Tuesday, 21 August 2018

Adab Bertamu

PengakuanKu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Esok ummat Islam akan menyambut satu lagi hari kebesaran buat kita iaitu Hari Raya Aidiladha.

Amalan ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai adalah amalan mulia yang wajar diteruskan.

Namun begitu, kita sebagai umat Islam perlu sentiasa menjaga adab dalam apa jua perkara yang kita lakukan.

Adab bertamu jangan kita lupakan.

Saya tahu, kita pasti ‘excited’ untuk berjumpa sanak saudara dan sahabat handai. Tambahan pula jika sudah lama tak berjumpa.

Namun harus diingatkan, elakkan berkunjung di waktu tengah hari dan selepas isyak.

Waktu tengah hari adalah waktu untuk tuan rumah dan ahli keluarganya untuk berehat, solat zohor dan makan tengah hari.

Manakala selepas isyak pula adalah waktu untuk tuan rumah sekeluarga tidur dan berehat setelah seharian menerima kunjungan tetamu.

Pilihlah waktu bertamu yang sesuai agar kedua-dua belah pihak senang hati dan gembira.

Adab bertamu yang kedua adalah jaga pandangan anda wahai tetamu. Apabila sudah dijemput masuk oleh tuan rumah, jagalah pandangan mata anda, jangan meliarkan pandangan melihat susun atur rumah, mengira jumlah bilik dan tandas yang ada, menjenguk dapur dengan niat untuk melihat susunan dapur dan sebagainya. Kita sedia maklum, apabila hari raya atau hari kenduri diadakan sudah tentu susunan dapur tuan rumah agak “serabut” kerana kesibukan menyediakan hidangan untuk menjamu tetamu. Jangan lah kita seolah-olah penyiasat tidak bertauliah yang mencari-cari kesalahan dan keburukan tuan rumah.

Sama juga bila tumpang solat di bilik, tunaikan solat dengan sebaiknya dan penuh kusyuk lalu bersegeralah keluar daripada bilik tanpa perlu sekali lagi meliarkan pandangan mencari kesalahan susun atur dan sebagainya.

Pentingnya menjaga mata dan pandangan ketika bertamu kerana boleh mengundang ketidakselesaan kepada tuan rumah dan ahli keluarganya, serta untuk mengelakkan diri tetamu itu sendiri daripada membawa cerita yang tidak enak tentang rumah tersebut, lalu boleh membawa kepada mengumpat dan memfitnah.

Adab yang ketiga, apabila tuan rumah menghidangkan makanan dan minuman dengan kemampuan yang dia ada, hormatlah,makan dan minum tanpa mengeluarkan komen-komen yang tidak sepatutnya, baik dihadapan tuan rumah mahupun apabila sudah pulang ke rumah sendiri.

Bukan semua orang mampu untuk menjamu hidangan yang mewah dan enak. Niat murni tuan rumah dan susah payahnya beliau untuk menjamu tetamu dengan kemampuannya perlu kita hormati.

Adab yang terakhir pada pendapat saya adalah, tetamu tidak sewajarnya duduk terlalu lama di rumah yang dikunjunginya.

Berikanlah ruang waktu untuk tuan rumah dan ahli keluarganya untuk berehat dan mengemas rumah.

Doakan tuan rumah dan ahli keluarganya yang telah melayan dan menyantuni kita serta memberi kita makan dan minum.

Jaga lah adab bertamu terutamanya di hari yang mulia ini.

Niat yang mulia untuk menziarahi dan mengeratkan silaturrahim tidak sewajarnya dicemari dengan tingkah laku yang tidak sopan dan tidak beradab.

– Lily

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.