Monday, 25 September 2017

Terima Kasih Sekolah Tahfiz

PengakuanKu

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ

Tujuan saya menulis ialah untuk menceritakan pengalaman saya sendiri menyekolahkan anak-anak di sekolah tahfiz sejak dari umur sekolah rendah dan melahirkan rasa terima kasih saya kepada sekolah tahfiz.

PENDAHULUAN

Berikutan kejadian kebakaran sekolah tahfiz yang terbaru berlaku pada tanggal 14 September 2017, pelbagai reaksi negatif yang dilemparkan terhadap pusat tahfiz ini dan ibubapa yang menghantar anak mereka ke sini . Malah pusat-pusat tahfiz lain turut terpalit sama. Di antara yang disebut ialah sekolah tahfiz membunuh, ibarat ayam dalam reban dan pelbagai tohmahan lain. Komen-komen negatif ini menambahkan lagi kesedihan pihak yang terbabit termasuk gesaan untuk menutup pusat-pusat tahfiz sebegini. Tidak dinafikan pusat tahfiz ini banyak kelemahan terutama dari segi kemudahan dan infrastruktur memandangkan pembiayaannya adalah secara persendirian. Tetapi pada saya manafaat mengatasi kelemahan dan kelemahan tersebut masih boleh diperbaiki terutama dari aspek keselamatan.

Komen-komen negatif begini mungkin datang dari mereka-mereka yang tidak menyedari peranan yang dimainkan oleh pusat tahfiz ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang berakhlak dan bertaqwa mengikut acuan agama dalam pada masyarakat islam hari ini tenggelam dalam masalah sosial yang kian meruncing. Statistik kelahiran anak luar nikah sehingga kini melebihi 500 000 orang membuktikan parahnya masyarakat islam hari ini . Belum ditambah dengan kadar penagihan dadah yang mencanak.
Oleh itu sepatutnya dengan peranan yang dimainkan oleh pusat tahfiz sebegini, kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu memperkemaskan lagi kemudahan dan keselamatan di sini, bukannya gesaan ditutup. Yang perlu ditutup ialah pusat-pusat judi, kelab malam,pusat karaoke dan lain-lain pusat hiburan yang melahirkan rakyat yang rosak akhlak, mabuk dan jauh dari agama.

Saya sebagai salah seorang dari ibubapa yang mempunyai pengalaman menyekolahkan anak di sekolah tahfiz , ingin berkongsi pengalaman tersebut dengan pembaca semua dan mungkin apa yang saya kongsikan ini boleh mewakili sebahagian daripada ibubapa yang sama menghantar anak ke sekolah tahfiz begini sejak dari kecil. Semoga apa yang saya kongsikan ini yang berupa pengalaman sendiri boleh juga diambil sebagai panduan sekiranya ianya baik dan sebagai sempadan sekiranya ianya buruk terutama kepada mereka yang berhasrat memberi didikan agama sepenuhnya kepada anak-anak sejak dari kecil dan menyediakan biah solehah bagi mereka.

Saya mempunyai 3 orang anak perempuan yang sekarang berusia 24,23 dan 20 tahun dan saya merupakan seorang wanita yang berkerjaya. Apa yang saya ingin luahkan disini ialah rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah yang memberi hidayah kepada saya dan terima kasih kepada sekolah tahfiz atas beberapa faktor.

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA MENYEDIAKAN BIAH SOLEHAH UNTUK ANAK-ANAK

Saya mengambil keputusan untuk tidak menyekolahkan anak-anak disekolah kebangsaan sejak dari usia mereka sekolah rendah lagi atas beberapa faktor :

1. Keadaan saya sebagai wanita berkerjaya yang keluar pagi dan balik lewat petang menyebabkan saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengajar agama kepada anak-anak. Saya mahu anak saya mendapat didikan agama sepenuh masa sejak dari kecil.
2. Rasa sayang teramat kepada anak-anak membuatkan saya bimbang dengan pengaruh negatif rakan sebaya di sekolah kebangsaan dengan kata lain mahu menyediakan biah solehah untuk anak-anak.

Suasana pergaulan di sekolah tahfiz terkawal cukup membuat kita merasa selamat. Namun begitu, tanggungjawab menyediakan biah yang solehah tentu tidak akan berkesan jika kita harapkan pihak sekolah semata-mata. Kita ibubapa perlu berperanan. Setiap hujung minggu, anak-anak bersama saya. Jadi apa yang saya buat ialah ‘say no to tv’. Bila kami pindah ke rumah sendiri, kotak tv memang ada, tetapi tak ada siaran. Saya gunakan sekadar untuk menonton video-video pendidikan pilihan sahaja.
Sebelum pindah kerumah sendiri anak-anak dah terbiasa juga dengan tv, tapi bila pindah, saya pujuk anak-anak yang masih kecil masa tu, tak boleh tengok tv ni, nanti syaitan masuk rumah kita. Anak-anak masih kecil lagi, jadi mereka menurut sahaja. Satu kelegaan yang amat sangat dirasai apabila rumah bebas dari pengaruh tv. Memang orang selalu kata, tv pun ada program yang positif, jadi kita boleh pilih. Tapi pada saya dengan memberi remote control kepada anak-anak, yang pasti anak kita tak selamanya kecil,lama kelamaan mereka akan explore macam-macam, tak terkawal jadinya. Bak kata kawan saya yang bila mendapati payah nak kawal ketagih tv dikalangan anak-anak, terus dia buang arial dan beritahu anak-anak tv rosak. Bermula hari itu dah tak ada siaran tv di rumah. Sebenarnya boleh je anak-anak ni akur. Semuanya atas ketegasan kita. So jangan harapkan sekolah sahaja, dia perlu ‘dua kolah’ ..he he iaitu satu pihak sekolah dan kedua pihak ibu bapa yang menyediakan biah solehah untuk anak-anak.

Pada saya yang kebanyakan masa anak-anak disekolah, sangat berterima kasih kepada pihak sekolah tahfiz yang menyediakan kawan-kawan yang suasana yang solehah buat anak-anak .

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA MENYEDIAKAN SEKOLAH UNTUK ANAK-ANAK KAMI SEMENJAK SEKOLAH RENDAH

Saya sendiri datang dari keluarga yang mementingkan didikan akademik. Kebanyakan dari adik beradik saya bersekolah di asrama penuh. Jadi saya dapat rasakan untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah swasta agama yang serba kekurangan ini akan mendapat tentangan dari keluarga. Sebab itu bila kami plan nak hantar anak-anak ke sekolah tahfiz,ianya bermula dengan strategi pertama iaitu duduk berasingan dari ibu ayah. Kami memang sengaja buat rumah yang berjauhan dari mak ayah supaya cara fikir kami yang agak berbeza dari kebanyakan orang dari segi pilihan sekolah anak-anak tidak mendapat bantahan awal dari keluarga.

Oleh itu kat mana kami hantar anak kami sekolah tidak pernah diberitahu kepada mak-ayah. Pernah seorang kawan ayah tanya beliau didepan saya, kat mana anak-anak saya belajar. Ayah saya jawab entahlah tak tahu kat mana dia hantar anak-anak. Saya pun cuma diam je. Dalam hati syukur sangat kerana ayah tak campur tangan.

Maklum sajalah sekolah pertama anak kami sejak sekolah rendah ialah di sebuah madrasah yang di asaskan oleh seorang ustaz yang baru balik Mesir. Beliau menawarkan anak kami bersekolah di madrasahnya yang baru mengambil pelajar ambilan pertama. Memandangkan dekat je dari rumah dan anak pun kecil lagi, jadi bolehkan selalu datang jenguk, lalu kami pun bersetuju. Bayangkan masa tu anak sulung darjah satu,anak kedua 6 tahun dah hantar sekali dengan kakaknya. Tapi sebab dekat, tiap-tiap hari datang ziarah selepas balik pejabat. Kain baju kami bantu uruskan lagi. Masa ni pelajar perempuan dalam sepuluh orang je. Tempatnya dhaiflah sangat. Untuk tempat tinggal disewakan beberapa rumah teres sementara kelas di surau berdekatan. Disitulah bermula pelajaran tidak formal anak-anak kami. Kecil lagi masa tu, jadi pelajaran lebih kepada membaca alquran sampai mahir. Menghafal hanya bagi surah-surah pilihan. Kami rasakan anak-anak kami sebagai perintis pertama disekolah ini, macam bahan experiment pula dengan segala kekurangan. Tapi demi biah yang solehah untuk anak-anak, kami bertahan.

Dengan kekangan guru yang ada, setelah beberapa tahun kemudian, ustaz tumpangkan anak-anak kami belajar pagi disekolah rendah agama berdekatan, manakala petangnya anak-anak di tahfiz.
Walaupun prestasi menghafal anak-anak masih tahap yang rendah disebabkan kekangan kekurangan guru tetapi terima kasih kepada sekolah tahfiz kerana memberi pendedahan awal tahfiz kepada anak-anak seusia umur sekolah rendah.

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA MENYEDIAKAN SEKOLAH UNTUK ANAK-ANAK KAMI PADA KADAR BAYARAN YANG MAMPU

Kadar bayaran yang dikenakan semasa sekolah yang pertama ini sangat rendah menunjukkan motif sekolah tahfiz tidaklah berorientasikan keuntungan. Mereka hanya mahukan lebih ramai yang mampu memasuki sekolah tahfiz sebegini sebagai alternatif kepada sekolah kerajaan yang percuma.Sebab itu semasa anak saya bersekolah disini, saya mampu untuk menyekolah lima orang anak orang asli yang saya ambil sebagai anak angkat. Mereka ini saya ambil untuk disekolahkan di sini dengan harapan, mereka dapat belajar betul-betul agama kemudian balik mengajar di kampung sendiri. Sekolah tahfiz ini banyak juga membantu saya dari segi memberi diskaun bayaran yuran mereka. Alhamdulillah antara anak-anak ini ada yang dapat sambung belajar ke Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) dan menjadi asatizah.

Habis sekolah rendah, anak sulung dihantar ke sekolah tahfiz kedua di daerah yang sama sementara anak kedua di sekolah tahfiz di daerah yang jauh sikit bersama adiknya yang berumur 9 tahun. Sekolah anak yang sulung, bayaran yuran agak mahal ,oleh itu fasiliti sekolah agak bagus. Jadi saya ceritakan di sini hanya sekolah anak yang kedua dan ketiga sahaja.

Keadaan sekolah anak kedua dan ketiga kali ini lebih kurang sama dari segi kedhaifan fasiliti. Tidur pun atas toto dan kelas pun gunakan meja kecil rendah tanpa kerusi. Di kelilingi oleh bangunan setingkat,disitulah tempat tinggal, disitulah sekolah. Memang dhaif memandangkan yuranpun sekadar RM150 sahaja sebulan. Cuba bayangkan termasuk makan minum. Memang mereka ni hanya fikirkan pahala akhirat dan mahukan ramai yang mampu bersekolah disini dengan tidak dibebani bayaran yuran yang mahal. Disebabkan yuran yang rendah maka ada ibubapa yang menghantar kesemua anak sampai ada yang 4 beradik atau 5 beradik di sekolah ini. Dan saya sendiri, disamping dua anak yang bersekolah disini, saya mampu menanggung tiga pelajar saya yang habis belajar diploma diluar sana untuk belajar disini selama 3 tahun, alhamdulillah. Itupun sebab anak sendiri 3 sahaja, jadi mampu membantu orang lain, alhamdulillah.

Dengan yuran pada kadar begini, ibubapa mana nak komplen?. Malah mereka berterima kasih kepada sekolah tahfiz kerana walaupun dengan yuran yang murah, masih sanggup menguruskan sebuah sekolah untuk anak-anak kesayangan kami. Kami tahu, bukan mudah untuk mengendalikan sebuah sekolah yang ramai juga pelajar ketika itu, sekitar 100 orang pelajar perempuan dan 20 orang pelajar lelaki .

Disebabkan yuran yang murah disini, anak-anak perempuan akan masak sendiri secara berkumpulan dan bergilir-gilir. Dari sinilah anak saya, walaupun berjauhan dari saya, belajar memasak, menjahit dan lain-lain kemahiran rumahtangga disamping belajar tahfiz dan kitab-kitab agama.
Pada saya, dari sudut positifnya, keadaan hidup yang susah disini sebenarnya banyak memberi impak yang positif kepada anak-anak, dia belajar hidup susah, dilatih dalam keadaan zuhud dan sederhana dari segi pakaian dan makanan. Teringat cerita kawan saya yang merupakan orang berada tetapi menyekolahkan salah seorang dari anaknya di sekolah tahfiz. Bila anaknya dewasa dan sambung belajar di luar negara, tatkala menghadapi kesukaran disana, anak dia berterima kasih kepada emaknya kerana menghantar dia ke sekolah tahfiz yang menyebabkan dia dah terbiasa dengan kesusahan dan ini membuatkan dia kuat.

Di sekolah sebeginilah anak saya meneruskan pengajian tanpa pengetahuan ibu bapa saya. Jadi lebih senang kita menguruskan anak kita tanpa ada kempen-kempen negatif dari keluarga. Tapi akhirnya mereka dapat tahu juga semasa kami pergi mengerjakan haji. Selama hampir dua bulan tinggalkan rumah, terpaksalah kami beritahu juga alamat sekolah anak kami. Masa tu anak-anak kami berumur awal sekolah menengah. Bila kami balik dari mengerjakan haji, meraka memberikan komen negatif tentang nasib masa depan anak-anak bila sekolah di situ dan dari segi kedhaifan fasiliti dan mengatakan kami menganiaya anak sendiri. Namun disebabkan perkara ni dah lama berlalu, jadi mereka terpaksa akur.

Oleh itu kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada sekolah tahfiz walaupun dengan suasana serba kekurangan , masih berbaik hati mengenakan caj yurang yang murah bagi memberi peluang untuk anak-anak kami mendapat didikan awal agama dan kami percaya dari celah-celah dinding yang usang inilah akan lahir ulama-ulama hebat yang akan berbakti menabur budi kepada ummah.
Jadi kepada mereka diluar sana, jangan sekali-kali mencemuh sekolah tahfiz, apa guna bangunan yang canggih tetapi lahir dari nya ramai mereka yang jauh dari agama yang akhirnya menjadi sampah masyarakat dek kurangnya pengisian agama dan mengutamakan akademik semata.

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA MEMBERI DIDIKAN AGAMA KEPADA KAMI SEJAK DARI KECIL.

Pada saya, saya yakin dengan kata-kata seorang tok guru yang mengatakan sepatutnya umur sekolah rendah, dada anak-anak patut diisi dengan pelajaran tauhid dan mengenal Allah. Supaya aqidah mereka mantap dan melahirkan akhlak yang hebat sejak dari kecil. Melentur buluh biar dari rebung. Kita melihat ilmuan islam dahulu kala, sejak kecil hafal 30 juz dengan aqidah yang mantap dan bila dewasa ramai juga yang belajar sains sehingga menjadi pakar dalam bidang saintis dan kedoktoran.
Falsafah inilah yang menguasai kami, lalu kami abaikan kata-kata orang, kau masukkan anak-anak ke sekolah macam ni, bila besar dia orang nak jadi apa?, apa nasib keduniaan nanti?. Nanti sukar nak dapat pekerjaan dan macam-macam lagi. Begitulah tohmahan orang terhadap pelajar-pelajar tahfiz. Malah adik ipar saya sendiri yang merupakan pelajar lelaki sekolah tahfiz sehingga tingkatan 4 terpaksa akur dengan kata-kata tohmahan sebegini sehingga ibunya menukarkannya ke sekolah biasa, lalu dapatlah apa yang dia kejar tapi alquran yang didada tak tahu apa nasibnya.

Bagi saya, walaupun saya juga mengimpikan anak saya belajar tinggi dan masuk universiti seperti anak orang lain. Tetapi rasa sayang pada anak mengatasi segalanya. Saya betul-betul mahu mantapkan aqidah anak saya sejak dari awal. Rasa sia-sia masa 6 tahun di sekolah rendah campur 5 tahun di sekolah menengah tapi belajar ilmu yang patut boleh dipelajari dalam masa setahun dua je. Belajar 11 tahun ilmu sekular tetapi kemudian bukan amal pun ilmu tersebut. Betul-betul membazir umur. Pada pandangan saya , saya merasakan sistem pendidikan sekular ini hanya mahu menyibukkan kita, melalaikan dan menjauhkan kita dari agama.

Dengan nekad dan tawakal serta yakin kepada Allah, kami rasa sangat bahagia dan tenang menyekolahkan anak di sekolah tahfiz. Terasa Allah memberkati kehidupan kami.
Di sini saya ceritakan mengenai sekolah anak kedua dengan ketiga kerana sekolah ni, boleh dikatakan tiada langsung mengajar pelajaran akademik . Cuma bagi yang sejak dari kecil bersekolah disini, mereka diajar membaca dan menulis.

Sekolah ini bukanlah sekolah tahfiz semata-mata, ia juga menekankan pembelajaran subjek teras islam iaitu feqah, aqidah,akhlak,sirah,alquran dan tafsir,hadis dan beberapa yang lain. Kaedah pembelajaran menekankan aspek sumber ilmu dari alquran dan hadis-hadis shahih disamping mempelajari ilmu asas islam yang lain.

Disamping itu, anak-anak juga diajar ilmu asas dakwah seperti berpidato dan syarahan. Begitu juga tidak mengabaikan aspek ko kurikulum terutama bersukan.

Walaupun disini pembelajarannya tidak formal sekadar melalui peperiksaan yang disediakan oleh pihak sekolah, namun saya tetap bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada sekolah tahfiz kerana dengan segala kekurangan yang ada, dapat memberi alternatif untuk anak-anak memenuhi dada dengan ilmu agama.

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA DENGAN BANYAKNYA PUSAT TAHFIZ MEMBERI PELUANG BELAJAR AGAMA YANG LEBIH ‘ADVANCE’.

Kebanyakan guru yang mengajar di tahfiz kedua ini, adalah lepasan tahfiz disini juga kecuali beberapa ustazah yang mendapat pendidikan formal. Oleh itu setelah empat tahun disekolah ini, kami mengambil keputusan menukar ke sekolah yang ketiga yang menekankan pembelajaran hadits dan agama dan belajar dari ustaz-ustaz yang lebih bepengalaman.

Bukan mudah juga untuk menukar sekolah anak-anak terutama anak yang kedua kerana masa tu dia berumur 16 tahun. Dia dah selesa dengan suasana sekolah lama lebih-lebih lagi dengan pujukan mudirah sekolah ini yang memang meletakkan harapan kepada dia sebagai bakal menjadi ustazah disekolah ini. Sebagai tanda protes, anak ini menulis surat rayuan berjela kepada ibu ayah untuk tidak ditukarkan sekolah. Tetapi kami ada target kami sendiri, dan yakin anak-anak cuma perlu masa untuk sesuaikan diri ditempat yang baru. Protes peringkat awal adalah suatu yang normal. Sebagaimana dijangka, alhamdulillah anak-anak kami dapat menyesuaikan diri belajar ditempat yang baru setelah beberapa tempoh.

Walaupun disini tahap belajarnya tinggi iaitu pelajar perlu masa enam tahun untuk habiskan daurah hadits. Sekiranya habis dalam tempoh ini, ilmu yang dipelajari menyamai mereka yang belajar peringkat ijazah di India. Walaupun belajar dari ustaz-ustaz yang mempunyai sijil formal namun tetap pihak sekolah tidak menyediakan peperiksaan yang diiktiraf kerajaan.

