Monday, 30 April 2018

Mainan Tidur Yang Seram

PengakuanKu

Lewat petang hari itu, teman dalam perjalan pulang dari rumah Abg Long, ada sedikit majlis jamuan. Kume bertiga, termasuk ayah dan bonda teman. Alang-alang bercuti sehingga Selasa, teman boleh lah bawa mereka berjalan. Jika di waktu biasa, petang Ahad sebegini alamatnya sudah pulang ke Kuala Lumpur.

Jarak perjalanan pulang kira-kira 70KM. Tapi, terasa begitu jauh dek kerana menahan mengantuk.

Sesampai di rumah ayah dan bonda, teman terus merebahkan diri. Jam kira-kira 7:30 malam waktu itu, Azan maghrib baru sahaja berkumandang.

Hajat teman, mahu melelapkan mata sebentar sahaja, namun terlena sehingga ke jam 10:30 malam.

Kemudiannya, teman bangun dan mandi membersihkan diri. Sempat juga menjamah sebiji limau buat menyegarkan diri, menghilangkan mengantuk yang masih menebal.

Sebaik sahaja selesai menjamakkan solat, teman bingkas bangun, sambung berbaring di kamar teman. Zikir-zikir sunnah selepas solat, teman baca sehinggalah tertidur.

Dalam pada itu, hanya mata yang tertutup, fikiran ligat befikir beberapa perkara, sambil itu, teman menyelitkan doa, agar segala urusan itu dipermudahkan oleh Yang Maha Esa.

Sedang teman asyik berfikir, tiba-tiba ada sesuatu menghampiri , seperti ikut berbaring mengiring rapat betul-betul di sebelah kiri sebelah teman. Kemudian, ia semakin mendekat, betul-betul di sebelah daun telinga teman. Tanpa dapat dihalang, ia kemudian seakan menghembuskan nafasnya, seakan meniup ke daun telinga.

Peristiwa itu berlaku begitu pantas, hanya beberapa detik, amarah menguasai diri, teman terus bingkas bangun, tangan kiri bersiap sedia mahu menghayun ke makhluk itu. Kali ini, makhuk itu akan teman tepuk, ini bukan kali pertama teman diganggu sedemikian rupa, dengan cara yang sama, menghembuskan angin di daun telinga teman.

Namun, batang tubuh teman bagaikan telah dipasung, kelopak mata tidak dapat dibuka, apa lagi mahu maenghayun, menepuk makhluk itu. Penat teman mencuba, teman bagaikan berperang dengan diri sendiri untuk bangun.

Lalu, teman membuka langkah dari dalam, ayat Qur’si teman baca, kemudian bertakbir dan tahmid, memohon kekuatan dari Yang Maha Esa, sang pencipta langit dan bumi dan segala isinya. Kemudian, teman membayangkan di dalam hati, seolah teman meniup ke sebelah kiri teman.

Berbagai perkara menerjah masuk ke fikiran teman waktu itu, apakah ini mimpi, apakah benar-benar ada makhluk yang mengganggu teman, atau adakah ini sekadar sleep paralyses seperti kata ahli-ahli perubatan, dan berbagai perkara lagi, sambil jantung berdegup kencang.

Namun kali ini, amarah lebih menguasai diri dari perasaan takut. Perlahan-lahan seakan satu kekuatan tiba,

“Bukkkkkkkkkk,” teman berjaya menepuk setelah lama berperang mahu menghayun tangan.

Teman bangun dan menoleh ke kiri, kosong. Teman hanya menepuk tilam.

“Mungkin ini hanya mainan tidur, entahlah….” bisik hati teman dalam keadaan duduk di katil.

Teman bingkas bangun kemudiannya, menuju ke ruang tamu. Bonda masih nyenyak tidur. Ayah teman pula pukul tiada di rumah, tidur di dangau dusun, menjaga durian.
Hanya kume berdua sahaja malam itu.

Perlahan-lahan, teman membuka pintu rumah, menuju ke halaman dan menuju ke suatu pohon, memetik hujung dahan halus pohon Bidara.

Jika benar ada makhluk halus yang mengganggu, pasti dia akan tersiksa dengan kehadiran daun Bidara, daun yang biasa digunakan semenjak zaman-berzaman dalam merawat gangguan jin dan disertakan dengan bacaan-bacaan ruq’yah.

Jika manusia tersiksa dengan bau busuk, jika lipas tersiksa dengan bau pandan, maka bangsa Jin pula tidak selesa dengan Bidara. Begitulah syarahan seorang ahli agama apabila ditanyakan mengengai kaitan pohon Bidara dengan amalan Ruq’yah.

Kemudian, teman letakkan daun Bidara yang berduri itu di sebelah teman. Sambil berbaring, teman baca sebahagian ayat Surah Al Baqarah. Menurut hadith, syaitan tidak akan hadir di rumah yang didalamnya membaca surat Al Baqarah.

Teman biasanya balik ke rumah Ayah Bonda sebulan sekali, namun jarang benar rasanya teman membaca Al Qur’an dalam rumah ini. Teman menginsafi diri…..

————————————-

Teman masih tidak dapat tidur, lalu membuka Whatsapp di phone bijak, menulis apa yang berlaku dan meluah rasa di sebuah group Whatsapp. Ahli di dalamnya terdiri daripada peminat IT, dahulunya kami saling kenal mengenali di forum TBD.my, kini forum itu hanya tinggal sejarah, segala aktiviti sosial hanya di group Whatsapp ini sahaja. Dengan mereka, teman selesa berkongsi bermacam cerita.

Jam kira-kira 1:00 pagi waktu itu, selepas beberapa ketika, muncullah 3-4 orang ahli yang membalas, mereka ini malamnya seperti burung hantu, pabila siang, tidak juga menghilang diri. Teman tak pasti bila deme ni tidur.

“Sleep paralysis kot Matz, sebab penat” kata Acey, seorang ahli TBD yang berasal dari Johor.

Teman membalas, “Tak pastilah. Duduk dekat rumah sewa KL tu, bermacam penat ada datang, pernah juga tertidur macam tu, tapi tak pernah jadi walau sekali pun.”

Peristiwa itu masih menjadi teka-teki dalam diri teman, mengapakah gangguan ini hanya berlaku di ruma ini.

Teman menambah bicara, membuka cerita yang terjadi kira-kira 5 tahun dahulu.

Di waktu itu, rumah ini hanya ada ayah, bonda dan abang teman. Deme bertiga sahaja. Yang lainnya belajar di universiti dan ada yang bekerja di ibu kota.

Di suatu masa, ayah dan bonda teman pergi Umarah, 3 minggu lamanya seingat teman. Tinggallah abang teman seorang diri di rumah ini. Seminggu sekali teman datang menjenguk, kerana jarak kampus teman dengan rumah hanya lebih kurang 45 minit perjalanan.

Abang teman ini bukanlah seperti insan lain. Dari kecil sudah disahkan terencat akal. Tapi boleh membaca dan menulis, juga boleh menjaga diri, cuma IQ di tahap kanak-kanak.

Di kala teman menjengukknya pada hujung minggu, tiada apa yang pelik teman perasan. Semuanya dalam keadaan biasa.

Rupa-rupanya, abang teman ada diganggu sesuatu. Sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dia punya takut, sehinggakan setiap langsir tingkap ditarik rapat kemudian dikepil dengan pengepit. Kemudian, Bonda cerita lagi, abang teman diganggu.

Pada teman, mungkin itu hanyalah perkara biasa, dia takut akan bayang-bayang sendiri kerana tinggal seorang diri.

Sehinggalah di suatu hari, teman menyaksikan sendiri di depan teman, sebuah peristiwa yang mengubah persepsi teman terhadap hidupan selain manusia dan binatang.

Pada pagi itu, secara tiba-tiba abang teman seakan nampak akan sesuatu, dia memanggil-manggil ayah dalam keadaan takut dan menggelabah, dia ingin ayah melindungi dia. Kemudian, jari di tangan kanannya mengerekot seperti gaya mencakar. Lagaknya itu tidak ubah seperti tangan perempuan perempuan tua hodoh lagi jahat seperti di dalam filem. Kemudian, tangannya seperti ditarik-tarik ke dinding, teman lihat abang cuba melawan.
Teman hanya tergamam melihat, tidak tahu apa yang boleh dibuat, hanya membaca ayat Qur’si dan dihembuskan ke arah abang. Kejadian ini hanya terjadi beberapa minit.

Apakah ada makhluk yang ingin berdamping dan memasuki tubuh, tidaklah teman tahu. Tapi, perkara seperti itu pastilah menyakitkan dan menyeksa jiwa.

Kejadian itu, lebih kerap terjadi beberapa bulan sebelum itu lagi. Cuma, yang teman lihat, hanya kejadian susulan yang jarang-jarang terjadi. Teman memang betul-betul tidak tahu sebegitu dahsyatnya gangguan terhadap abang teman.

Ayah sudah mendapatkan pemeriksaan di Hospital. Juga telah berjumpa dengan ‘specialist’ di hospital besar Ipoh, namun, tiada apa masalah kesihatan menurut doktor. Rawatan alternatif dengan ayat Ruq’yah dilakukan selepas itu.

Perlahan-lahan, rasa bersalah mendampingi diri ku. Tempoh 3 minggu dahulu teman hanya menjenguk sekejap di hujung minggu. Keseorangan menanggung gangguan batin seperti itu, tanpa ada yang menolong, siang dan malam dalam ketakutan.

Maafkan teman, abang.

Berbalik kepada peristiwa malam tadi, apakah ada kaitannya? Mungkin kah ada makhluk yang ingin mengganggu ku pula? Teman tidak tahu.

Namun kini, aku lebih bersedia dan lebih berani, pengalaman mendewasakan aku. Tidur tiap malam, walau masih diganggu, tingkap bilik aku tidak pernah tutup juga.

Lantaran gangguan abang aku jugalah aku menanam pohon Bidara di depan rumah.

Jika lawan ku bukan biasa-biasa, aku juga bukan biasa-biasa yang boleh dia permudahkan.

Hanya kepada Allah AzzaWajalla jua lah tempat berlindung kita semua.

Jika hari ini kita takut, maka, ingatlah, di alam kubur sana pasti lebih dahsyat, seorang diri dalam gelap gelita, bertahun-tahun lamanya, ada yang disiksa, ada juga yang diberikan nikmat, bergantung kepada amalan masing-masing di dunia semua itu benar-benar akan terjadi kepada setiap dari kita….

– matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.