Monday, 27 March 2017

Syukur Diuji Waktu Kecil

PengakuanKu

Syukur Tuhan Uji Waktu Kecil

Assalamualaikum. Aku seorang lelaki, kini berumur 25 tahun. Sekarang diluar negara, bekerja sambil menemani isteri belajar.

Kebelakangan ini kerap kali aku terbaca cerita-cerita luahan perasaan, tak kurang juga cerita pemangkin semangat. Jadi rasa terdetik nak kongsi juga kisah aku disini.

Aku dulu lahir mcm anak orang lain. Alhamdulillah lengkap anggota badan, boleh melihat, mendengar dan bercakap. Namun pada umur 8 tahun, aku diuji oleh Tuhan dengan demam panas selama 2 minggu.

Aku ingat biasa biasa sahaja, namun tidak. Selepas sembuh, aku dapati aku kekurangan daya bercakap. Dalam erti kata lain, aku jadi gagap dek kerana masalah urat saraf. Masalah tersebut buatkan aku miliki darah gemuruh dan automatik akan jadi gagap ketika bercakap.

Bermula saat itulah, detik hitam mula melanda diri. Waktu disekolah rendah dulu, aku dipilih sebagai pengawas. Sewaktu perhimpunan pagi, setiap pengawas akan mengambil untuk membaca ikrar dihadapan khalayak ramai.

Sampailah saat giliran aku, aku naik ke pentas dan aku tergagap. Lama aku tersekat, sampai datang cikgu aku dari belakang, gosok-gosok belakang aku minta aku tenang. Cikgu minta pengawas lain gantikan aku. Malu, aku malu lepas kejadian tu sampai rasa taknak datang sekolah dah. Aku bernasib baik kerana waktu itu aku miliki rakan-rakan yang memahami masalah aku.

Hidup aku waktu sekolah rendah tak macam orang lain. Aku tak pernah pergi kelas tambahan, hatta sewaktu nak UPSR pun aku tak pergi kelas kelas tambahan. Aku lebih rela belajar dirumah, berbanding pergi kelas tambahan kemudian malu sebab tergagap waktu cikgu tanya soalan. Alhamdulillah UPSR aku, aku dapat 5A. Aku dapat melanjutkan pengajian ke sebuah sekolah menengah agama tersohor di negeri aku.

Naik ke sekolah menengah, penyakit aku tak berhenti setakat itu.

Ketika tingkatan 1, aku dikurniakan rezeki untuk mengikuti ibu bapa aku menunaikan umrah. Sewaktu menunaikan umrah, tak lain tak bukan. Doa aku hanya satu, semoga Allah sembuhkan penyakit aku. Aku dah tak tahan malu. Aku berdoa bersungguh-sungguh di hadapan Kaabah, memohon Allah makbulkan doa aku. Tingkatan 1, bagaikan berjalan lancar. Kerana kawan-kawan baru ramai yang masih tak mengenali aku. Dan aku selesa, walaupun dalam kelas aku bagaikan seorang budak senyap tapi aku tak kisah asalkan orang tak tahu aku gagap.

Setahun berlalu, diawal sesi persekolahan tingkatan 2, aku pernah tulis surat kepada cikgu. Aku minta tolong dengan cikgu, aku cakap pada cikgu..

“Cikgu, tolong saya. Nanti dalam kelas, saya minta cikgu tak tanya saya apa-apa. Saya cacat cikgu, saya gagap. Saya tak nak malu dalam kelas”. Hasilnya, cikgu panggil aku. Dan dengar luahan perasaan aku.

Pernah juga dengan cikgu yang lain, sewaktu cikgu minta aku baca puisi di hadapan kelas, aku tergagap. Aku marah, aku pandang cikgu dengan muka marah. Aku terus berlari keluar kelas. Aku malu, malu yang teramat. Aku masuk tandas, aku hampir menitiskan air mata. Sedih, kenapa Tuhan uji aku macam ini sekali. Aku ponteng kelas seterusnya, aku kekal berkurung didalam bilik air mengenangkan nasib sendiri.

Tiga tahun berlalu, akhirnya tiba saat aku menduduki tingkatan 3. Detik paling hitam pernah aku rasa. Mana tidaknya, tahun ini lah aku nak PMR , tapi 2 tahun sesi persekolahan sebelumnya, aku bagaikan tak bersemangat dan tanpa arah tuju. Sempat ke aku nak kejar belajar balik dan capai keputusan cemerlang untuk PMR?

Pernah satu ketika, mak aku balik dari kerja. Dia penat mungkin, dia panggil panggil aku waktu itu. Aku waktu itu berada ditingkat atas rumah. Mak aku ditingkat bawah. Mak aku panggil panggil aku.

Aku cuba menyahut panggilan itu, tapi apakan daya. Aku tak berupaya. Suara aku tak menjengah keluar. Aku cuba, aku cuba tekan suara sampai naik urat-urat leher aku. Tapi tak mampu. Darah gemuruh aku datang, terus aku tak boleh bercakap. Aku hanya boleh turun ke tingkat bawah, tunjukkan muka dengan niat nak beritahu mak aku, aku dengar.

Tak lama mak aku marah marah panggil aku lagi, mak aku kata aku tak jawab. Mak aku marah aku sangat2. Sampai lah, aku berlari naik atas balik. Masuk je bilik aku menangis. Aku tak salahkan mak aku, mak aku tengah penat balik kerja. Mungkin dia ada masalah disekolah. Mungkin dia panggil aku sebab nak tenangkan diri, tapi aku? Aku tak dapat bantu mak aku. Sedih.

Pernah satu ketika yang lain. Aku pernah tumbuk cermin dalam bilik aku, aku menangis. Aku menangis sehabisnya, mengadu pada Tuhan.

“Ya Allah. Kenapa engkau uji aku sebegini rupa, aku malu Ya Allah. Aku hampakan keluarga aku, aku selalu buat mak ayah aku susah. Aku malu nak berkawan. Apa yang aku boleh buat ketika aku besar nanti dengan penyakit sebegini.”

Aku selalu diejek di sekolah kerana tergagap-gagap ketika bercakap. Ada yang mengejek, perli, mengajuk dan macam macam lagi. Tapi tak kurang, ramai yang memahami dan berdiri teguh disamping aku. Aku tak pernah pergi tuisyen dari darjah 6 sehingga lah tingkatan 3. Kerana aku malu nak bergaul dengan orang lain.

Sampai saat aku tingkatan 4. Aku bagaikan ditiupkan semangat khas oleh Allah, suatu hari aku termenung jauh mengenangkan nasib aku. Aku termenung, aku berkata pada diri sendiri…

“Selama mana aku mahu hidup macam ni? Dah macam-macam benda aku terlepas dalam hidup. Dah macam-macam kenangan aku tak turut serta. Nanti dah besar nanti, aku nak kerja apa, nak buat apa? Ahh, tak boleh. Aku kena berubah. Siapa lagi yang nak ubah aku kalau bukan aku sendiri?”

Bermula saat itu, aku berikrar untuk ubah diri. Allah seakan memberi peluang baru, apabila aku ditawarkan untuk masuk ke sebuah Sekolah Berasrama Penuh hasil keputusan PMR aku yang cemerlang.

Bermula saat itu, aku mencuba sehabis daya sehabis mungkin. Mula-mula memang malu muka sikit tapi aku tak kisah. Aku dah berazam nak ubah diri aku. Bermula di tingkatan 4, aku jadi pelajar yang berebut nak jawab soalan kalau cikgu tanya. Aku cuba latih interaksi aku dengan cikgu dan rakan-rakan.

Naik tingkatan 5, segalanya seakan berubah. Di ketika tingkatan 5, aku terus latih diri aku untuk berani dan bercakap. Aku latih diri aku untuk pergi ke kelas-kelas junior (tingkatan 1 & 2) secara rambang dan beri tazkirah pagi. Aku terus dan terus amalkan latihan itu selama setahun sehinggalah tamat SPM.

Alhamdulillah, dengan IzinNya menggunakan keputusan SPM aku, Allah beri peluang pula untuk aku menyambung pengajian ke luar negara, di sebuah negara timur tengah.

Disini, aku bagaikan jadi seorang insan lain. Aku dah takde perasaan takut, risau. Aku dah mula yakin dengan diri sendiri. Sewaktu kuliah, aku beranikan diri untuk bercakap jika pensyarah Arab tanya apa-apa soalan. Jika pensyarah minta buat pembentangan, aku kerap kali berlumba dengan pelajar-pelajar Arab yang lain untuk jadi orang pertama yang buat pembentangan.

Diperingkat persatuan pelajar pula, alhamdulillah aku dapat turut serta menyumbang dan menabur bakti pada pelajar-pelajar lain. Kerap kali aku berucap dan memberi syarahan “talk” kepada rakan-rakan pelajar dan juga adik-adik junior.

Sekarang aku dah tamat belajar, aku mendirikan rumah tangga dan bekerja diluar negara sambil menemani isteri aku yang berada di tahun akhir pengajian perubatannya. Banyak lagi kisah lain yang menimpa aku yang aku tak sempat nak tulis.

Walau apa pun, satu perkara penting yang aku belajar dan aku nak kongsi dengan semua.

Dalam hidup ni, kita tak boleh berharap pada orang lain untuk mengubah hidup kita. Setakat doa sahaja tanpa usaha pun, Allah tak pandang. Allah mahu kita berusaha, tanpa kenal erti penat dan lelah. Jika sekali kita mencuba dan gagal, jangan putus asa. Teruskan usaha, jangan pernah putus asa walau jatuh berkali-kali. Kerana yang pasti di akhirnya pasti Allah hadirkan sesuatu sebagai ganjaran.

Aku bersyukur Allah uji aku sewaktu aku kecil lagi. Kerana ujian ujian sewaktu kecil itulah yang menghasilkan diri aku yang sekarang. Supaya aku terus yakin dan bersemangat untuk meneruskan hidup. Jangan pernah putus asa, jangan pernah jatuh.

– Abe

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.