Thursday, 20 July 2017

Makcik Kerepek

PengakuanKu

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin jika perkongsian aku disiarkan.

Jam 4 petang, kaki aku melangkah keluar dari restoran. Aku terpaksa memberi alasan mengapa aku resign tanpa memberikan apa-apa notis. Maafkan aku. Aku terpaksa. Tetapi kata-kata itu hanya terselindung di dalam hatiku sendiri. Sungguh aku tidak mahu perkara lama berulang kembali di tempat kerja yang baharu ini,jadi aku memilih untuk berhenti. Buat kerja pun,serba tak kena. Asyik teringatkan ibu ayah di rumah. Entah mereka dapat makan ataupun tidak kerana kami sedang kesempitan duit. Aku hanya mampu menolong apa yang aku mampu sahaja bila dapat gaji, kerana perlu membayar yuran belajar. Sungguh hebat ujian mu Ya Rabb :(

Aku turutkan sahaja kemana kakiku melangkah. Tiba-tiba ada seorang makcik menjual kerepek menegur aku. “Adik ada nampak makcik tua tu tak?” Eh ini makcik yang tanya soalan yang sama pada aku kat tempat kerja tadi.
“Tak ada pulak cik..kenapa acik cari dia?”
“Dia ada pinjam duit acik. Dia janji nak bayar harini,tapi dari semalam dia tak datang kerja. Acik nak guna duit.”
“Oh berapa yang makcik tu pinjam?”
“80 ringgit dik.”
“Uish banyak tu cik..Saya tak nampak pulak dia masuk kerja. Takpa lah saya duduk sini temankan acik niaga eh.”
“Adik tunggu siapa?”
“Saya tunggu ayah saya amik. Baru lepas berhenti kerja cik..macam-macam masalah,serabut kepala saya.”

Kasihan. Itu sahaja ungkapan yang muncul dalam fikiran aku ketika aku memandang sayu makcik penjual kerepek itu. “Acik duduk mana?”
“Acik orang indonesia dik..kahwin dengan orang sini,dah 30 tahun duduk Malaysia. Anak acik ada 12 orang.”
“Acik jual kerepek ni orang punya ke?”
“Iya dik. Acik ambil komisen nya sahaja. Dapatlah 20-30 ringgit sehari. Syukur..Acik ada kedai sebelum ni,tapi ada orang amik. Dia halau acik. Dekat kampung acik,ada rumah sewa,tapi terbakar semuanya. Ini pun kalau acik nak mula meniaga semula,banyak modal acik kena keluarkan.”
“Sabarlah cik..dugaan..”

Aku lihat airmata makcik bergenang dan aku turut mengalirkan airmata tanpa aku sedari.
“Adik, budak sebaya adik sepatutnya tak perlu ada tanggungjawab berat macam ni. Cari rezeki, sambil belajar pulak tu.”
“Tak apa cik. Ibu ayah saya lagi utama. Ayah saya dah tak kerja,jaga ibu saya sakit. Hal belajar tu, memang perit cik. Saya tak nafikan. Kadang sampai kami ikat perut sebab kekurangan duit. Sampaikan saya putus asa dengan semuanya. Tak tertanggung dek badan.”
“Adik…Dalam hidup kita ni,kalau kita jujur, ikhlas,in shaa Allah DIA akan bantu. Acik ingat lagi semasa acik balik ke kampung. Makcik terjun ke laut disebabkan terlalu tertekan dengan masalah. Tapi entah macam mana acik rasa macam ditarik naik ke atas.”

Makcik senyap sambil tertunduk. Kelihatan airmata nya mengalir perlahan.
‘Ya Allah sungguh mulia hati makcik ini. Tenang air mukanya walaupun ada sesetengah orang memandang serong seperti dia tidak layak dihormati. Berkati hidupnya Ya Allah..’
“Adik nak tahu? Ada satu hari tu acik tengah solat,tiba-tiba ada satu bayangan datang sebelah acik. Acik nampak dari sisi mata. Dia tak berkaki. Acik cuma nampak matanya saja samar-samar. Dia bagitahu acik, dalam dunia ini ada 2 disayangi. Lepastu dia hilang. Acik tertanya tanya apa dua yang dimaksudkan tu.”
“Apa dia eh cik?”
“Esoknya acik mimpi. Bayangan yang sama. Dia bagitahu dalam dunia ni, ada 2 yang patut disayangi. Yang pertama itu Allah Ta’ala. Yang kedua, ibu kita. Walau sebanyak mana kekayaan yang kita ada, tak perlu kita sayangi berlebihan. Kerana kasih sayang Allah dan ibu itu yang paling utama. Apa jua yang kita punya, usahlah terlalu kita cintai,sebab tak ada yang paling bermakna selain 2 itu.”

Makcik menghulur sebungkus kerepek. “Nah dik. Amik lah acik bagi.”
“Eh tak apa cik. Acik kan niaga. Tak apa.”
“Amik je dik.”
Dengan berat hati aku amik. Tak sampai hati sebenarnya.
Kemudian makcik bercerita lagi.
“Anak makcik nak bercerai dengan suami dia sebab lelaki tu tak pedulikan bini. Acik terkilan dengan anak makcik sebab dulu ada orang baik-baik nak kan dia,dia menolak. Sekarang ni acik pun tak tahu apa jenis lelaki yang dia kahwin. Kenal seminggu,terus kahwin. Rupanya duit hantaran,anak acik bayarkan separuh. Ada satu hari tu acik pergi rumah mak mertua dia. Masa nak solat, tikar sejadah langsung tak ada. Allah…acik mampu diam je. Ada juga acik tanya anak makcik kenapa tak puasa. Dia jawab, macam mana nak puasa mak kalau dalam rumah tu semua makan. Tak tahan la saya tengok.”
Kami sama-sama terdiam.

“Ada lagi satu kisah dik..Sorang hamba Allah tu, dia bernazar. Dia kata kalau anak dia sembuh,dia nak makan tahi anjing. Ditakdirkan Allah,sembuhlah anak dia tu. Dia datang jumpa ustaz, dia bagitahu yang dia tak sanggup nak tunaikan janji dia. Ustaz tu jawab, kalau tak mampu menunaikan janji untuk makan tahi anjing, kau pergilah minum air dari atap rumah orang yang tak menunaikan solat.”
“Masya Allah.. Macam tu sekali perumpamaan orang yang tak solat ye cik.”
“Iya dik..Lelaki tu tak dapat tunai janji makan tahi anjing,ustaz suruh gantikan dengan minum air dari atap rumah orang yang tak dirikan solat.”

Seronok aku berbual dengan makcik. Biarpun keadaan fizikal nya yang kurang sihat, berjemur di panas, dia tak lokek berkongsi pengalaman. Betul lah kata orang, jangan dilihat orang yang memberi nasihat,tetapi lihatlah apa yang dia sampaikan. Walaupun yang menyampaikan itu adalah seorang pelacur.

“Adik masih muda. Banyak lagi pengalaman yang boleh dapat. Adik jaga ibu ayah,In Shaa Allah akan diberi ganjaran. Sabar dik dengan dugaan hidup.”
“Iye cik. Saya cuba kuat. Doakan saya cik..”
Setitis demi setitis airmata turun ke pipi.

Kemudian datang pula seorang makcik. Dia berniaga kat pasar. Umurnya 69 tahun. Dia cakap kat aku,”Makcik ni dah tua pun kerja lagi dik. Pikir nak besarkan cucu. Ramai tengah belajar lagi.”
Papp ! Terusik jiwa aku.
“Ya Allah cik..saya fikir saya dah cukup susah, rupanya masih ramai lagi yang lebih susah.”
“Kau muda lagi dik. Cari pengalaman selagi mampu. Mula daripada bawah. In shaa Allah satu hari nanti kau berjaya.”
“Allahumma Aamiin. Moga Allah murahkan rezeki acik ye.”

Aku meminta diri untuk pulang.
“Acik..saya balik dulu ye. Ayah saya dah sampai. Saya doakan makcik dimurahkan rezeki. Terima kasih bagi saya kerepek. Acik jaga diri ya. Ada rezeki, In Shaa Allah kita jumpa lagi. Assalamualaikum.”
Aku menyalami wanita itu sambil menahan airmata dari menitis.
‘Ya Allah..Kau rahmatilah hidupnya sekeluarga. Mudahkan segala urusan makcik..’

Satu yang aku pelajari harini, jangan asyik mengeluh dengan apa yang Allah uji. Sebaliknya,ucap Alhamdulillah kerana tak semua orang mampu merasai sama seperti kita. Jika hari ini kita gembira dengan apa yang ada, tidak mustahil esok lusa Allah tarik segalanya. Semua ini pinjaman. Kau, Aku mahupun dia…kita hanya meminjam dari Allah.

Bergaul lah dengan bermacam-macam orang.Dari situ kau akan mengenal dunia. Walaupun banyak mata-mata yang memandang pelik pada aku kerana berbual dengan makcik yang hanya duduk di tepi bank beralaskan kotak, tetapi aku tidak kisah. Biarlah apa orang nak cakap. Hati manusia lain-lain. Serendah apa pun martabat seseorang itu di sisi manusia, hormatilah dia sebagai ‘human being’. Sedangkan Allah tidak pernah membeza-bezakan hambaNya.

Alhamdulillah Ya Allah kerana izinkan aku bernafas di bumi Mu. Saat aku rapuh,kau hadirkan insan-insan untuk memberikanku semangat. Kau berkatilah dan permudahkan segala urusan mereka.

Ya Allah..lindungilah ibu bapa kami dan orang-orang sekeliling kami. Jauhkan kami dari sifat angkuh,takbur dan bakhil. Semoga Kau berikan kami kesabaran serta kekuatan dalam segala kesulitan.

Sekian—

– Bell

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.