Salam. Saya Anis, dari Kelantan. Berani tulis nama sebenar sebab kat Kelantan ramai yang nama Anis. Cekak duk caghi la orang Kelantan cakap heh.
Ni cerita sebenar, cerita pasal mak dan keluarga saya. Entah, tetiba rasa nak meluah perasaan disini. Mungkin boleh dijadikan iktibar oleh pembaca.
Mak saya merupakan anak bongsu dari empat adik-beradik. Disebabkan mak saya bongsu, mak saya jarang berada didapur. Expectedlah kan, orang perempuan lama-lama dulu memang diajar untuk masuk ke dapur dari usia muda lagi. Hal ni berlainan dengan mak saya. Mak saya takde lah dilarang masuk ke dapur tapi beliau juga tidak disuruh masuk ke dapur. Disebabkan mak saya ada dua orang kakak (no dua dan tiga), kerja-kerja rumah biasanya terlebih dahulu disiapkan oleh mereka berdua sebelum mak saya sempat berbuat apa-apa. Masa berlalu dan mak saya terbiasa dengan tak buat apa-apa kerja rumah, jadinya pada umur 20an mak saya tak reti masak nasi pun. Dengan sibuk belajar lagi, makanya masa umur 25 pun hmmmmm. Makcik saya dua-dua bersekolah sampai sekolah menengah saja. Kalau ikutkan, nenek saya saangat pandai memasak. Disebabkan tu, dua makcik saya sangat pandai masak. Dulu, masa kedua-duanya ada lagi, kalau paginya minta saja apa yang kita nak makan, selalunya akan siap terhidang dah petang tu, sedap pula tu. Abah selalu marah mak sebab masa arwah nenek ada dulu, taknak belajar masak hahha. Tapi nasib baik, arwah nenek ni jenis yang suka tulis dalam diari. Arwah ada tinggalkan resepi, siap dalam tulisan jawi lagi diknon, haha. Mana yang terjumpa tu, boleh lah belajar. Sedap sangat.
Berbalik pada cerita, mak kahwin dengan abah masa umur 27 tahun. Mak cakap, masa awal-awal kahwin tu ya ampun, memang kelam-kabut habis lah nak belajar masak, kalau boleh hari-hari nak telur goreng. Mana sempat nak belajar siang ikan siang ayam secepat tu. Tambah lagi, dulu mana cik google. Tapi dalam kelam-kabut tu, alhamdulillah, mak survived. Sebab apa? Sebab abah ni jenis pandai masak! Hahah. Mula-mula, siapalah nak bagitahu kan dia tak pandai masak. Tapi abah macam boleh agak, so sambil abah masak, abah ajar mak. Macam tu lah. Sekarang dah terer dah, tapi itulah kitorang kalau nak masak apa-apa susah sikit, still, abah lah rujukannya hihi. Ni baru bab memasak abang kakak sekelian. Belum lagi bab mengemas rumah.
Disebabkan mak kerja (guru), rumah kadang-kadang tak berkemas. Mak cakap mungkin sebab mak tak dibiasakan dengan menyuruh anak buat kerja rumah, mak end up buat sorang-sorang. Saya anak kedua dari tujuh beradik. Anak sulong, lelaki. Dari saya kecil sampai lah besar, mak memang tak pernah pun suruh saya buat kerja rumah. Jadi, kerja saya main je lah sepanjang hari. Balik sekolah, tukar baju, keluar main. Baliknya maghrib hah kau. Masa bilanya nak tolong mak kemas rumah. Baju bersih berlonggok dalam bilik, kalau nak pakai cari kat situ je. Memang berulang je cycle ni sampai lah ada satu kejadian tu yang buat saya berubah 360 darjah.
Masa ni saya darjah dua, kejadian berlaku kat kampung, rumah nenek. Masa tu nenek ada lagi.
Saya tak ingat dah pukul berapa masa tu, yang pastinya malam, semua tengah tidur. Mak abah, lepas balik sekolah terus bertolak ke rumah nenek haritu. Penat agaknya, jadi diorang tidur awal, dalam bilik. Kat kampung biasalah kan, cucu2 tidur bergelimpangan kat segenap rumah tu haha. Tapi kitorang pisahkan la, lelaki dengan perempuan. Nak dijadikan cerita, tempat tidur perempuan ni, dekat sikit dengan tempat tidur nenek. Masa tu, saya dengan adik-adik ( saya dengan dua orang adik je cucu perempuan nenek ) tengah siap nak tidur, makcik 3rd dengan cousin ipar (perempuan) yang 20 tahun lebih tua dari saya pergi duduk dekat nenek. Nenek tak tidur lagi. Entah apa yang diorang bualkan saya tak tahu. Adik-adik dah tidur, saya tengah berusaha nak tidur. Nak tutup mata dah ni, tetiba tersentak bila saya dengar nama mak saya keluar dalam perbualan diorang. Apa yang diorang cakap?
” Mok eh, cuba lah marah anak dara che su (mak) tu sikit, tak pandai langsung buat kerja rumah. Main je kerjanya. ”
” Tu lah mok, masak nasi tak reti, perangai macam jantan. Sikit-sikit main. Kalau orang nak berenang kat sungai, semangat dia nak ikut, nak mandi sungai sekali. Ish”
” Che Su mu ni, tak pandai sungguh ajar anak. Tu lah, aku pergi rumah dia pun, aku kena menyapu rumah. Eyy takleh duduk aku kalau tak menyapu mengemas rumah dia.”
Saya, masa tu mampu nangis je. Tak sangka pulak, mak diburuk-burukkan sebegitu rupa kat belakang. I was freaking 8 years old, seriously what were they thinking? Kalau susah, takde duit sikit, langkah tu macam ribut cari mak.
Percaya atau tak, sejak dari tu, budak umur 8 tahun yang nakal tahap astaghfirullah tu (bagi dioranglah) berubah. Tapi kat rumah sendiri je lah, sebab kesian dengan mak. Kat kampung, saya membuta je sebab sakit hati dengan sepupu dan makcik saya. Biar je lah diorang je yang buat kerja tu. Lama-lama baru lah perasaan sakit hati tu hilang, rasa ikhlas buat kerja rumah kat kampung datang sendiri. Tapi apa yang diorang cakapkan malam tu, kalau diizinkan Allah, saya ingat sampai mati. Sekarang saya 23 tahun, satu-persatu perkataan saya ingat. Pendendam ke? Entahlah diknon. Bukan tu saja, bila saya makin besar, saya perasan, orang kampung (jiran2 nenek) pun macam pandang saya sebelah mata. Siasat punya siasat, rupanya berita mak saya tak pandai ajar anak dah tersebar ke seluruh kampung. Tahukan kalau orang dulu, sorang anak kampung masuk Universiti riuh sekampung. Sebab tu, keluarga mak saya agak dikenali dikampung. Masuk U, jadi cikgu dah terbaik dah tu. Tapi, dalam terbaik pun diburukkan juga ya. Dasar manusia lidah becabang. Depan lain belakang lain. Lol. Abaikan, emo sikit please.
Sebab nak jaga air muka mak, pandai-pandai sendiri la saya berubah. Mak takde suruh buat apa pun. Lama-lama dah jadi tabiat, alhamdulillah. Darjah lima dah pandai masak, okay lah tu. Walaupun masa darjah tiga, kekonon nak cuba resepi baru, letaklah sikit kopi dalam nasi goreng, last-last bagi ayam makan je hahaha. Kerja rumah pun tiptop, study pun ermm boleh lah. Still surviving, doakan saya pass ACCA semuaaa. Kalau nak dibandingkan dengan anak cousin dengan makcik saya tu, hmmmphhh nak kena cerita ke? Bagitahu hampeh je lah.
Berbalik pada cerita, disebabkan perbualan malam tu juga, saya berubah jadi seorang yang pendiam, tiada keyakinan diri. Sebab saya rasa macam semua orang pandang senteng pada saya. Saya rasa bersalah sangat-sangat pada mak. Saya rasa takut dengan orang, dan yang paling penting, saya benci sepupu ipar saya tu dan makcik saya. Teruk kan? Tapi ya Allah, alhamdulillah, tak lama pun benci tu. Takut tahu tak ada perasaan benci dekat saudara sendiri.
Maaf kalau meleret-leret, banyak kali kena berbalik pada cerita.
Saya nak minta sangat, kalau makcik2 pakcik2 abang kakak semua nak mengumpat, memburuk-burukkan orang, tolong tolong tolong pastikan yanganda tida berada dalam range budak-budak boleh dengar. Budak-budak ni, apa yang dia serap, kita tak tahu dia akan keluarkannya sebagai apa. Saya ni entah macam mana bila besar pandai fikir, tak baik benci, tak baik itu ini. Orang lain kita taktahu kan? Nak selamat, better tak yah mengumpat terus ye dak?
Dan, jangan sesuka hati je mengata, bercakap besar. Saya taknak bercakap besar, ini sekadar untuk dijadikan iktibar je lah, anak-anak sepupu dengan makcik saya tu, lebih teruk dari saya yang dulu. Jangan sesekali bercakap mendabik dada, sekejap je Allah boleh tarik. Saya yakin, saya tak payah buka cerita saya, sekeliling anda semua pun ada cerita, ada yang anda boleh ambil iktibar kan?
Okay itu saja, senyum selalu. Moga hari esok lebih baik dari hari ni untuk semua. Assalamualaikum.
– Anis
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment