Assalamualaikum para pembaca IIUM Confessions. Pertama sekali, terima kasih kepada admin kerana sudi approve confession aku. Aku perkenalkan diri aku sebagai Ana. Aku bukanlah seorang mahasiswi IIUM tapi aku pembaca setia page ni. Aku merupakan seorang penuntut tahun kedua di sebuah Ipta yang terletak di selatan tanah air.
Aku nak berkongsi serba sedikit tentang kisah hidup aku. Dahulu, aku merupakan seorang pelajar yang boleh dikatakan sebagai pelajar cemerlang. Aku sentiasa berada di kelas pertama dan setiap kali ada peperiksaan awam, aku pasti akan mendapat semua A dalam semua matapelajaran. Aku cukup bangga dengan pencapaian UPSR dan PMR aku pada ketika itu. Aku bukan sahaja bangga kerana aku berjaya mencapai target yang aku tetapkan, bahkan aku juga dapat mengalahkan pencapaian rakan-rakan baikku. Aku cukup suka bersaing dari segi akademik.
Namun, segalanya berubah apabila aku masuk ke tingkatan 4. Jujur aku katakan bahawa aku kurang berminat dengan aliran sains. Tapi aku tiada pilihan kerana pencapaian PMR aku membuktikan bahawa aku mampu membawa aliran tersebut dan cikgu juga telah memasukkan nama aku ke dalam senarai pelajar sains tulen. Rakan-rakan baikku juga majoriti memasuki kelas aliran sains. Aku cuba untuk meyakinkan diri aku sendiri pada ketika itu. Tambahan pula, aku ada juga bercita-cita ingin menjadi seorang doktor hehehe. Untuk pengetahuan semua, aku mengambil 10 subjek untuk SPM iaitu subjek-subjek sains tulen termasuk subjek akaun.
Pada peperiksaan pertama sewaktu di tingkatan 4 sahaja aku telah gagal 2 subjek iaitu subjek kimia dan akaun. Kegagalan yang aku hadapi berterusan sehingga percubaan SPM. Pernah pada peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 5, aku gagal sehingga 5 daripada 10 subjek. Walaupun aku study lebih daripada orang lain, namun aku sentiasa gagal dalam peperiksaan. Pernah sampai satu tahap, aku langsung tiada perasaan apabila mendapat keputusan peperiksaan yang tertera perkataan ‘gagal’ pada senarai subjek. Aku sudah lali,namun aku tidak pernah berhenti beruasaha.
Alhamdulillah, keputusan SPM aku agak memuaskan walaupun aku tidak berjaya mencapai target aku. Jujur aku malu dan cemburu dengan rakan-rakan baikku. Mereka semua memperoleh keputusan yang sangat cemerlang sedangkan kami sentiasa berlajar bersama-sama. Kenapa aku tidak cemerlang seperti mereka? Aku hanya mampu tumpang gembira melihat rakan-rakan baikku menyambung pelajaran ke universiti masing-masing. Aku juga berjaya melanjutkan pelajaran, namun bukanlah di universiti seperti mereka. Aku hanya mampu melanjutkan pelajaran ke institusi kemahiran. Jauh di sudut hati aku tetap bersyukur kerana setidak-tidaknya Allah masih memberikan aku peluang untuk aku kembali membuktikan kemampuan aku.
Setelah melanjutan pelajaran ke IPT, aku telah menanam azam baru. Aku ingin menebus kembali segala kegagalan yang aku hadapi sewaktu di SPM dahulu. Aku sangkakan bahawa cerah sampai ke petang, rupa-rupanya hujan ditengah hari. Walaupun aku bertungkus lumus di sini menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh para pensyarah, tidak pernah ponteng daripada menghadirkan diri ke kuliah, sentiasa membuat ulangkaji, namun keputusan peperiksaan aku tetap tidak memuaskan. Bak kata rakan aku, keputusan aku hanya cukup-cukup makan sahaja. Jujur aku akui bahawa aku kecewa.
Aku pernah mencari dimana silap aku sehingga aku gagal mencapai kecemerlangan dalam akademik. Aku bukanlah seorang anak yang tidak menghormati ibu bapa. Aku sangat taat pada ibu bapa dan sanggup berkorban untuk mereka. Bagi aku, keluarga adalah segala-galanya. Aku juga taat pada perintah Allah, aku tidak meninggalkan solat dan aku memang seorang yang memelihara aurat. Al-Quran juga aku amalkan setiap hari. Aku turut menjaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Namun kenapa sukar untuk aku beroleh kejayaan?
Aku buntu dimanakah silapnya lagi sehingga aku gagal mencapai apa yang aku inginkan. Pernah sampai satu tahap aku tidak mahu berusaha lagi kerana aku tahu bahawa apa yang aku dapat tidak setimpal dengan usaha yang aku berikan. Tapi demi amanah dan harapan ibu bapa, aku akan usahakan juga untuk mencapai kecemerlangan. Doakan aku agar aku berjaya memcapai kecemerlangan seperti dahulu ya!
Ana
– Ana
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment