Wednesday, 22 March 2017

Kebergantungan Pada allah

PengakuanKu

Assalamualaikum readers. Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih kepada admin jikalau confession aku disiarkan di page ni. Sebenarnya, confession ni lebih ke arah cerita/story telling. Aku harap para readers dapat ambil yang mana baik, dan tinggalkan yang mana kurang baik.

[Sehari sebelum test JPJ]

Aku berdebar. Ya, tidak kira apa jenis test sekalipun, memang perasaan berdebar akan datang. Sebagai persiapan terakhir, aku merajinkan diri untuk membuat beberapa research di google tentang test JPJ. Untuk pengetahuan pembaca, test JPJ sekarang dah diubah sedikit berbanding dahulu. Menurut mak & abah aku, zaman diorang kalau sebut test JPJ, memang terus test atas jalan raya dan litar. Tetapi, JPJ test yang terbaharu ni, telah diwujudkan modul baharu iaitu RPK (Rutin Pemeriksaan Kereta) dan RSM (Rutin Sebelum Memandu). Disebabkan saudara-mara sering menggambarkan keadaan test JPJ ni menggerunkan, aku memang pulun study bahagian kereta dan lain-lain. Bahagian bonet kereta agak mencabar sebab nak kena hafal komponen enjin etc. Tambahan pula, aku ni perempuan. Memang kurang lah sikit pengetahuan tentang kereta ni. Usai, membuat research di google, aku membaca pula “buku teks memandu” yang sememangnya dibekalkan oleh setiap akademi memandu. Walaupun tebal macam buku teks SPM, terpaksa jugalah merajinkan diri untuk membaca dan menghafal point-point penting. Hati masih lagi berdebar walaupun aku merasakan persiapan aku sudah hampir lengkap. Setiap kali terbayang muka-muka pegawai JPJ, tangan pasti menggeletar, tubuh pasti berpeluh. Teringat pula zaman sewaktu menduduki peperiksaan besar di dewan. Memang begitulah yang dirasakan aku. Aku menghafal selama beberapa hari sehinggalah malam terakhir sebelum test tersebut.

[Hari Test JPJ]

Aku diarahkan oleh cikgu memandu aku untuk hadir pada awal pagi bagi sesi pendaftaran. Sebelum jarum menunjukkan angka lapan pagi, aku sudah tiba di perkarangan akademi memandu aku. Mak & abah memutuskan untuk menghantar aku ke dalam sambil memerhati suasana pada pagi tersebut. Mak mencuit bahu aku lalu berbisik, “tengok tu, muka diorang pun berdebar jugak”. Aku hanya tersenyum kelat. Aku tidak mampu berkata apa-apa kerana aku masih menghafal point-point penting dan cuba mengingati teknik dan teguran yang selama ini cikgu aku tekankan kepada aku. Sepanjang aku berjalan dengan mak & abah, aku mendapati terdapat satu baris yang agak panjang di suatu penjuru. Melalui pengamatanku, di situlah aku perlu mendaftarkan nama dan angka giliranku. Setelah mendapat kad angka giliran, kakitangan akademi memandu mengarahkan kami yang sudah mendaftar untuk menggantungkan tali kad tersebut di leher kami. Aku mengambil tempat berdekataan dengan kawanku. Mujurlah kawan aku juga mempunyai test JPJ pada hari yang sama. Kami berbual-bual sambil cuba mengingat kembali RPK & RSM serta teknik-teknik penting yang perlu digunakan sewaktu memandu. Tidak lama selepas itu, kakitangan akademi memandu yang sama tadi memberitahu kami bahawa pegawai JPJ akan tiba dalam beberapa minit lagi. Beliau juga mengarahkan kami untuk mengambil tempat mengikut sesi yang telah mereka tetapkan ke atas kami. Disebabkan sesiku berlainan dengan kawanku, kami terpaksa berpisah dan duduk di kerusi yang telah disusun mengikut sesi masing-masing.

Aku kembali berdebar. Peluh di dahi kian dirasai. Mak lah yang selalu menenangkan aku tatkala aku tidak keruan. Tetapi, kedua orang tuaku sudah beredar 10 minit yang lepas setelah aku usai mendaftarkan namaku. Aku cuba bertenang dan berzikir serta berselawat. Sewaktu kakitangan tersebut memberi taklimat ringkas tentang perjalanan test pada hari tersebut, aku cuba untuk memberi perhatian yang sepenuhnya. Daripada penerangan ringkas beliau, apa yang dapat aku rumuskan ialah terdapat 3 bahagian test bagi setiap orang. Untuk sesi aku, “test on the road” akan aku jalani terlebih dahulu diikuti dengan “RPK & RSM” dan yang terakhir sekali barulah “test di litar”. Beberapa minit berlalu, pegawai JPJ lelaki yang bertugas mengambil alih sesi “briefing” pada pagi tersebut. Orangnya rendah tetapi terpancar aura kebapaan di mukanya hehe. Beliau menerangkan kepada kami apa yang perlu kami lakukan. Kesalahan-kesalahan mandatori juga turut ditekankan oleh beliau agar kami lebih berhati-hati dan peka sepanjang menghadapi test JPJ pada hari tersebut. Sebelum mengakhiri taklimat beliau, kata-kata semangat turut dilontarkan oleh beliau kepada kami dengan harapan debaran yang kami rasai dapat dikurangkan. Ya, orangnya tersangatlah baik. Tanpa membuang masa, mereka daripada sesi 3 telah memulakan test di bahagian RPK & RSM. Aku pula masih diam membisu di tempatku dan berzikir perlahan-lahan bagi mengawal emosi aku. Doa juga tidak putus-putus aku panjatkan agar aku memperoleh pegawai JPJ yang baik untuk menilai pemanduanku.

20 minit berlalu, tiba nombor giliranku dipanggil untuk bersiap sedia. Aku dapat melihat kereta yang bakalku pandu sudah berada di hadapanku. Aku sudah tidak senang duduk. Lebih tepat lagi, aku sudah seperti cacing kepanasan! Apa yang lagi menakutkan aku ialah pegawai JPJ dalam kereta tersebut dilihat sedang panjang lebar menerangkan sesuatu dalam kereta tersebut. Lelaki yang mungkin sebaya denganku itu aku lihat mukanya hanya tersenyum kelat sepanjang mendengar “ceramah” daripada pegawai yang bermisai itu. “Ah mati lah aku”, bisikku perlahan. Aku masih lagi berselawat untuk “calm down” kan diriku. Setelah menunggu beberapa minit, akhirnya lelaki tersebut keluar dari perut kereta tersebut. Borang berwarna pink digenggam erat oleh lelaki itu. Tanpa berlengah lagi, aku meminta izin daripada kakitangan yang bertugas untuk aku beredar ke kereta itu. Kaki terasa berat melangkah. Sememangnya berat kerana lemak tapi mungkin penangan pegawai bermisai itu menambahkan lagi berat kakiku untuk menemuinya.

Aku: Assalamualaikum cik. Boleh saya masuk?
PJPJ: Hmm. Boleh mula
Aku: M-maafkan saya cik?
PJPJ: Saya cakap awak dah boleh mula
Aku: Oh sorry sorry cik

Dengan tangan yang menggeletar seperti orang yang menghidap Parkinson, aku memulakan RSM kerana itulah syarat sebelum pemanduan dimulakan. Setelah separuh jalan aku melalukan rutin tersebut, aku terdiam kaku. Tiba-tiba aku teringat pesanan kawanku pagi tadi. “Kalau kereta tu tengah hidup, kau kena matikan dulu baru boleh buat RSM”. Damn son, matilah aku. Aku berpaling perlahan-lahan ke arah pegawai JPJ tersebut. “Cik, s-saya tak ingat nak matikan enjin kereta ni sebelum buat RSM”, kataku perlahan kepadanya. Dia hanya diam membisu dan merenung aku dengan renungan yang tajam. “Saya nak test awak dekat jalan raya je. Saya tak kisah sangat pasal ni sebab lepas ni awak nak kena buat jugak kan untuk sesi RPK & RSM yang khusus tu.”, kata beliau. Alhamdulillah ya Allah, aku ingatkan aku memang dah fail tadi. Tanpa membuang masa, aku tekan pedal clutch rapat-rapat dan hidupkan enjin kereta. Dek kerana terlebih berdebar tadi, aku terbagi lambat lampu insyarat untuk belok ke kiri. Sekali lagi aku nak nangis sebab kesalahan yang berkaitan dengan lampu isyarat ni ialah kesalahan mandatori. Maksudnya, kalau kau buat kesalahan tu, alamatnya kau kena turun kereta and balik rumah terus sebab fail. Tetapi Allah itu Maha Baik. Pegawai JPJ itu hanya menasihati aku supaya aku lebih peka dan berhati-hati tentang lampu isyarat tersebut.

Untuk dipendekkan cerita, aku lulus bagi bahagian test jalan raya. Dan aku bersyukur kerana pegawai JPJ tersebut seorang yang tersangatlah baik. Sepanjang sesi test tersebut, dia banyak berborak dengan aku tentang family aku dan tak lupa juga soalan cepucemas, iaitu tentang result SPM aku huhu. Selesai menandatangani borang pink, aku mengucapkan terima kasih kepada beliau dan aku terus menuju ke tempat menunggu dengan hati riang ria. Lulus kot dan tinggal 2 test je lagi. Selesai untuk test on the road, aku ke garaj berdekatan untuk meyerahkan borang berwarna biru pula kepada kakitangan yang bertugas. Di garaj tersebut, kereta-kereta Axia dan Viva disusun berhadapan dan bersebelahan untuk test RPK & RSM. Untuk test kali ini, aku sudah tenang sedikt tetapi aku masih lagi berzikir dan memohon kepada Allah supaya urusanku dipermudahkan sehingga ke akhirnya. Daripada jauh, aku dapat melihat seorang pegawai JPJ sedang sibuk menanda borang biru di tengah ruang garaj tersebut. Orangnya berkaca mata hitam dan kepalanya berkilau dek pantulan daripada cahaya matahari yang sedang mencacak naik kerana sudah hampir tengah hari pada waktu itu. Telingaku dapat menangkap suaranya yang begitu kuat seperti memarahi mereka yang sedang melakukan RPK & RSM di kiri dan kanan beliau. Sekali lagi aku berdebar. Kelihatan dia seperti sangat serius dalam menilai.

Tiba-tiba, beliau mengangkat 3 jari ke atas sambil memandang ke arah kami. Lelaki sebelah kiriku, aku dan seorang perempuan. Kami dipanggil menggunakan isyarat jarinya sahaja untuk meyerahkan borang kami. Di sini, Allah memudahkan lagi urusanku. Kami hanya perlu memeriksa bahagian enjin, but belakang dan melakukan RSM di dalam kereta sahaja. Mungkin kerana kekurangan pegawai JPJ, beliau memendekkan rutin yang sepatutnya lebih panjang dan komplikated kepada yang lebih ringkas dan mudah. Aku merasa sangat gembira kerana test ini menjadi lebih mudah. Walau bagaimanapun, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sejurus aku membuka bonet kereta aku, aku menjadi blank. Ya, BLANK. Aku berpeluh kerana selama ini cikgu aku mengajarku dengan menggunakan kereta Axia sebagai model. Aku melihat isi kereta viva. Urgh begitu berserabut dan hodoh sekali. Aku cuba bertenang setenang-tenangnya dan cuba untuk mengingati kembali apa yang telah diajarkan oleh cikguku. Tanpa berfikir panjang, aku sebut sahaja komponen-komponen yang aku ingat walaupun aku tidak menjumpainya dalam bonet kereta Viva tersebut. Nasik baik pegawai JPJ tersebut duduk di meja yang kedudukannya agak jauh daripada tempatku. Maafkan saya cik huhu.

Untuk memeriksa but belakang, aku perlu membukanya terlebih dahulu. Pesanan cikgu aku terngiang-ngiang di mindaku. Menurut cikguku, tuil untuk membuka but belakang bagi kereta Viva terletak di bahagian brek tangan kereta tersebut. Dengan sepantas kilat, aku membuka pintu kanan itu untuk mencari tuil but. Aik, aku menjumpai satu tuil. Tetapi, terdapat simbol macam tangki minyak di atas permukaan tuil itu. Aku sudah berkira-kira hendak menaikkan tuil tersebut atau tidak. Aku bimbang jikalau aku menaikkan tuil itu, tangki untuk isi minyak petrol yang akan terbuka. Malu aku dibuatnya kalau perkara tersebut berlaku. Aku masih tidak berputus asa untuk mencari tuil yang lain. Setelah puas mebelek-belek brek tangan dan kawasan sekelilingnya, aku nekad untuk menjumpai pegawai JPJ tersebut.

Aku: Cik, saya minta maaf tapi saya tak tahu macam mana nak buka but kereta tu
PJPJ: [menekup mulutnya dengan kedua-kedua tangan dan ketawa terbahak-bahak]
Aku: Cik, jangan suka cik, saya memang tak tahu ni
PJPJ: Mana ada saya suka, saya just gelok je [masih lagi ketawa dengan kuat]
Aku: Selama ni saya belajar pakai Axia cik tapi cikgu saya ada cakap kalau untuk kereta viva, benda tu ada di kawasan handbrake
PJPJ: Awak pi buka pintu tu seakarang lepastu tengok dekat kawasan handbrake
Aku: Saya dah tengok cik tapi saya jumpa yang simbol macam tangki isi minyak tu–
PJPJ: Tak, awak pi je sekarang [sambil gelak lagi]
Aku: Tapi… okay cik saya pi sekarang

Dengan perasaan malu, aku naikkan tuil yang aku jumpa sebelum tu. “Klik”, kedengaran but belakang berbunyi. Aku tersengih-sengih sambil buat tanda “ok” menggunakan jari aku kepada pegawai JPJ tu. Beliau tertunduk sambil menggeleng-geleng dan tersenyum. Setelah melaungkan beberapa tools yang aku temui di dalam but itu, beliau mengarahkan aku untuk terus masuk dalam kereta bagi rutin seterusnya. Melaraskan handbrake merupakan rutin pertama dalam RSM. Aku cuba melaraskan dengan cepat kerana 2 orang lagi tu sudah hampir siap memeriksa kereta mereka. Aku cuba melaraskan dengan sebelah tangan. Tetapi, handbrake itu tersangatlah berat dan aku menggunakan pula kedua tangan aku untuk melaraskannya. Mak oi tak bergerak jugak. Aku dalam hati sudah membebel seorang diri kerana sangkaanku, aku memperoleh kereta yang rosak. Aku cuba lagi untuk melaraskannya dengan sehabis kudrat yang aku ada tanpa menghiraukan handbrake tersebut jikalau tercabut daripada tempatnya. Aku dah tak kisah sebab 2 orang tersebut sudah pergi meninggalkanku. Tiba-tiba, pegawai JPJ itu memberi isyarat kepadaku supaya aku terus memakai tali pinggang keledar. Aku menurut sahaja arahannya. Kemudian beliau melaungkan kepada aku supaya aku menghidupkan enjin kereta tersebut. Aku menurut lagi tanpa membantah. Setelah itu dia melaungkan lagi arahan kepadaku. Malangnya, laungannya kali ini membuatkan aku menjadi blur kerana bunyi enjin terlampau bising. Pegawai JPJ itu masih lagi melaungkan sesuatu kepada aku. Aku buntu dan waktu itu aku sudah ber “hah hah” dengan beliau dari dalam kereta. Setelah mengamati pergerakan mulutnya, aku mengandaikan bahawa beliau menyuruhku untuk mematikan enjin kereta itu kembali. Aku dengan cepatnya mematikan enjin kereta Viva itu sambil tersenyum dengan muka yang bangga. Tetapi pegawai itu tiba-tiba menggelengkan kepalanya setelah aku mematikan keretaku. “Hon! saya cakap hon!”, sambil bersungguh-sungguh beliau membuat gaya menekan hon di mejanya. Aku cepat-cepat tertunduk malu lalu menghidupkan kembali kereta dan menekan hon seperti arahannya.

Beliau mengarahkan aku untuk keluar daripada kereta kerana 4 orang lagi sudah datang untuk menyerahkan borang mereka bagi memulakan rutin yang sama seperti aku lakukan sebentar tadi. Aku mengambil borangku daripada pegawai tersebut sambil tertunduk malu dan mengucapkan terima kasih kepadanya dan beredar dengan pantas dek malu. Beliau masih lagi dengan gelengannya sehingga aku beredar ke tempat test terakhir iaitu test di litar. Walaupun malu masih bersisa, kehidupan masih perlu diteruskan huhu. Sesudah sampai ke garaj kecil yang menghadap “bukit”, aku menghulurkan borang biruku kepada kakitangan akademi memandu yang bertugas lalu mengambil tempat untuk duduk berdekatan dengan tempat aku berdiri tadi. “Bukit” yang aku maksudkan ialah bukit yang paling ditakuti oleh para pemandu seperti kami setiap kali test JPJ. Yalah, kalau kau gagal untuk mengimbangi pedal clutch dan pedal minyak secara baik, maka mengundur ke belakanglah kau dan akhirnya gagal tanpa dapat meneruskan test litar yang lain. Tetapi, ketakutanku lebih kepada kereta di litar ini. Ya, kereta. Seperti yang sudah aku maklum, aku sudah terbiasa memandu kereta Axia kerana itulah model kereta cikguku. Di litar, kereta yang disediakan untuk para pemandu hanyalah kereta Viva. Manakala di jalan raya, para pemandu akan memandu kereta Axia. Walau bagaimanapun, pada hari tersebut, terdapat 2 buah kereta Axia disediakan kepada kami untuk sesi test di litar.

Tangan aku sudah menjadi sejuk. Aku khuatir jikalau aku mendapat kereta viva untuk test terakhir ini. Seumur hidupku, aku hanya pernah membawa kereta Viva sebanyak 2 KALI sahaja. Memang tidak banyak perbezaan antara kereta Viva dengan Axia tapi masih ada sedikit perbezaannnya yang membimbangkan aku. Kereta Axia, sterengnya lebih “ringan” untuk dikawal dan handbrake juga sangat mudah dilaras. Bagi Viva pula, situasinya adalah sebaliknya. Sewaktu penilaian sebelum aku mara untuk test JPJ, aku tidak dapat mengawal kereta Viva yang aku pandu dengan baik kerana sterengnya tersangat berat. Memang dia punya berat bikin aku stress. Aku tidak dapat melakukan parking tiga penjuru dengan baik sewaktu penilaian dek stereng yang berat itu. Untuk mendapatkan parking yang baik, stereng tersangatlah memainkan peranan yang penting. Cara pengawalan dan bilangan putaran sememangnya menjadi antara aspek yang penting. Aku memang tabik orang-orang yang boleh pandu viva dengan baik. Setelah puas mengelamun memikirkan nasib aku, aku memutuskan untuk menerima apa jua keadaan yang bakal aku hadapi. Aku berzikir dan terus berzikir serta berdoa agar Allah mengizinkan aku untuk memandu kereta Axia. Walaupun peluang kelihatan tipis untuk aku memperolehi kereta Axia, aku teruskan juga melafazkan kalimat-kalimat suci itu. Aku yakin bahawa Allah itu Maha Baik dan Maha Mendengar doa hamba-Nya. Sepanjang lebih kurang 20 minit sewaktu menunggu giliranku dipanggil, aku sudah bersedia dari segi mental jikalau aku memperoleh kereta yang bukan aku ingini.

Aku bertawakal kepada Allah kerana Allah itu sebaik-baik perancang. Hati aku semakin tidak keruan kerana aku melihat sebuah kereta Axia sudah dinaiki oleh seseorang ini. Aku memohon kepada Allah SWT supaya urusanku dipermudahkan. Walaupun kedua-dua kereta Axia tersebut sedang diguna di tengah litar, aku percaya yang aku masih boleh memandu kereta itu sewaktu giliranku tiba. “No 12 sesi 2”, jerit kakak mengandung yang bertugas itu. Aku tersentak daripada lamunanku. Aku memberikan senyuman kepadanya dan terus menyusun langkah ke arah bukit bagi test terakhir ini. Aku cuba untuk bertenang walau apa jenis kereta yang bakal aku peroleh. Semasa aku sedang berjalan ke arah litar, tiba-tiba muncul sebuah kereta dipandu secara perlahan melepasi aku dan berhenti betul-betul di hadapanku. Bentuk kereta tersebut macam aku kenal. Ya! Kereta Axia! Aku sungguh teruja kerana aku menyangka aku akan memandu kereta Viva. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembira dan bersyukurnya aku pada waktu tersebut. Kakitangan yang bertugas di bukit itu mengarahkan aku untuk memandu kereta Axia itu. Kalimah Alhamdulillah tidak henti-henti aku ucapkan kerana Allah memakbulkan doaku. Aku memasuki tempat pemandu dan memakai tali pinggang keledar dan cuba bertenang daripada keterujaan sebentar tadi. Setelah diarahkan untuk memulakan test aku yang terakhir itu, aku terus melafazkan kalimah,

“Allahumma yassir wala tu’assir rabbi tammim bilkhoir.”

Aku lulus di bukit, aku lulus di parking sisi, aku lulus di parking tiga penjuru, aku lulus di selekoh-Z, dan akhir sekali aku lulus di selekoh-S. Alhamdulillah ya Allah. Tamat di selekoh-S bermaksud aku sudah berjaya menamatkan ketiga-tiga bahagian test JPJ pada hari tersebut. Setelah memarkir keretaku di garaj menunggu berdekatan dengan bukit tadi, aku terus berlari ke pondok pegawai JPJ yang menanda borang biruku. Tangga yang tinggi ke atas aku daki dengan perasaan yang bercampur-baur. Aku memberi salam sebagai tanda hormat dan menunggu pegawai-pegawai JPJ itu menyerahkan borangku yang sudah siap ditanda. Beliau menghulurkan borang berserta IC dan lesen L kepadaku sambul tersenyum manis.

Aku: [menyambut borang tersebut sambil terketar-ketar] T-terima kasih c-cik
PJPJ: Aih nak ucap terima kasih pun sampai tak keluar suara [gelak]
Aku: TERIMA KASIH CIK!!! [sambil tersenyum melihat borang]

Sekian sahaja coretan daripada aku. Aku minta maaf kalau ada terkasar bahasa atau terdapat ayat yang kurang jelas konteksnya. Aku harap para pembaca sentiasa bergantung kepada Yang Maha Esa dan jangan sesekali berputus asa untuk berdoa kepada Allah SWT. Jikalau doa kita masih belum dimakbulkan, Insya-Allah Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita semua. Assalamualaikum w.bt.

– Lepasan SPM

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.