Salam kepada semua pembaca IIUM Confession. Semoga semua pembaca IIUM Confession diberkati Allah selalu.
Nama aku Rayyan (bukan nama sebenar). Aku nak bercerita tentang seorang sahabat yang sangat aku kasihi kerana Allah.
Pengenalan kami bermula pada tahun 2011, Feb. Nama dia Siti (bukan nama sebenar). Kami berasal daripada dua negeri yang berbeza. Aku berasal dari pantai barat, dia berasal dari selatan tanah air.
2010 adalah tahun kami menduduki SPM. Tapi aku belum kenal dia lagi masa tu. Dia sebenarnya menumpang untuk jawab kertas SPM dekat sekolah aku.
Aku baru kenal dia masa Feb 2011. Masa itu dia masih lagi di Kuala Lumpur. Selayaknya lepasan SPM yang baru habis sekolah, aku cari kerja part time sebagai seorang promoter di sebuah pusat beli belah.
Aku mula kenal dia masa aku post status tentang kerja di facebook. Siti komen pada status aku, bertanyakan aku kerja apa dan minta tolong carikan kerja untuk dia. Dan aku pun tolong carikan.
Untuk dua minggu, aku dan dia kerja satu tempat yang sama. Dari sini kami jadi kawan baik. Dia seorang perempuan Melayu yang lembut tutur kata dan manja. Tak pernah sekalipun aku dengar dia berkasar atau mencarut. Boleh aku katakan ciri ciri dia selayaknya orang panggil perempuan melayu terakhir. Slowly aku menaruh harapan, tapi aku tak hiraukan sangat sebab aku anggap itu cuma cinta monyet.
Selepas dua minggu perkenalan. Dia ditakdirkan untuk balik semula ke negeri halaman di selatan tanah air.
Tapi kami masih berhubung seperti biasa. Tak berapa lama lepas itu, kami sambung belajar. Dia belajar di sebuah pusat pendidikan agama, dan aku sambung belajar di sebuah pusat pendidikan swasta.
Sepanjang berhubung, dia ada ceritakan pada aku perkembangan diri dia. Lelaki yang dia suka, pembelajaran dia di pusat pendidikan, dan terkadang dia minta pendapat aku untuk masalah yang dia lalui.
Aku menyaksikan sendiri bagaimana dia berubah daripada seorang perempuan melayu terakhir kepada seorang muslimah sejati yang dihormati.
Perasaan aku berubah, daripada cinta monyet tak bersebab kepada sebuah penghormatan terhadap seorang perempuan.
2013, ditakdirkan dia datang ke Kuala Lumpur. Aku dan dia (mak ayah dia ikut sekali) plan untuk berjumpa di KLCC, Kinokuniya. Walaupun aku terpaksa tunggu dia almost 2 jam, tapi aku happy. Daripada 2011 sampai ke penghujung 2013, baru aku dapat jumpa dia. Bukan senang nak jumpa, seorang duduk selatan, seorang duduk pantai barat.
Balik daripada itu, dia update status.
“Jumpa kawan lama selamanya – Kinokuniya KLCC”.
Aku cuma mampu senyum. Pendam rasa. Tapi tak apa, dia bukan tahu apa aku rasa.
Lepas daripada itu aku dan dia tetap berhubung macam biasa. Bertanya khabar. Tak lebih. Tapi aku tetap gembira.
2014, semua berubah. Aku buat keputusan untuk lamar dia. Aku beranikan diri.
Sebab prinsip aku, nikahi seorang wanita yang kau hormati.
Aku minta tolong seorang kenalan perempuan, untuk sampaikan mesej aku. Dan dia sampaikan.
Jawapan yang aku dapat. “Rayyan baik. Baik sangat. Siti tak layak untuk dia”.
Sakit. Aku pendam perasaan lagi sekali. Padahal ayat tu sepatutnya aku yang cakap. Dia terlalu baik untuk lelaki jahat macam aku.
Aku ambil masa berbulan-bulan untuk gagahkan diri. Aku solat istikharah untuk minta petunjuk sama ada aku patut teruskan atau tidak. Setiap kali habis solat, aku akan buka Al-Quran randomly. Tengok muka surat sebelah kanan, ayat paling bawah. Kalau ayat menunjukkan perkara perkara baik, aku teruskan. Kalau sebaliknya aku stop. Sebenarnya aku dapat tips daripada seorang ustaz.
Selepas berbulan-bulan. Tepat bulan 8, Allah hantar petunjuk yang tak disangka sangka.
Ayat Al-Quran yang aku dapat:
At-Tawbah:112 – (Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
Dengan ayat ini keyakinan aku sangat tinggi untuk teruskan.
Allah beri petunjuk untuk beritahu Siti mempunyai ciri-ciri yang diceritakan dalam ayat tersebut. Dan baris terakhir. Gembirakanlah orang beriman itu.
“Jumpa kawan lama selamanya – Kinokuniya KLCC”
“Rayyan baik. Baik sangat. Siti tak layak untuk dia”.
Dua ayat ini mesej yang sangat jelas sebenarnya untuk aku. Tapi sebab aku percayakan petunjuk yang Allah beri, aku teruskan.
Aku minta tolong lagi. Kali ini kenalan lelaki. Selepas aku selidik beberapa background dia. Kenalan lelaki tadi tolong sampaikan niat aku pada keluarga Siti.
Malam merdeka 31 Ogos, aku keluar dengan kenalan lelaki tadi. Dia bagitau, dia dah dapat jawapan. Dia bagitau aku, lamaran aku ditolak.
Kecewa aku. Keyakinan aku hancur sekelip mata.
Tapi yang membuatkan aku lebih kecewa, aku bukan setakat kena tolak, tapi aku aku juga hilang seorang kawan.
Lepas daripada itu, aku dengan dia tak berhubung. Aku menyesal sebenarnya sebab aku cuba lamar. Harga yang terpaksa aku bayar, aku hilang seorang kawan baik. Kawan baik yang aku tak pernah bergaduh dengan dia walaupun sekali. Tak ernah kasar bahasa walaupun sekali. Tak pernah touching antara satu sama lain.
Daripada 2014 sampailah sekarang 2018.
Beberapa hari lepas, aku dapat undangan walimatul urus. Daripada Siti. Dia akan berkahwin tak lama lagi. Dengan seorang lelaki yang dihormati ramai.
Aku tetap seorang kawan yang mendoakan kebaikan seorang kawan. Doa aku tak pernah putus semenjak 2014.
“Andai kata ini yang terbaik untuk dia. Maka aku redha. Andai kata aku buruk untuk kehidupan dia, maka jauhkanlah aku”.
Semoga kau jadi seorang isteri yang taat pada suami dan agama. Semoga kebahagiaan itu untuk kau Siti. Maafkan aku tak dapat hadir.
Aku. Cumalah seorang manusia yang rindukan seorang sahabat.
Aku tetap Rayyan yang kau kenal dulu. Yang sentiasa mendoakan kebahagian seorang sahabat. Dan kau tetap sahabat aku. Tetap seorang wanita yang aku hormati. Tak berubah.
Lepas ini, kita masing masing akan ada keluarga. Kau akan ada anak. Perhatian kau tentunya pada suami dan anak-anak. Aku pun sama. Kita akan lalui proses tu. Sampai kita tua, bergelar nenek dan atuk.
Maafkan aku untuk luahan ini. Aku simpan bertahun-tahun seorang diri. Hari ini meletup. Aku rindu kau sahabat. Aku rindu persahabatan kita.
“Kawan baik lama selamanya”
Kepada semua pembaca. Semoga kita semua mengecapi kebahagiaan yang kita inginkan.
– Rayyan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit