Ini adalah monolog dalaman aku.
Aku adalah seorang Muslim, pertengahan umur 20-an, anak lelaki tunggal, harapan sebuah keluarga kecil yang miskin. Tahun lepas, aku tamat pengajian di sebuah Universiti tempatan. Universiti, ya, aku tidak akan hipokrit di sini, aku masuk Universiti kerana normalisasi masyarakat. Klisenya kau akan menjadi penyelamat dalam keluarga kecil kau yang miskin dan terhina, saudara-mara yang jelik akan mula menampakkan muka, bertanyakan khabar dan bermanis-manis muka. Ya, aku berjuang untuk menampakkan keluarga aku di mata mereka yang tak pernah pun wujud ketika perut kami menyanyi kelaparan. Tapi tak apa, asalkan mak bapak aku gembira, itu sudah cukup bagi aku.
Di Universiti aku pelajar yang biasa-biasa sahaja, tak bodoh tapi tak cerdik, tak malas tapi tak rajin. Aku bukanlah alim, doa dalam bahasa Arab pun aku tak pandai, tapi aku mencari redha Tuhanku. Seminggu aku solat di masjid, sebulan aku solat sendiri, begitulah silih berganti. Bab pergaulan pula, memang aku jaga, aku akan cuba elak bercakap dengan lawan jantina melainkan ada urusan. Tapi aku juga manusia, punya nafsu dan bulu ari-ari. Aku jatuh cinta, tapi aku pendamkan sahaja, kerana aku tak bersedia untuk berbaitul muslim. Jadi, diam dan teruskan sahaja kehidupan aku. Perkara paling besar aku belajar di sini adalah mencari keberkatan.
Di tengah-tengah kelompok pelajar yang mengejar PNGK Empat Rata, berkat tak berkat tolak tepi. Bukan semua tapi majoriti, hafal jawapan dari soalan bocor, meniru tugasan yada yada. Semuanya demi gengsi. Dan kami-kami inilah yang akan memasuki dunia korporat, pentadbiran, guaman, yada yada. Jadi, masalah moral yang lebih besar sebenarnya sudah terpupuk dari awal lagi. Syukur pada Tuhan, aku tidak mengamalkan sikap ini walaupun aku gagal juga beberapa kali dan terpaksa mengulang subjek yang aku gagal itu. Setelah tamat pengajian, selepas beberapa lama menganggur, aku bekerja di sebuah syarikat yang boleh dikatakan ‘boek’. Gaji sedap, pangkat cantik, kembanglah hidung mak bapak aku.
Namun aku baru sahaja berhenti, tatkala aku baru nak hidup, berangan-angan itu dan ini, Tuhan menjentik aku. Silap aku juga tidak menyiasat secara menyeluruh habitat syarikat tempat aku bekerja. Aku berhenti kerana syarikat banyak terlibat dengan bisnes yang melibatkan Riba’. Ya, aku tahu, tak perlu sebut tentang bank atau apa. Aku ambil keputusan berhenti, walaupun baru bermula, demi redha Tuhanku. Setelah menganggur, aku ada banyak masa untuk aku muhasabah semula hidup aku. Membaca dan meneliti sekelilingku, membuatkan aku terfikir, adakah hidup ini sekadar kerja, kahwin, beranak, pergi haji, pergi mati?
Dengan banyaknya kerosakan dan pencabulan amanah, agama dan ukhuwah sesama manusia, adakah cukup untuk aku sekadar kerja, kahwin, beranak, pergi haji, pergi mati?
Aku tak boleh mengembara mencari ilmu, macam mana dengan keluarga aku? Dan dengan ilmu yang aku ada pun aku takut untuk melantang dan membuat perubahan. Perjuangan perlukan pengorbanan, dan aku takut untuk berkorban. Ini aku ambil dari sebuah artikel yang aku baca:
“Sebaik sahaja Nabi SAW di lantik menjadi Rasulullah sekalian alam, maka katanya pada isterinya yang menyelimutnya, lipatlah kain selimut itu, sekarang tiada rehat lagi untukku, maka bermulalah PENGORBANAN dalam kehidupan Nabi SAW dalam membela ugama, seluruh harta benda jiwa raga di korbankan, peluh dan darah di alirkan semata semata untuk menegakkan ugama, seluruh fikiran di tumpukan kepada masalah ummat, tidur sudah menjadi tidak lena, makan sudah tidak lalu kerana begitu risaukan masa depan ummat sekalian alam.
Isteri baginda, Khatijah r.aha yang merupakan jutawan juga akhirnya mati sehelai sepinggang kerana telah berkorban segala galanya untuk membantu agama sehingga mewasiat, tulang tulangnya seandainya diperlukan untuk agama, sanggup di korbankan.
Begitu jugak pengorbanan di kalangan para Sahabat, sebelum islam Abu Bakar r.a ada 8 gedung perniagaan, apa telah jadi pada beliau setelah memeluk islam?
Benar, beliau telah korbankan seluruh hartanya pada ugama dan pernah memakai pakaian yang di buat dari guni dan berbutangkan duri. Sewaktu wafat hanya meninggalkan Allah dan Rasul pada keluarganya.
Saidina Umar r.a pula dihujung hayatnya, hanya memiliki sehelai baju yang bertampal tampal dan satu darinya di tampal dengan kulit binatang.”
Dan aku di sini menulis konfesi. Ini adalah monolog dalaman aku, tiada niat untuk menyinggung sesiapa.
– Kamen Rider di bumi Tuhan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment