Sunday, 26 March 2017

Penceramah Kelakar

PengakuanKu

Assalamualaikum. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih jika admin sudi menyiarkan tulisan saya ini. Moga dirahmati Allah. Terdahulu saya beberapa kali pernah menaip isu ini untuk dipanjangkan supaya kita sama-sama berkongsi pendapat secara berhikmah. Ini kerana apa yang saya cuba utarakan di sini melibatkan para ilmuan agama yang sudah tentunya ilmunya nak dibandingkan dengan saya memang tersangatlah jauh. Tapi setelah diteliti secara mendalam, saya rasa perlu luahan saya diutarakan di sini. Moga para pembaca boleh berkongsi pendapat dengan adab-adab bahasa yang lebih berhemah walaupun kita tak sependapat.

Sejak akhir-akhir ini begitu ramai golongan ilmuan agama yang telah lahir. Lebih mudah saya sebut penceramah agama. Syukur Alhamdulillah, moga syiar Islam terus berkembang. Rata-ratanya bermula dari youtube. Sehingga punya pengikut tersendiri. Saya pun teruja bila setiap kali saya hendak masuk ke bilik tugasan saya, ada kawan sekerja membiarkan ceramah-ceramah dari youtube bergema di ruangan saya mencari rezeki. Tidak ketinggalan juga staf bawahan saya yang mana setiap kali tamat tugas, mereka habiskan masa dengan mendengar ceramah dari youtube sambil ketawa berdekah-dekah. Hinggakan ada masa kalau dari kejauhan saya sudah keliru mereka ketawa, sedang mengilai atau sedang kerasukan. Bila ditanya, rupa-rupanya mereka sedang melihat ceramah agama di youtube melalui handphone. Bila di tanya ustaz mana yang bagi ceramah, dan jawapan mereka ustaz itu ustaz ini, maka tak hairanlah mereka ketawa berdekah-dekah. Ustaz kegemaran ramai.

Tak perlu saya sebut nama-nama penceramah ini. Cuma satu isu yang menjadi kerisauan saya pada masa ini bila para pendengar ceramah lebih memilih siapa penceramah berbanding isu yang dikupas. Ye, saya akui bila mana kita pergi ke ceramah yang dikendalikan oleh penceramah kegemaran kita, secara automatik kita tahu tentang isu yang dikupas. Tapi, bila mana di dalam majlis ilmu itu lebih banyak menghasilkan cerita-cerita kelakar sebagai contoh sehingga membuatkan pendengar ketawa terbahak-bahak, yang disukai itu sebenarnya ilmu atau penceramah yang kelakar? Tak salah hendak menyelitkan cerita selingan untuk mengelak para pendengar mengantuk, tapi berpada-padalah. Jangan sampai lawak atau cerita kelakar lebih diingati dan dekat dihati berbanding isi yang cuba disampaikan. Jangan sampai pendengar kejap-kejap ketawa. Kejap-kejap ketawa.

Saya tak mampu nak nafikan yang zaman sekarang orang lebih memilih siapa penceramah berbanding tajuk ceramah. Kalau penceramah itu seorang kelakar, memang penuh la padang. Memang penuh la masjid. Memang penuh la surau. Tapi kalau yang beri ceramah tu bukan jenis penceramah kelakar, surau pun tak penuh, inikan lagi masjid yang besar. Dalam agama Islam pun dianjurkan supaya menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati. Benar jika tiada lawak jenaka, ceramah terasa bosan. Tapi jika matlamat utama kita menghadiri ceramah agama untuk mendapatkan ilmu, kita akan sentiasa berlapang dada walau bagaimana cara penyampaian penceramah berkenaan.

Saya percaya ada segelintir dari kita pernah terdengar mak-mak tegur, “Jangan gelak sangat (bersungguh), nanti ilmu hilang.” Itu lah yang sebenarnya berlaku kini. Orang lebih mengingati ustaz yang kelakar berbanding isi yang disampaikan. Terlalu banyak ketawa ketika majlis berlangsung hingga lupa isi yang disampaikan penceramah selesai saja majlis. Yang tak habis-habis disebut ialah “lawak ustaz ni.”

Yang terakhir ingin saya suarakan di sini ialah kehadiran beberapa penceramah yang mana bila berceramah jarang menggunakan hadis sahih sebagai sandaran. Menyampaikan dakwah berdasarkan rujukan yang sangat terhad yang mana bila dikaji semula, ia dari hadis yang tidak jelas. Bila menjawab soalan pendengar terlalu bersifat umum tanpa sandaran kepada Al-Quran dan hadis sehingga menimbulkan salah faham. Saya sendiri pernah menegur seorang pengomen di dalam facebook tentang satu isu. Yang mana isu berkenaan memang jelas hukumnya yang dinyatakan dalam sepotong ayat di dalam Al-Quran. Dan saya yakin hukum yang dinyatakan didalam ayat Al-Quran berkenaan tidak akan berubah mengikut zaman. Untuk meyakinkan komen beliau betul, beliau telah upload kandungan ceramah dari youtube yang disampaikan oleh seorang penceramah kegemaran ramai. Sehingga mencela saya dan pengomen lain dengan perkataan ‘bodoh’ disetiap komennya. Bila saya dan pengomen lain mendengar ceramah berkenaan, ternyata apa yang disampaikan oleh penceramah berkenaan perlu diperhalusi lagi. Tidak boleh memberi kenyataan secara umum tanpa huraian yang jelas. Ia boleh menimbulkan salah tanggapan pada orang-orang yang masih dalam proses belajar.

Tak banyak yang saya harapkan dari confession saya ini. Sekadar menyampaikan rasa hati. Disaat kita berada di fasa-fasa akhir menghampiri hari kiamat, molek benar jika para penceramah berkenaan lebih memfokuskan bagaimana untuk memastikan selesai saja majlis para pendengar membawa taqwa, bukan membawa tawa. Supaya segala ucapan di dalam ceramah meresap ke dalam jiwa dan berbekas di hati.

– Kin

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.