Pada saya, ini diantara satu kerugian dan kelemahan sekolah tahfiz/agama. Ilmunya bagus, tapi mungkin disebabkan kekurangan dana dan kemudahan, maka mereka sukar untuk mendapat kelulusan segera.
Sebagaimana yang saya katakan, kami juga mahukan anak-anak masuk universiti, mempunyai sijil rasmi sebagaimana orang lain. Pada kami ini sangat penting sebagai senjata dakwah masyarakat kini. Kalau ilmu didada melangitpun, tanpa sijil,siapakan percaya. Memang penilaian disisi Allah itu lebih penting, tetapi bila tujuan ilmu yang dipelajari adalah bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk dakwah kepada masyarakat, jadi pengiktirafan masyarakat sangat penting supaya diterima masyarakat. Itulah prinsip kami, dakwah demi ummah.

Oleh itu, setelah dua tahun di sekolah yang ketiga, anak kedua saya dah nak masuk umur 18 masa tu sedangkan SPM belum ambil. Saya cadang supaya dia terus ambil STAM tanpa SPM kerana target saya hanya mahu hantar anak belajar di Mesir yang syaratkan perlu ada STAM dan bukan SPM. Dengan rasa ragu-ragu sama ada boleh ke tidak mengambil STAM tanpa SPM, lalu saya telefon pihak Kementerian Pendidikan bertanyakan kelayakan STAM. Dia beritahu syaratnya samada SPM atau berumur 18 tahun walaupun tanpa SPM. Alhamdulillah syukur sangat, rezeki dari Allah walaupun tanpa SPM saya terus daftarkan anak saya di AIM Ipoh untuk mengambil STAM.

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA MENGAJAR ANAK SAYA DAKWAH DAN FIKIR UMMAH.

Saya sebutkan anak saya belajar di AIM Ipoh Perak sebab sekolah ini berdaftar secara rasmi, bermula dengan pengambilan pelajar yang ambil STAM sahaja kemudian diikuti oleh pengambilan pelajar tahfiz dari tingkatan 1. Saya hantar ke sini walaupun jauh dari negeri asal saya. Anak saya yang pertama pun ambil STAM di sini tahun yang sebelumya dan kemudian menyambung pelajaran ke Mesir.

Di sinilah anak saya betul-betul terdedah kepada tarbiyah haraki. Betul-betul join usrah, mabit, daurah dan beberapa wasilah tarbiyah yang lain. Mereka dilatih supaya mempunyai jiwa da’iyah, fikir ummah, fikir dakwah melalui berbagai program kemasyarakatan yang diadakan. Semasa di sekolah tahfiz sebelum ni, pendedahan lebih tertumpu kepada belajar ilmu agama dan saya sendiri tak ada peluang sangat nak ajak mereka mengikuti tarbiyah haraki kerana mereka hanya dibenarkan pulang sekali sebulan.

Pada saya, walaupun anak kita miliki ilmu yang tinggi macam mana sekalipun tapi kalau setakat untuk diri sendiri, tidak miliki jiwa daie dan fikir ummah ia sebenarnya tidak memenuhi cita-cita asal untuk menjadikan mereka seorang ustazah da’iyah. Sebab saya melihat ditempat saya ramai yang ada ilmu agama tinggi sampai ijazah, master tapi berdakwah sekadar memenuhi tuntutan makan gaji tidak lebih dari itu. Sebenarnya dari awal-awal lagi saya dah bagi tasawur kepada anak-anak supaya menjadi ustazah yang berjiwa da’i tak payah fikirkan cita-cita lain. Saya seorang pensyarah dibidang perakaunan. Saya beritahu mereka, tak payah jadi macam umi, mengajar anak murid ilmu keduniaan yang sukar untuk kita terapkan ilmu akhirat dalam masa yang sama dek kekangan masa dan tuntutan silibus. Tapi kalau kita jadi ustazah da’iah, seorang murid kita berubah disebabkan ilmu , iman dan akhlak yang kita ajari, ganjaran yang Allah janjikan lebih baik dari dunia dan seisinya. Ini cara saya memberi pengaruh kepada anak-anak dengan selalu bagi motivasi dan arahkan mereka kepada bidang yang kita rasa sangat diperlukan semasa, golongan asatizah yang berjiwa da’i yang sanggup bekerja diluar batas waktu pejabat serta mengadakan program-program untuk menyelamatkan ummah. Lain orang mungkin lain cara fikir mereka dan itu mungkin terbaik bagi mereka. Dan bertepatan dengan aspirasi sekolah yang keempat ini memang fokus melahirkan asatizah sedemikian.

Jadi sekali lagi terima kasih kepada sekolah tahfiz yang berikan tarbiyah haraki kepada anak-anak saya. Saya rasakan sangat rugi tak ada peluang begini sejak dari awal lagi memandangkan sekolah in baru lagi dan anak saya adalah pengambilan kedua. Semoga Allah memberi mereka ganjaran syurga firdaus.

TERIMA KASIH SEKOLAH TAHFIZ KERANA ANAK SAYA BERPELUANG AMBIL SPM DIUMUR 16 TAHUN DENGAN HANYA SETAHUN BELAJAR

Selepas anak kedua habis STAM bulan November, sementara menunggu result dan peluang untuk sambung belajar ke Mesir yang biasanya sekitar bulan September tahun berikutnya, saya masukkan anak saya ini ke sekolah tahfiz yang ke lima bagi tujuan mengambil SPM. Untuk belajar di Al Azhar, SPM bukan syarat. Tapi saya jangkakan kemungkinan SPM diperlukan untuk masa akan datang ditambah dengan memanafaatkan masa menunggu yang lama untuk sambung belajar. Jadi anak saya yang kedua ni ambil SPM diumur 19 tahun. Alhamdulillah, muda lagi. Ada seorang ustaz di salah sebuah sekolah tahfiz ambil SPM di umur 30tahun he he.

Anak saya yang ketiga, yang pada masa tu masih bersekolah di sekolah yang ketiga. Masa ni dia berumur 16 tahun. Saya fikirkan alang-alang kakak dia nak belajar di sekolah ke 5 untuk ambil SPM. Saya fikir, sekalikan je la di sekolah yang sama untuk masuk form 4 dahulu. Jadi saya keluarkan anak ke tiga untuk persiapan menghadapi SPM di tingkatan 4. Sebab anak saya yang ketiga ni, cuma belajar akademik sehingga darjah 3 dan kalau matematik tu,nak bahagi pun tak tahu macam mana…he he. Jadi saya cadang nak masukkan dia ke form 4 supaya dia boleh buat persiapan awal sikit untuk SPM. Tapi malangnya di sekolah tahfiz ini, tak ada kelas untuk form 4, maklumlah sekolah swasta, bilangan muridpun tak ramai. Jadi ustaz masukkan sekali dengan form 5, sekali dengan kakak dia. Setelah seminggu dua belajar, anak saya yang ketiga ni mengadu tak boleh follow sampai menangis. Maklumlah boleh kata tak pernah belajar akademik tiba-tiba terus belajar form 5. Jadi saya beritahu kepada ustaz untuk tukar sekolah yang ada form 4, jadi tak ada lah stress sangat macam kelas yang dah nak ambil SPM. Tapi ustaz bincang dengan kami dan cadangkan untuk teruskan sahaja di sekolah itu, tak payah ambil SPM tapi untuk belajar sahaja, tahun depan baru pindah sekolah. Saya pun pujuk anak saya supaya stay sebab sekadar belajar, apa salahnya buat setakat yang termampu. Jadi anak sayapun setuju dan lama-lama dia dah boleh sesuaikan dengan pembelajaran. Begitulah berlalu masa sehingga pelajar-pelajar yang nak ambil SPM diminta daftar nama termasuk anak kedua saya. Tiba-tiba anak saya yang ketiga beritahu, ustazah dia tanya dia samada nak daftar tak SPM sebab katanya boleh daftar SPM umur 16 tahun. Bila dia tanya pendapat saya, saya beritahu apa salah mencuba kalau dia mahu. Kalau keputusan tak baik, ambil sekali lagi tahun depan. Mana tahu ada rezeki, tak payah ambil dah tahun depan. Saya beri cadangan dengan tidak meletak apa-apa harapan, apa lagi tekanan kepada beliau. Cuma saya merasakan dengan cara itu mungkin dia akan belajar lebih serius tahun ini. Jadi akhirnya kedua-dua anak saya ni mengambil SPM, seorang pada umur 19 sebab dia ambil STAM dulu, seorang lagi umur 16.

Apabila result SPM keluar, alhamdulillah walaupun keputusannya tidak lah cemerlang macam orang belajar bertahun-tahun, tetapi dengan result itu dan kemudian keputusan STAM yang diperolehi, mereka berjaya melayakkan diri ke IPTA.

Anak saya yang ketiga ni, lepas habis SPM, tahun depan tu terus sambung belajar untuk ambil STAM di tempat yang sama dengan kakak-kakaknya di AIM Ipoh Perak dan alhamdulillah dapat mengikuti tarbiyah yang sama macam kakak-kakaknya.

Anak-anak saya bukanlah kalangan orang yang genius, sederhana sahaja, tapi saya bersyukur mereka mampu belajar dalam masa setahun je untuk mendapatkan keputusan yang melayakkan mereka masuk IPTA. Sebab itu pada saya amatlah rugi kepada mereka yang mempunyai anak-anak yang lebih genius, membazirkan umur 11 tahun untuk belajar ilmu keduniaan yang hanya boleh dipelajari dalam setahun sahaja sebenarnya untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam SPM. Ini sekadar pandangan peribadi saya melalui experiment yang telah saya laksanakan terhadap anak-anak saya bercagarkan konsep usaha dan tawakal serta yakin kepada Allah. Sebenarnya bukan hanya saya, tetapi teori ini telah terbukti benar apabila ramai juga dikalangan anak kawan-kawan yang melalui proses yang sama. Ada yang ambil secara persendirian SPM dan STPM dan mendapat keputusan yang cemerlang sehingga menyambung pelajaran ke IPTA. Ada yang mengambil bidang bukan agama hingga boleh habiskan PHD sebelum umur mencecah 30 tahun dan sekarang menjadi pensyarah di IPTA. Allah sahaja yang memberkati dan mempermudahkan segala urusan.

Bagi saya, saya sangat bersyukur kepada Allah yang telah mengtakdirkan yang terbaik untuk anak-anak saya dan berterimakasih kepada sekolah-sekolah tahfiz dan agama yang dengan segala kekurangan yang ada memberi peluang dan alternatif bagi anak-anak saya belajar agama sejak dari umur sekolah rendah dan menyediakan biah solehah yang cukup melapangkan dada saya untuk berjauhan dari mereka.
Sebenarnya bukan suatu yang mudah untuk menempuh keadaan begini dalam realiti hari ini orang berlumba-lumba menghantar anak ke pusat tusyen sejak dari kecil, tidak cukup dengan pelajaran di sekolah demi kejayaan akademik anak. Tetapi kita, walaupun tak dapat nafikan terselit juga rasa bimbang tentang masa depan anak-anak tetapi memujuk hati untuk yakin kepada Allah dan yakin bahawa apabila kita buat ini semata-mata kerana Allah dan untuk kebaikan agama anak-anak , insyaallah Allah tidak akan persiakan.

Begitulah sekadar pengalaman saya yang tidak seberapa dalam mendidik anak-anak saya yang mungkin boleh beri sedikit pedoman kepada mereka para pembaca. Sekurang-kurangnya ia dapat menjadi panduan kepada anak-anak saya sendiri dalam mendidik anak-anak mereka nanti yang tentu zamannya lebir sukar dan mencabar. Saya akur mungkin ada yang tak bersetuju dengan saya, saya berpesan yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Mungkin pengalaman saya ini hanya sekelumit sahaja kerana Allah mengtakdirkan saya hanya mempunyai 3 orang sahaja anak berbanding dengan yang beranak ramai dan semuanya menjadi profazz.

Saya memohon maaf sekiranya apa yang saya tuliskan ini ada mengguris perasaan mana-mana pihak. Sememangnya bukan itu tujuan saya. Saya mendoakan agar sekolah-sekolah tahfiz dan agama mendapat pembelaan dan bantuan pihak yang berkenaan termasuk kerajaan. Apa sahaja kekurangan mereka kita umat islam patut turut sama membantu sedaya mungkin.

Pemburu Jariah

– Pemburu Jariah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.