Sunday, 27 August 2017

Realiti, Fantasi, Rezeki

PengakuanKu

Salam, lepas terbaca tulisan dari confessor “Postgraduate Bazir Masa” sebelum ni, aku terpanggil untuk share kisah postgrad aku juga. Mungkin berkaitan juga dengan posting confessor tu, mungkin juga berlainan, terpulanglah untuk pembaca menilai. Yang pasti ada suka duka, pahit manis, dan mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada pembaca, terutamanya adik-adik yang mahu menyambung pengajian. Ikutkan hati panjang nak taip, tapi aku cuba ringkaskan sebaik mungkin.

Begini ceritanya. Aku asalnya bukanlah dikalangan cerdik pandai sejak dialam sekolah lagi, tapi sejak kecil aku bercita-cita nak jadi cikgu/pendidik. Mungkin disebabkan ketegasan ayah dan abang-abang aku, aku cuba untuk belajar bersungguh-sungguh. UPSR dan PMR aku memang kelaut, tapi alhamdulillah, SPM aku cemerlang. Selepas tamat SPM, aku diterima masuk ke UiTM, alhamdulillah. Di situ lah aku cuba ubah semuanya menjadi seorang yang rajin belajar, kerana cita-cita aku cuma satu, nak jadi cikgu. Tiga tahun, aku berjaya menghabiskan diploma dan belum pun sempat sampai hari konvo, aku dah mula berkira-kira nak sambung pengajian aku ke peringkat degree, dimana akhirnya aku dapat tawaran menyambung pengajian di peringkat degree, di UiTM juga.

Sewaktu dalam pengajian di peringkat degree, aku berjaya transform diri aku menjadi lebih baik. Sepanjang aku buat degree, semester satu saja aku tak dapat Anugerah Dekan, lain-lain semua pointer lebih 3.50. Aku bersyukur, bagi aku inilah hasilnya kalau kita rajin. Genap tahun 2010, aku berjaya menamatkan degree dengan kelas pertama. Mungkin rezeki, dan aku yakin, Allah tau cita-cita dan harapan aku nak jadi cikgu, selang beberapa bulan je menganggur aku dapat tawaran kerja di sebuah kolej swasta sebagai tenaga pengajar disitu. Syukur, walaupun namanya bukan ‘cikgu’, tapi kira samalah juga tu kerjanya mengajar. Tak sia-sia susah payah selama ni.

Hidup aku masa tu cukup indah. Walaupun gaji tidaklah banyak mana, lebih kurang RM2500 permulaan. Tapi ok lah, masa tu bujang lagi. Aku boleh bantu keluarga aku di kampung, mampu beli kereta, dan cukup serba serbi. Hampir tiga tahun aku kerja disitu, masuk tahun 2013 bermula lah segala-galanya. Aku sebenarnya cuba nak rahsiakan tapi tak apalah, mungkin ada yang senasib dan mungkin pengajaran pada adik-adik lepas ni. Satu hari tu, balik dari kerja, aku check peti surat. Ada satu envelope coklat tebal. Wahh..alhamdulillah…..aku dapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat master by research melalui biasiswa tenaga pengajar muda UiTM! Syukur Ya Allah. Tak henti-henti aku mengucapkan syukur pada tuhan. Bagitahu ayah dan mak, adik beradik dan kawan-kawan. Ayah siap buat kenduri!

Namun, dikalangan rakan-rakan, ada yang menasihati aku, fikir betul-betul dulu. Memanglah bagus, tapi kita tak tahu apa nak jadi masa hadapan. Dah ada kerja tetap, gaji pun dah makin okey. Kerja dulu, nanti mampu, sambung la sambil-sambil, katanya. Ada betul kata rakanku, tapi setelah membuat beberapa pertimbangan, aku tetap dengan keputusan untuk letak jawatan, dan menerima tawaran tersebut. Bagi aku, apa yang ruginya. Belajar dapat biasiswa, dah tamat belajar kerja dah tunggu. Aku langsung tak fikir benda-benda buruk masa tu. Februari 2013, aku kembali bergelar student. Semuanya berjalan dengan baik sahaja pada mulanya. Tapi, masuk semester 3, aku dah mula runsing. Mana taknya, dah setahun lebih masih belum defense proposal. Aku betul-betul tak tahu sebelum ni macam mana ambil master by research ni. Aku fikir takkan lah susah sangat.

Part ni mybe boleh kaitkan dengan confessor sebelum ni, iaitu penyelia aku. Dia baik orangnya cuma sangat banyak kerenah. Ada saja penambahan dalam thesis aku, benda-benda yang sebenarnya bukanlah merepek tapi tak perlu pun diperingkat master, Phd oklah. So, perjalanan master aku bertambah susah. Aku cuba ikut juga kepala supervisor aku. Cuma yang aku risau sekali, masa. Pada yang tidak tahu, tempoh tajaan tpm untuk pelajar master cuma empat semester. Bayangkanlah, semester ke empat baru aku selesai defense. Masuk semester kelima, aku makin tersepit. Duit simpanan makin habis. Aku terpaksa cari kerja sambilan untuk menampung hidup. Namun semangat untuk menghabiskan master masih kuat, aku anggap ni semua dugaan Allah. Aku teruskan.

Sepanjang tempoh terlebih masa pengajian tu, hanya Allah yang tahu. Bad become worst. Supervisor aku makin membebankan aku dengan kerja-kerja tambahan lain. Kadang-kadang tak ada kena mengena pun dengan pengajian aku. Nak tukar supervisor pun dah terlambat. Nak melawan takut dia gagalkan aku pula. Ditambah lagi dengan kelemahan pengurusan di universiti aku tu, sedar tak sedar sudah semester lapan! Perit, cukup perit. Dipendekkan cerita, dengan segala susah payah akhirnya aku berjaya juga menamatkan master aku, menjadikan secara totalnya 4 tahun. Walaupun dah tamat, aku tak tau lah kenapa aku tak mampu nak rasa happy macam orang lain. Rupanya ada dugaan lain pula menanti aku.

Cerita biasiswa tpm aku samar-samar. Aku difahamkan, bagi pelajar yang gagal menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan, agak susah untuk dilantik sebagai pensyarah dibawah program tpm ni. Ada juga yang mengatakan bahawa kemungkinan aku akan dilepaskan begitu sahaja dan mungkin akan disaman pula oleh pihak undang-undang universiti. Pelbagai alasan diberikan oleh pihak universiti seperti pensyarah berlebihan, ekonomi tak baik, universiti takda duit, macam-macam lagi. Ya Allah, macam ni pula ke? Aku semakin buntu. Dalam masa yang sama aku makin kesempitan duit, hutang makin bertambah, nak tunjuk muka depan orang lain pun tak sanggup, malu.

Mungkin ada yang akan kata, kenapa tak cuba cari kerja lain dulu. Ya, dah merata aku cuba, waktu lepas hantar thesis lagi. Hari-hari belek jobstreet, newspaper, macam-macam. Untuk jawatan yang ada degree, tahu-tahu sajalah sekarang, satu jawatan saja beratus, beribu orang mohon. Peluang kerja makin kecil disebabkan faktor usia pula. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi sekarang, amat sukar. Sekarang dah pertengahan 2017, umur aku dah pun masuk 31 tahun, aku masih belum dapat kerja yang stabil, aku tak mampu nak kawin, aku dah tak boleh bantu keluarga aku. Perkataan “kalaulah” bermain dalam fikiran aku terutamanya “kalaulah aku tak berhenti kerja dulu…”. Tapi semuanya dah tak boleh nak ulang balik.

Sekarang aku bekerja di sebuah kilang sebagai operator. Gaji kecil cuma bolehla untuk teruskan hidup. Siapa sangkan kan, dengan satu keputusan boleh merubah hidup kita. Siapa sangka ada master tapi kerja kilang. Dan paling sadis tu, tak ada sorg pun disitu tau aku ni lepasan master. Tiada satu hari pun dalam hidup aku, tak rasa menyesal atas keputusan aku berhenti kerja tetap dan pilih untuk masuk tpm tu. Aku masih terus mencuba untuk dapatkan kerja yang lebih baik. Cerita tpm tu, aku dah tak berharap apa-apa. Kalau one day UiTM panggil juga, alhamdulillah. Kalau tak, aku anggap bukan rezeki saja. Kisah ni banyak mengajar aku, alhamdulillah, aku tak akan berputus asa. Aku akan terus mengejar cita-cita aku biarpun orang nak kata apa pun.

Kita tak boleh meramal masa depan. Aku tak tahu ambil master by research ni tak semudah yang aku sangkakan. Aku tak tau aku akan hadapi macam-macam dugaan semasa nak siapkan thesis aku. Aku tak tau juga pada tahun 2017 ni begitu susah nak dapat kerja. Aku tak tau ekonomi Malaysia akan jadi macam ni skrg. Aku buat keputusan macam tu dulu sebab aku nak kan yang terbaik. Kalau tidak, dah tentu aku stay je. Skrg dah bertahun-tahun pengalaman, gaji pun dah banyak. Mungkin aku dah kawin dah beranak lima!

Aku tak menyalahkan siapa-siapa. Takde sesiapa letak pisau kat leher aku pun suruh berhenti kerja tetap dan terima tpm tu. Cuma aku harap apa yang jadi dalam hidup aku ni boleh dijadikan iktibar untuk adik-adik. Sekarang aku cuba untuk fikir positif, aku tidaklah terlalu tua (kan? hehe), aku dah ada master, Insyaallah, esok lusa ada la tu rezeki. Sebagai manusia biasa, tipulah kalau aku tak rasa apa-apa bila tgk kawan sebaya dah beranak pinak, dah beli rumah, dah berkereta mewah sedangkan aku masih macam ni. 4 tahun seolah-olah aku bakar macam tu saja. Sekarang kena start all over again. Cuma alhamdulillah la, dalam keadaan mcm ni, keluarga tak jemu bagi support, dan alhamdulillah, si dia pun masih setia dan menyokong aku.

Mungkin pembaca ada banyak persoalan, kritikan, argument, dan sebagainya lepas baca kisah aku ni. Mungkin akan ada banyak “kenapa kau tak itu, ini” . Hehe. Cukupla aku katakan dua perkara, pertama, tak ada manusia sengaja memilih untuk ke arah kehancuran dirinya sendiri. Dan yang kedua, apapun terjadi, tiada yang akan faham melainkan terkena pada batang hidung sendiri. Aku dah cukup hukum diri aku sendiri dah atas apa yang jadi. Cuma aku yakin dengan aturan Allah SWT. Mungkin satu hari nanti, sinar tu akan datang. Insyaallah. Aku juga nak tekankan sekali lagi disini, aku tidaklah menyalahkan mana-mana pihak baik pihak universiti tempat aku belajar tu, pihak UiTM yang menawarkan biasiswa tpm, mahupun supervisor aku. Aku terima kalau ini jalan cerita aku. Kalau pihak-pihak tu ada bahagian yang mereka salah, aku pun dah semestinya ada salah aku.

Akhir kata, semoga pembaca doakan aku supaya dimurahkan rezeki dan semoga segera dapat kerja yang stabil. Untuk adik-adik, ingat, Malaysia skrg bukan Malaysia dulu. Lepas belajar, kalau ada rezeki dapat je kerja tetap, jangan senang-senang berhenti ye. Gaji mula-mula memanglah kecil, lama-lama okla dan paling penting, pengalaman tu. Jangan gatal quit kerja semata-mata nak sambung belajar, dengan harapan nanti boleh cari kerja lain yang lebih baik, gaji lebih masyuk kononnya. Ini 2017, bukan mcm sepuluh tahun dulu. Owh and one more….adik-adik yang dapat tawaran tpm tu, fikir masak semasak masaknya dulu, jangan happy sangat. Tidaklah aku kata tpm tu tak bagus, kalau adik-adik tamatkan on time, takde apa-apa masalah, Insyaallah ok. Jangan jadi macam aku tau! Orang kata, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Realiti skrg aku masih kerja kilang sambil menanggung bermacam hutang, cita-cita aku tu kembali di alam fantasi…dan hanya terus berusaha dan berdoa mengharapkan rezeki itu datang dikemudian hari. Itulah kisah aku…di antara realiti, fantasi, dan rezeki. Semoga aku, dan anda-anda yang senasib dengan aku tu, sentiasa sabar dan tabah. Mungkin rezeki kita lebih baik nanti, siapa tahu. Allah maha Adil, Maha Penyayang, Maha Mengasihani. Berbekalkan dengan faith itu lah sampai ke hari ini, aku masih mampu senyum dan terus cuba untuk mengubah nasib aku.

Wallahuallam. – MatDanny

– Ahmad Danial

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.