Salam. T.kasih pihak IIUMC jika pihak kalian menerima tulisN saya ini.
Maafkan saya, jika tulisan saya bakal menyinggung perasaan kalian dalam keadaan saya tak sedar. Tujuan saya menulis di sini adalah untuk berkongsi hidup untuk kita bersama-sama ambil pengajaran dan pedoman, bukan untuk membuka pekung di dada.
Cukup kenal saya sebagai Jean. Saya kini berusia 24 tahun. Saya di lahirkan dalam ‘broken family’.
Mak dan ayah saya bercerai ketika saya di sekolah rendah. Selepas bercerai, mak menghilangkan diri, ayah tinggal bersama isteri baru di daerah lain, dan saya, tinggal bersama abang dan di jaga oleh pembantu rumah yang ayah saya upah. (Kami cuma dua beradik). Namun, saya dan abang saya selalu buat hal sendiri. Ketika itu, saya rasa saya normal seperti kanak-kanak yang lain. Cuma beza, bila keseorangan, saya akan menangis rindu mak. Hehe.
Sehinggalah saya tingkatan 1. Kami di jaga oleh mak saudara. Mak saudara ni pula, jenis cakap main lepas, dan suka menggunakan kata-kata yang tajam. Pada awalnya, saya cuma mahu membiarkannya, tanpa sedar lama kelamaan, kata-kata sinis dan sindiran mak saudara semakin terasa di hati. Saya normal ketika di sekolah, boleh bergelak ketawa, dan kawan-kawan menganggap saya seorang yang ‘happy go lucky’. Namun, keadaan berbeza apabila saya balik ke rumah. Saya jadi senyap. Selepas selesai saja buat kerja, saya akan terus duduk berkurung di dalam bilik. Dan saya mula perasan sikap pelik saya. Pertama, saya suka bercakap sendiri. Kedua, tiada angin tiada ribut, saya akan menangis secara tiba-tiba.
Tingkatan 4, saya mula tinggal bersama mak tiri dan ayah saya. Ingatkan saya akan berubah apabila dapat tinggal bersama ayah, rupanya dalam diam ada yang tidak suka. Sekali lagi, kata-kata sindirin dan sinis menjadi halwa dan ‘makanan’ buat ku. Dengan keadaan aku yang baru berpindah sekolah, aku mula tertekan. Hilang minat ke sekolah, hilang minat nak bergaul dengan orang, suka tidur. Saya juga hilang minat untuk hidup. Melihatkan keadaan saya, saya di katakan terlalu manja.
Saya tiada sesiapa. Hanya keseorangan. Mahu mengadu dengan ayah, ayah pula sibuk kerja. Dan akhirnya, saya mencipta seorang rakan baru untuk jadi peneman. Dan ‘rakan’ baru ini lah yang banyak ‘nasihat’kan saya agar terus memendam perasaan marah. Dan jika terlalu marah, cederakan saja diri sendiri. Kesan calar dan lebam di badan itu biasa. Bukan di dera oleh mak tiri, tapi disebabkan perbuatan saya sendiri. Saya hanya rasa ‘puas’ dan lega apabila saya dapat rasa kesakitan pada diri saya. Akibat terlalu tertekan juga, saya pernah cuba membunuh diri. Syukur, Allah masih memberi kesempatan untuk bertaubat.
Astaghfirullah.
Saya masih tidak tahu, kenapa saya boleh bertindak sedemikian. Mak tiri, ayah, keluarga, cikgu-cikgu semua hanya menganggap saya mengada-ngada, dan nakkan perhatian. (Pada mulanya saya akuI, sebab saya terasa terlalu kosong dalam jiwa saya, dan berasa terlalu sunyi). Bukan taknak cerita atau luahkan, cuma saya takut orang tak percayakan saya. Saya takut, orang akan terus menganggap saya mengada-ngada. Dan takut akan ditinggalkan.
Sehinggalah satu hari, ketika itu seorang cikgu kaunseling, ingin meminjam kertas soalan peperiksaan, dan terlihat contengan saya di bahagian belakang muka surat kertas soalan. Memang saya gemar menconteng, dan kerap buat contengan yang sama berulang kali, menggunakan pen hitam. Bagi saya, contengan itu tiada makna, tapi tidak bagi Cikgu Kaunseling. Saya dipanggil untuk sesi kaunseling. Alhamdulillah, guru-guru di Unit Bimbingan dan Kaunseling lah yang banyak membantu dan memberi semangat untuk teruskan belajar. Ikutkan hati, saya langsung taknak belajar lagi. Bagi saya, saya langsung tak berguna.
Benar, saya tidak didera secara fizikal. Tapi penderaan secara mental melalui kutukan, kata-kata sinis, sindiran, itu lah yang mematikan jiwa saya. Dan ketahuilah, di dera mental itu sangat menyakitkan. Ya, bagi sesetengah manusia, dengan cakap lepas, cakap tak berlapik, dapat melegakan hati, tanpa sedar, perbuatan itu akan memberi kesan pada yang lain. Kadang kita tak sedar, orang tersebut mungkin ada masalah sendiri.
Di usia ini, saya masih belajar untuk berfikiran positif. Saya sedar, sikap saya yang terlalu berfikiran negatif, takut, akanmenyusahkan orang lain. Tetapi kebanyakan orang yang saya jumpa, lebih suka menghukum tanpa cuba membantu. Mahu kembali berkeyakinan juga saya masih belum mampu. Semua hanya disebabkan ‘kata-kata’ yang dilemparkan pada saya sebelum ini.
Buat pembaca, maaf jika coretan ini mengelirukan dan panjang. Harap dapatlah bersama-sama menjaga mulut selepas ini. Dan juga,mohon doakan saya untuk terus kuat menempuh hidup ini. Insya Allah saya pun sedang mula belajar agama yang saya tak pernah ambil tahu sebelum ini.
Sebagai orang Islam pun, kita dituntut untuk bercakap baik atau pun diam. Ada hikmah Allah ciptakan hati yang boleh bersuara, dan akal yang berfikir. Jika mahu menyindir atau mahu menggunakan kata-kata yang boleh mengguriskan hati orang lain, biarkan ia bersuara dan simpan dalamhati dulu.
Maaf sekali lagi. Terima kasih.
– Jean
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment