Saturday, 4 March 2017

Hikmah Pertemuan

PengakuanKu

Assalammualaikum,

Benarlah pepatah English menyatakan “We meet people for a reason, either they are a blessing or a lesson”. Aku wanita Melayu berumur 29 tahun, bekerjaya dan masih bujang. Aku suka mengembara dan sudah mengembara hampir ke 6 buah negara. Kembara aku bukanlah bermotifkan membeli-belah atau jalan-jalan cari makan, aku lebih selesa mengembara ke negara yang mempunyai padangan indah dan tenang. Walaupun ketenangan yang aku cari tetapi kebanyakan pengembaraan aku penuh cabaran dan rintangan. Lumrah pengembaraan.

Berbalik kepada pepatah tadi, aku tertarik untuk menceritakan satu pengembaraan aku ke salah sebuah negara di Asia Tenggara. Kembara 3 hari 2 malam yang aku rasakan sangat-sangatlah tidak berbaloi kerana motif utama adalah membeli-belah. Iye, aku mengembara ke Ho Chi Minh City bertemankan rakan-rakan sepejabatku seramai 8 orang yang semuanya sudah berumah tangga dan hantu membeli-belah. Aku terjebak dalam pengembaraan ini kerana akulah yang berjaya mencari tiket murah untuk mereka. Pendekkan cerita, aku gagahkan jua mengikut pengembaraan ini kerana aku belum pernah sampai ke HCM City, jadi aku berfikiran positif untuk meneroka negara tersebut.

Kami menyewa di Saigon Pink Hotel dan masing-masing ditempatkan di level yang berbeza. Aku dan seorang senior ditempatkan di level 8. Hari pertama pengembaraan, kami sekumpulan berpecah dan aku hanya mengikut seniorku membeli-belah daripada pagi hinggalah lewat malam. Senior aku bagaikan dirasuk dengan semua jenis barangan yang dijual di HCM City daripada tudung, labuci, kain pasang, beg tangan dan sampailah ke buah-buahan tempatan yang dijual. Aku masih boleh bersabar walaupun aku hanya menjamah ‘beef pho’ di malam hari selepas penat seharian menemani seniorku membeli-belah.

Hari kedua pengembaraan, kami meronda kawasan sama iaitu Ben Thanh Market dan situasi sama seperti hari pertama, aku hanya menemani seniorku membeli-belah. Aku naik berang tetapi aku diamkan sahaja tidak mahu menimbulkan pertelingkahan atau salah faham dengan seniorku. Hari kedua menemaninya aku hanya diam seribu bahasa dek kerana diri sudah bosan dan marah dengan sikap seniorku itu yang bagaikan dirasuk dengan keborosan.

Dalam keadaan memendamkan perasaan bosan dan marah melampau terhadap seniorku itu, kami pulang ke hotel selepas makan malam dan duit di poket sudah kering. Duit poketku kering jua kerana memberi pinjam kepada seniorku itu. Tidak cukup dengan ujian kesabaran dengan seniorku itu, Allah sekali lagi menguji aku apabila lift untuk ke bilik rosak. Kami menunggu di lobi hotel selama hampir 5 jam kerana receptionist di lobi menyatakan telah menelefon orang untuk membaiki lift tersebut. Setelah bosan menunggu, maka kami gagahkan jua mendaki tangga hingga ke tingkat 8. Aku pula sekali lagi terpaksa bersabar membawa barangan seniorku naik ke atas hingga ke bilik.

Keesokan pagi, lift masih belum dibaiki maka sekali lagi aku terpaksa membawa turun beg aku dan barangan membeli-belah seniorku turun menggunakan tangga. Sepanjang perjalanan ke airport, aku hanya berdiam diri dan bermuhasabah agar diri tidak memarahi seniorku itu. Dalam hati aku menangis semahu-mahunya kerana pada hemahku, tiada apa yang aku belajar daripada pengembaraan ini.

Allah maha adil, di sebalik segala rintangan dan cabaran pengembaraan ini aku ditakdirkan duduk sebaris dengan seorang ‘stranger’ yang hebat (seorang mualaf dan juga bekas pramugara). Disebabkan aku masih dalam posisi berfikiran negatif dek kerana pengalaman di atas, maka aku banyak mendengar si ‘stranger’ ini bercerita.

Sejam setengah perjalanan kami daripada HCM City ke Kuala Lumpur, banyak yang diceritakan oleh si ‘stranger’ ini berkaitan kerjayanya dulu, tempat-tempat menarik pernah dia kembara, perkembangan semasa, isu-isu politik dan perjalanannya sebagai seorang mualaf. Perjalanannya sebagai mualaf bukannya mudah kerana kedua-dua ibu bapanya masih tidak mengetahui dia sudah memeluk Islam. Hampir 2 tahun lamanya dia memeluk Islam. Dia meninggalkan kerjaya sebagai pramugara kerana sukar untuk menunaikan solat fardhu 5 waktu. Dia mendapat hidayah daripada pembacaan dan rakan-rakan pramugara/pramugarinya dululah yang banyak memberi tunjuk ajar. SubhanaALLAH, walaupun tidak mampu menuntut aurat sepenuhnya dan menjaga solat, mereka masih mampu mengIslamkan rakan mereka. That’s why people said “Don’t judge a book by its cover”.

Cerita kembaranya juga cukup hebat, mengagumi keindahan ciptaanNya dan paling aku terkesan diceritakan mengenai negara China. Sebelum mendengar ceritanya, tidak pernah terlintas untuk aku meneroka negara China. Bagi aku rakyat di negara China tidak bertamadun dan biadap. Jika ke sana aku perlu berhati-hati dengan segala tindak tandukku kerana orang di sana sangat licik dalam menjual beli dan mungkin sukar untuk aku ke sana ke mari kerana aku langsung tidak memahami bahasa mandarin atau seangkatan dengannya.

Namun, dia mencadangkan supaya aku menjejakkan kaki ke Guilin, salah satu negeri yang sangat cantik dengan pemandangan indah dan juga syurga membeli-belah. Selepas mendengar ceritanya, Alhamdulillah aku telah berjaya menjejakkan kaki ke negara China dan bagiku negara China adalah salah satu negara yang sangat indah dan rakyatnya sangat peramah serta baik hati. Aku masih belum puas meneroka China.

Walaupun pertemuan kami singkat (hanya di dalam penerbangan itu) sahaja namun pertemuan dan perbualan itu sudah cukup untuk merubah fikiranku daripada negatif ke minda yang positif. Banyak yang aku belajar dan telah aku terokai hasil pertemuan itu. Bagiku, pertemuan itu cukup tersirat dan bukanlah semudah ABC untuk aku dapatkannya. Allah pertemukan aku dengannya untuk membuka minda positifku. Yes, meeting him is a blessing and being with my senior this whole journey is a big lesson for me.

Aku sedar setiap orang mempunyai personaliti berbeza. Aku hargailah setiap insan yang hadir dalam hidup ini walaupun menyakitkan hati, aku yakin Allah SWT ingin memberi pengajaran kepadaku. Mungkin peringkat awalnya agak menyiksa jiwa dan raga tetapi yakinlah setiap yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya.

Di kesempatan ini juga, aku ingin berterima kasih kepada ‘stranger’ itu kerana telah membuka mindaku dan setiap perbualannya aku masih ingat dan semat di dada. Aku tidak berdendam dengan seniorku itu dan aku redha dengan dugaan dan cabaran pengembaraan itu. Moga si ‘stranger’ itu juga terus istiqomah belajar mengenai Islam dan tidak berputus asa dalam mengenal Allah. Ameen.

– Pengembara Kerdil

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.