaku hanya membenarkan aku duduk di rumah sahaja sementara menunggu keputusan SPM supaya aku dapat menolong mereka membuat kerja-kerja di rumah memandangkan ahli keluarga ku semuanya tiada di rumah. Orang tuaku bekerja manakala adik-adikku pula ke sekolah. Jika aku mahu keluar rumah untuk berjumpa dengan rakan-rakanku, orang tuaku akan bertanya banyak soalan dan sepanjang 3 bulan aku menunggu result, hanya 2 kali sahaja aku dibenarkan keluar bersama rakan. Tidak mengapalah, aku faham niat orang tuaku.

Aku masih menjadi diri aku yang berusaha mencari jalan Tuhan yang sebenar. Aku semakin rajin membaca buku-buku agama kelahiranku. Orang tuaku pula semakin gembira dengan perubahanku. Selama ini, sewaktu masih di tempat lama dahulu, aku dan keluargaku tidaklah setaat mana mengerjakan suruhan agama. Ada waktunya kami pergi bersembahyang, kebanyakan waktunya pula tidak. Ketika di tempat baru inilah kami mula perlahan-lahan mencari dan mengikut jalan Tuhan.

Satu petang, ketika itu aku sedang sibuk melipat pakaian-pakaian kami sekeluarga. Dengan tidak semena-menanya aku berasa sedih sekali. Bukan sedih yang biasa-biasa sahaja,ya.. Aku berasa begitu pilu dan sedih sehinggalah aku mula menangis teresak-esak. Mujurlah ketika itu aku sedang melipat pakaian di dalam bilik tidurku. Jadi, tiada seorang pun ahli keluargaku yang tahu akan keadaanku.

Aku bingung namun dalam masa yang sama air mataku tidak berhenti-henti turun. Aku pun berdoa mengikut ajaran agamaku, tetapi masih juga aku berasa sedih yang amat. Entah dari mana tiba-tiba aku teringat akan rakan baikku yang mualaf di sekolah lamaku. Tanpa berfikir panjang, aku mula menaip mesej kepadanya. Ketika ini, zaman WhatsApp belum ada lagi. Telefon yang aku gunakan pun bukanlah telefon pintar.

Mula-mula aku bertanyakan khabar kepadanya kerana sudah lama juga aku tidak berhubung dengannya. Setelah bertukar khabar, aku terus bertanyakannya soalan.
“Bagaimana boleh minat Islam?”
Dia menjawabku bahawa kisahnya agak panjang dan sebaik-baiknya dia mahu merahsiakannya. Aku faham dan akur akan kehendaknya kerana sepanjang kami bersahabat dulu, ketika aku tahu statusnya, aku sering menunjukkan perasaan tidak berpuas hati dengan pilhan agamanya.

Tiba-tiba, ada satu lagi mesejnya masuk;
“Aku tidak tahu bagaimana nak bagitahu kau, tetapi kalau ada yang non muslim nak peluk agama Islam, mereka kena ucap kalimah syahadah.”
Kira-kira begitulah bunyi mesejnya. Aku terus memintanya untuk menghantar kalimah indah tersebut kepadaku.

Ketika ini, aku langsung tidak terfikir akan agama keluargaku. Apa yang aku mahu hanyalah untuk menghilangkan kesedihanku. Dan perasaan serta idea untuk bertanya tentang agama selain dari agama kelahiranku juga aku tidak tahu dari mana datangnya. Mungkin inilah yang dikatakan hidayah Allah.

Tidak beberapa lama kemudian, rakanku itu menghantar 2 kalimah syahadah kepadaku. Kalimah tersebut ditaip dalam rumi. Sebaik sahaja aku 2 kalimah indah itu, perasaan sedihku tadi terus hilang. Lenyap. SubhanaAllah. Tidak dapat aku ceritakan melalui kata-kata betapa lega dan tenangnya hati aku saat itu.

Aku mengucapkan terima kasih kepada sahabatku itu dan bertanya lagi adakan aku sudah muslim dengan hanya mengucap kalimah syahadah itu? Rakanku menjawab dia tidak pasti sama ada aku benar-benar yakin dengan perbuatanku dan memberikan aku nombor telefon guru yang banyak membantunya menguruskan keislamannya.

Memandangkan hari telah larut malam dan pakaian ahli keluargaku pula masih banyak yang belum dilipat, aku mengambil keputusan untuk bertanya kepada guru itu tentang statusku. Ianya mengambil masa selama 3 hari sebelum aku akhirnya mendapat kekuatan untuk bertanyakan tentang statusku kepada guru tersebut.

Aku ingat lagi jawapan beliau kepada persoalanku setelah aku menceritakan serba sedikit kisahku dan perbualanku dengan rakan baikku tempoh hari.
“Insya Allah, awak muslim.”

Hatiku berbunga-bunga membaca mesej guru berkenaan. Semenjak dari saat itu, setiap kali aku menghadapi krisis dalam hidup, aku akan mengucapkan kalimah syahadah dan dengan kuasa Allah perasaan marah, kecewa, sedih dan sebagainya yang negatif akan terus lenyap dari hatiku.

Rasanya, cukup sampai di sini sahaja dahulu perkongsian kisahku. Akan ku sambung lagi di entry yang seterusnya kerana masa begitu mencemburui coretan aku tentang perjalanan hidupku. Terima kasih kerana sudi membaca.

Maaf bukan aku tidak mahu meneruskan kisahku namun ianya terlalu panjang untuk dibuat dalam satu entry. Assalammualaikum.

– Nhia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.