Assalamualaikum. Akak tengok sekarang ramai yang rasa tak cukup duit tapi tak pandai nak berjimat. Akak terpanggil nak kongsi pengalaman berjimat dan menyimpan duit daripada usia kanak-kanak, pelajar ipt sehinggalah dewasa yang dah bekerja. Ni akak bagi senaraikan cara yang pernah akak guna untuk berjimat cermat yang mungkin berguna untuk orang lain yang nak belajar berjimat.
A. Kanak-kanak
Pada akak menabung dan berjimat cermat perlulah dipupuk daripada usia kanak-kanak lagi. Orang kata melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pendapatan kita masa kanak-kanak hanyalah duit bekal. Tapi tak semua orang bernasib baik ada duit bekal. Bagi yang ada dapat duit bekal tu gunakan sebaiknya. Beli hanya keperluan sahaja. Simpan dalam tabung semaksimum mungkin. Duit tabung tu bukan untuk kita beli mainan atau apa sahaja yang dikehendaki tetapi untuk masa depan kita. Daripada kecil lagi perlu didik untuk tahu perbezaan kehendak dan keperluan. Banyak lagi permainan yang tidak memerlukan penggunaan duit. Kalau nak bagi teruja masuk tabung boleh buat buku akaun tabung boleh belajar kira-kira. Tengok akaun makin banyak duit rasa lagi bermotivasi nak menabung.
Biasanya kanak-kanak juga mendapat duit raya. Duit raya ni lepas habis musim raya kalau boleh simpan terus dalam bank. Mak ayah pun jangan la di ambil duit raya anak-anak untuk keperluan diri. Lain la kalau macam betul-betul terdesak sangat boleh mati kelaparan atau hilang tempat tinggal kalau tak guna duit tu. Hiperbola sangat.
B.Pelajar IPT
Kita beralih pula kepada zaman remaja yang baru nak kenal dunia. Baru belajar pegang duit banyak sebab baru dapat duit biasiswa dan PTPTN. Baru rasa nak hidup bebas dan belajar berkawan.
Duit orang bagi nak masuk U tu simpan elok2 atau beli keperluan pengajian. Jadi tak adalah membebankan mak ayah sangat masa masuk U.
Akak tengok budak U sekarang ni makan mewah. Kalau boleh makan ayam hari-hari. Pastu kata duit biasisiwa/pinjaman tak cukup. Akak dulu masa u tengahari sibuk belajar, makan roti 50sen(sekarang dah 70sen) je. Malam makan nasi letak padat-padat kongsi dengan kawan 1 bungkus. Makan lauk telur dadar. Makan ayam tu jarang-jarang sekali. Kadang pergi kat kedai jual nasi ayam minta beli kuah dan leher/kaki ayam je. Kalau dah makan nasi tengah hari, petang makan pisang goreng atau cempedak goreng je.
Jangan couple masa duk U. Mahal kos couple ni. Nak dating la, nak bagi hadiah la, nak topup la. Tak masuk lagi sewa hotel buat zina. Kalau setakat topup cakap dengan mak berapa je sebulan habis. Akak dulu topup RM10 je sebulan untuk cakap dengan mak kat kampung.
Budak U sekarang sukakan hiburan. Ada yang melancong luar negara, jalan-jalan kat ibu kota pun sewa kereta. Akak dulu memang tak ada lah nak melancong masa belajar ni walaupun sekadar dalam negara. Paling hebat pun jalan-jalan kat taman sambil jogging je. Nak pergi mana-mana pun naik kenderaan awam je. Kalau kawan ada kereta baru tong-tong minyak jalan-jalan.
Setiap semester, bila dapat duit biasiswa/pinjaman, jangan duk target nak beli apa. Tapi target nak simpan berapa. Memang kena ada plan kewangan. Akak guna excel je. Senaraikan keperluan setiap semester dan simpanan. Dapat duit terus simpan mana yang nak simpan. Selebihnya barulah guna untuk keperluan yang telah disenaraikan.
Ni akak punya pembahagian kos keperluan masa kat uni, asrama RM500, Belanja 1 sem RM800 (rm50/minggu), buku Rm200, Tiket balik RM200, Yuran pengajianRM700, shopping RM100, kecemasan RM200. RM2700 belanja untuk 1 semester selebihnya akak simpan. Mungkin sekarang kosnya lebih tinggi, tapi kalau dah kita agih siap-siap pengurusannya jadi lebih mudah.
C. Zaman bekerja
Zaman bekerja biasanya baru orang tahu susahnya nak dapat duit.
Masa mula-mula gaji akak kecil je. Macam masa kat U juga, bila dapat duit akak asingkan terus target simpanan akak. Pengagihan akak masa mula2 kerja dengan gaji yang kecil adalah belanja RM300/bulan, rumah sewa RM200/bulan. Akak sewa kongsi bilik dengan kawan. Jadi RM500 dah cukup untuk akak hidup. Jangan lupa setiap pendapatan kita ada hak orang lain. Ingat zakat pendapatan, bagi mak ayah sikit, derma sikit. Yang nak simpan atau bagi orang tu urus masa gaji masuk. Biar tinggal dalam bank apa yang betul-betul kita perlukan je. Baru tak terlebih belanja.
Mungkin akan ada yang kata, mana cukup RM300/bulan untuk belanja. Ok akak cerita macam mana akak cukupkan. Masa tu akak cuma ada motosikal. Jadi isi minyak motosikal untuk ulang alik kerja je la. Dulu minyak murah, sekali isi RM5, seminggu sekali isi, sebulan baru RM20. Motor guna untuk pergi kerja je. Nak jalan2 naik komuter guna duit belanja tu la seminggu sekali tu pun kalau keluar. Makan kat rumah masak sendiri memang jimat. Kalau akak makan kat kedai memang tak cukup la belanja akak. Apatah lagi kalau akak makan kat kedai hipster macam trend sekarang. Satu lagi nak jimat jangan makan lauk mewah. Kalau nak makan lauk mewah daging, udang, ketam tu sekali sekala boleh la. Kolestrol pun banyak, tak elok untuk kesihatan.
Kemudian akak kerja dengan gaji yang lebih tapi jarak yang jauh terpaksa la beli kereta dan guna kereta. Bila guna kereta ni, perbelanjaan mencanak naik, tu pun akak bukan beli kereta mahal, akan beli kereta murah, kecil dan manual lagi sebab nak jimat minyak. Tapi tak apa lah ada rezeki lebih kan. Akak pun bukan duduk dibandar besar masa tu yang ada sistem pengangkutan awam yang baik. Jadi terpaksalah. Tapi nak jimat akak kongsi kereta dengan housemate akak, kurang-kurang dapat jimat duit minyak memandangkan tempat kerja jauh lebih 10km.
Ni pembahagian perbelanjaan akak bila dah beli kereta. Belanja RM300, ansuran kereta RM370, belanja kereta RM100 (service dan insurans), Minyak RM100, Sewa rumah RM200, Duit dapur RM100, Kecemasan RM100. Jadi semuanya dalam RM1300 sebulan selebihnya simpan kemas-kemas. Nampak tak beza bila ada kereta. Jadi selagi boleh hidup tanpa kereta, tak payah lah beli kereta. Ni akak tak masuk kos balik kampung. Akak balik 5 kali setahun. Kalau akak masukkan nanti nampak tinggi pula, macam mana nak menyimpan. Jangan risau bila balik kampung buat mak ayah gembira, hidup tu jadi berkat. InsyaAllah duit cukup dan boleh menyimpan.
Kalau teringin nak pergi melancong atau nak beli barang mahal, rancang awal-awal. Buat penjimatan belanja bukan ambil dari duit tabungan. Pernah pengalaman akak, nak beli tv untuk rumah sewa kita orang, kami makan ayam 2 bulan tak beli lauk mewah sebab nak kumpul duit dapur beli TV yang paling murah.
Mungkin akak tak tunjuk perbelanjaan akak bila dah beli rumah tapi kalau kita dah menyimpan jadi rutin tetap kita maka tak susahlah untuk kita mengumpul deposit dan membayar ansuran rumah kita.
Bila gaji dah banyak, bayar zakat pun jadi makin banyak. Derma pun boleh la ditambah. Orang kita ni sibuk je menyimpan untuk masa depan katanya. Masa depan kita kat akhirat sana bagaimana? Dapat bonus, dapat kenaikan gaji jangan asyik duk fikir nak shopping apa. Fikir juga nak derma berapa. Ramai yang sibuk beli hartanah dan beli insurans, jangan lupa beli juga singgasana di syurga sana.
Akhir kata daripada akak, kita hidup kat dunia ni sekejap je. Duit tu bukan matlamat kita, ia hanyalah salah satu alat untuk kita cari pahala. Kalau tak mampu nak kumpul duit macam orang lain sebab rezeki kita lain-lain, jangan rasa bersedih kerana kita ada banyak lagi jalan untuk memperoleh pahala selain daripada menjadi kaya. Ingatlah setiap duit yang dibelanjakan akan disoal di akhirat kelak. Letakkan duit ditangan bukan dihati, nanti hati kita akan mati.
P/S: Ni bajet untuk orang bujang, kalau dah berkeluarga pastinya jauh lebih besar…
– iXoRa
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment