Saya suka menonton filem-filem pendek yang ada di youtube. Suatu hari, saya menonton filem pendek yang bertajuk “Naskhah Cinta Rasulullah”. Filem pendek itu cukup untuk memberikan begitu banyak kesedaran kepada saya. Daripadanya, saya mula menyedari banyak perkara. Filem ini mengisahkan tentang sepasang kekasih iaitu Aiman dan Ain yang begitu asyik dalam percintaan mereka. Suatu hari, sewaktu sedang melayari facebook, Ain terbaca satu ayat yang dikongsikan oleh sahabatnya.
“Apa ertinya cinta dan rindu kita kepada manusia jika cinta dan rindu Rasulullah kepada kita tak pernah kita balas”?
Setelah Ain membaca ayat itu, dia membuat keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Aiman kerana dia menyedari bahawa apa yang telah dilakukan oleh mereka itu salah. Dia menemui Aiman untuk memberitahu akan keputusannya. Tetapi Aiman tidak dapat menerimanya dan tidak mahu melepaskan Ain. Tetapi Ain telah nekad dengan keputusannya. Setelah berpisah dengan Ain, Aiman mula berubah. Dia menjadi seorang yang tidak terurus. Hubungannya dengan Allah SWT juga semakin jauh. Pada suatu hari, sewaktu Aiman sedang berlarut dalam kesedihannya, seorang sahabtnya datang memberikan sepucuk surat dan hadiah yang dikirim oleh Ain kepadanya. Aiman membaca isi surat itu satu persatu dan mulai menangis. Selepas selesai membacanya, Aiman mulai sedar akan kesilapannya dan ingin bertaubat.
Itulah rumusan ringkas daripada filem pendek itu. Sungguh saya benar-benar tersentuh dengan setiap bait-bait perkataan yang ditulis oleh Ain di dalam suratnya. Satu persatu ayatnya menusuk masuk ke dalam hati saya. Saya mula menangis mengingatkan betapa Rasulullah SAW terlalu mencintai kita semua sebagai umatnya. Tetapi kita seringkali melupakan baginda. Kita penuhkan hati kita dengan kecintaan dan kerinduan kita kepada manusia tetapi tidak kepada Rasulullah SAW. Sehinggakan kita mampu menangis apabila kita merindui seseorang. Tetapi pernahkah kita menangis kerana merindui Rasulullah SAW? Rasulullah SAW telah terlebih dahulu merindui kita semua.
Sahabat-sahabat semua mesti pernah mendengar kisah tentang betapa rindunya Rasulullah SAW kepada kita, umatnya. Bagaimana baginda menangis untuk kita. Walaupun baginda tidak pernah menemui kita, tetapi baginda telah pun menangis kerana merindui kita semua. Tetapi kita? Bagaimanakah cara kita membalas segala kerinduan baginda kepada kita? Bagaimanakah cara kita mengingati baginda dalam kehidupan seharian kita? Allahuakhbar. Apabila mengengar nama baginda disebut pun kita begitu payah untuk berselawat kepada baginda. Inikan pula hendak duduk seketika dan ambil sedikit daripada masa kita untuk berselawat dan meluahkan kerinduan kita kepada baginda. Padahal di akhirat nanti, syafaat daripada bagindalah yang kita harapkan untuk menolong kita di akhirat sana. Bagaimana mungkin kita mengharapkan syafaat daripada Rasulullah SAW jika kita sendiri tidak menghadirkannya dalam kehidupan seharian kita? Ada salah satu ayat yang benar-benar menyentuh hati saya.
“ Atas usaha, kegigihan dan pegorbanan bagindalah Ain dan Aiman bertemu. Kita di ajar tentang kasih sayang dan cinta yang suci sebagaimana yang telah ditetapkan dalam syariat yang dibawa baginda, Rasulullah. Tanpa darah baginda yang mengalir di Uhud dan Thaif. Tanpa luka-luka yang baginda alami di Mekah, tak mungkin Islam akan sampai kepada kita dan mengajarkan kita tentang kasih sayang. Namun mengapa kita sendiri yang memesongkannya?
Benar. Betapa Rasulullah SAW berusaha dan berkorban untuk membawa Islam kepada kita. Supaya Islam itu sampai kepada kita. Tetapi kita dengan mudah dan sewenang-wenangnya memesongkan ajaran-ajaran Islam yang telah dibawa oleh baginda kepada kita. Kita bina kasih sayang dan cinta yang suci yang telah diajarkan kepada kita dengan mengingkari perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. Kita penuhkan dan hiaskan kasih sayang dan cinta kita yang terbina itu dengan perkara-perkara maksiat. Alangkah sedihnya Rasulullah SAW apabila melihat kita semua. Kita membalas segala susah payah baginda untuk membawa Islam kepada kita dan ajarkan kita tentang kasih sayang dengan penuh kemaksiatan. Andai Rasulullah masih ada bersama kita dan menyaksikan segala perbuatan kita, pasti baginda akan mengalirkan airmata baginda yang suci tatkala melihat perkara-perkara maksiat yang kita lakukan dengan ajaran-ajaran Islam yang dengan susah payahnya dibawa oleh baginda kepada kita.
Ingatlah sahabat-sahabatku, kebahagiaan itu tidak akan dapat kita kecapi seandainya kita mengingkari perintah-perintah Allah SWT. “Kalau Ain ingkar perintah Allah. Ain lupakan Rasulullah, maka Ain tidak akan bertemu bahagia”. Jadi untuk mendapatkan kebahagiaan dalam hidup kita ini, kita hendaklah sentiasa mengutamakan cinta Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian kita. Kebahagiaan itu pasti akan menjadi milik kita andai cinta aAllah SWT dan cinta Rasulullah SAW yang penuh dalam hati kita.
Marilah kita semua muhasabah diri kita. Tanya hati kita. “Cinta dan rindukah aku kepada baginda”? Luangkan waktu-waktu dalam hari kita untuk berselawat dan mengingati baginda SAW. Walaupun hanya seketika, luangkanlah. Cari masa. Kita tidak akan pernah rugi. Malah hidup kita akan lebih tenang dan bahagia. Sentiasa letakkan dalam hati kita bahawa ada seseorang yang teramat mulia yang terlebih dahulu menangis kerana terlalu merindui kita. Jadi apabila kita berasa terlalu sedih kerana ditinggalkan dan merindui mereka yang meninggalkan kita, katakan pada hati kita “Kenapa aku perlu membazirkan airmata aku menangis untuk dia? Tiada gunanya. Lebih baik aku menangis kerana merindui seseorang yang benar-benar merindui aku”.
– Alia
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment