Assalamualaikum semua
Aku kini berumur 21. Dilanda pelbagai masalah hidup yang tak henti-henti. Mempunyai keluarga yang cukup mengundang pilu dan duka. Aku kakak sulung. Mempunyai 2 org adik lelaki yang sangat memeningkan kepala. Seorang sudah merokok sejak form 1 sehingga ayah dipanggil guru, bergaul dengan rakan yang salah, malas belajar, dan paling menambah duka bila sedari kecil lagi suka menonton video lucah. Sekarang si bongsu juga mengikut jejak abangnya. Sudah berapa kali ditegur, silap, sudah bertahun, sekarang bila ditegur ibu, ibu dilawan ditengking. Bila adik meminta telefon pintar, ibu beri macam tu saja, tak teragak-agak, sedangkan dulu aku langsung tidak pernah memegang telefon ketika zaman sekolah. Ibu takut adik memberontak. Hidup aku sangat stress. Sejak adik2 aku membesar, sejak itu lah keputusan aku semakin merosot. Dari menjadi seorang pelajar cemerlang, aku kini hanya lah seorang pelajar degree yang hanya menyambung pelajaran kerana tidak ingin tinggal di rumah. Rumahku syurgaku? Tidak bagi aku. Dulu bila adik aku berani melawan dan menengking, aku juga membalas sama, baling barang padanya, ibu pula akan menampar aku, apa2 juga teguran dan tindakan yang aku lakukan akhirnya aku yang dipersalahkan. Bila adik menengking ibu, aku menjerit semula padanya, dan akhirnya aku juga yang akan dipersalahkan. Ibu kata adik masih kecil, belum matang berfikir. Lama-kelamaan aku dah malas nak kata apa. Hubungan aku dan ibu ayah juga tidak rapat sejak kecil lagi. Ibu berbahagi kasih. Seakan ada pemisah. Ayah sibuk dengan kerja. Sikap ayah hanya menjerit dan tegur sekali lalu setiap kali adik buat perbuatan tak senonoh, dan langsung tiada apa yang berubah. Tapi tak hairan pun, sebab aku sendiri pernah selongkar cd lucah milik ayah. Dulu adik bongsu aku masih lagi berperangai elok, pada waktu tu aku pernah menasihati ibu supaya memasukkan si bongsu ke asrama, supaya sikapnya tak terikut dengan abangnya, tapi ibu membidas, begitu juga lah dulu bila aku dapat tawaran ke asrama penuh tetapi ibu melarang aku ke sana, kerana katanya kehidupan asrama teruk dan entah apa lagi. Aku pula jenis yang malas nak cakap banyak, bila ibu dah habis berceramah, aku masuk ke bilik atau buat kerja lain, aku diam, memang selama hidup aku di rumah aku banyak membuat kerja sendiri dan mendiamkan diri, menangis sendiri, simpan semuanya sendiri kerana aku juga pernah dikhianati kawan yang berjanji bff forever. Akhirnya, si bongsu sekarang sudahpun mengikut jejak abangnya, bila belajar mesti mengugut untuk diberi game dahulu, melawan dan menengking ibu, dan menonton video lucah dalam usia masih bersekolah rendah. Aku yang hanya dapat melihat kadang2 terdetik kata padan muka dalam hati, kerana ibu tidak pernah mempercayai apa juga yang aku pernah perkatakan. Setiap kali berita sumbang mahram terpapar, aku takut, aku takut dengan keluarga sendiri. Di rumah, aku sangat menjaga diri.
Aku juga mempunyai adik perempuan ke-2 yang lebih dahsyat sikapnya, pernah mengaibkan aku kerana dengki dan anak kesayangan ibu, namun bila dia mula berperangai tak senonoh, ibu mencari aku untuk meluahkan perasaan sehingga menangis, menyuruh aku membantu, tetapi setelah ketegasan aku membantu, ibu berbaik semula dengan adik perempuan dan buat aku seperti anak pinggiran semula. Bila ada yang tak kena, ibu akan cari aku, memburukkan adik perempuan tetapi dalam masa yang sama mengampu depan adik. Perasaan aku? Kosong. Hati ni dah cukup perit, dah kebal, dah lali dengan semua rasa sakit sehingga aku tak rasa apa-apa lagi.
Melihat adik2 aku membesar dengan sikap yang menjengkelkan, aku tahu Allah SWT sedang menguji. Dari dulu hingga sekarang, tangisan aku dalam doa memohon supaya Allah SWT berikan hidayah dan kebahagiaan dalam rumah seperti tidak sampai. Ibu ayah juga tidak pernah membaca al-Qur’an, namun aku sangat bersyukur kerana ibu menghantar aku ke sek agama rendah, jika tidak aku sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan diri aku sekarang ini. Aku pernah mengajak ibu mengaji bersama, tapi ibu menuding ayah yang juga tidak mengaji dan pernah ibu kata aku ni seolah-olah terlalu banyak ilmu agama untuk mengajar orang tua.
Hidup aku sangat sunyi. Sangat sunyi. Bila tekanan memuncak, hanya Allah SWT tempat mengadu, semakin diri ini memohon kekuatan, semakin aku diuji dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Luahan di atas juga hanya secebis yang tak mampu untuk aku ceritakan betapa banyak lagi dugaan hidup yang aku lalui. Senang untuk orang kata “Bersyukurlah masih ada ibu ayah, orang lain tak sempat nak merasa kasih sayang pun” apa kata awak yang cakap begini bertukar tempat? Kasih sayang? Hidup aku membesar dengan rasa kosong dan benci. Dugaan setiap orang lain-lain. Sebab tu juga aku tak pernah rasa nak luah pada sesiapa, aku faham orang lain juga mungkin ada masalah yang disimpan.
Aku tahu Allah SWT Maha Mengetahui segala keperitan hidup ni. Setiap kali rasa bunuh diri menjelma, aku tahu Allah SWT masih ada di sisi mendengar keluhan luahan aku yang tak henti. Kerana rasa percaya itu, aku bertahan demi diri sendiri.
– Shila
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment