Saturday, 19 May 2018

Suara Rakyat

PengakuanKu

Harini hari ketiga umat Islam seluruh dunia menyambut Ramadan. Bulan yang penuh dengan berkah, keampunan dan kemuliaan.

Harini juga di tengah terik tengahari hati aku tersentuh. Aku lelaki biasa. Anak jati Perak Darul Ridzuan. Aku usahakan kedai telekomunikasi, pusat membaiki gadjet dan komputer. Walaupun kecil-kecilan, dapatlah membantu meringankan beban keluarga.

Kedai aku kecil sahaja. Sewa di bangunan pasaraya tempat orang ramai membeli belah, terutamanya barang basah keperluan seharian.

Berhadapan kedai aku, ada deretan bangunan. Ada kedai peruncit barang dapur. Ada pusat pakaian jenama terkenal. Ada kedai barangan hardware. Ada kedai menjual cenderamata.

Yang paling besar, kedai peruncit barang dapur. Pusat para peniaga bertumpu untuk membeli kelengkapan perniagaan, harganya murah dan berkualiti. Hati aku tersentuh melihatkan kedai itu hari ini.

Barang dari gudang syarikat mereka sampai hari ini. Penuh, bukan satu. Tapi dua kontena. Pekerjanya pula bukan ramai. Tak sampai pun sepuluh orang. Bukan ada lif atau troli, tapi kotak yang dikeluarkan dari kontena itu ditarik dan diusung mereka. Satu persatu.

Sungguh, penat aku melihatkan. Penat lagi mereka yang bekerja. Semua masih muda belia. Lingkungan 20,21 tahun. Gigih mencari rezeki. Ditambah dengan bulan puasa ini. Dapat aku bayangkan kering tekak mereka kehausan.

Dalam penat lelah mereka, aku hairan bagaimana mereka masih mampu ceria. Masih mampu bergurau senda, bergelak ketawa. Ditambah dengan perit mentari. Aku dapat lihat wajah masing-masing basah dan berkilat disimbah keringat.

Ikhlas. Aku rasakan keikhlasan mereka mencari rezeki menampung keluarga. Meskipun gaji di daerah luar bandar ini tidak seberapa. Kerja dari siang sampai malam, cuti seminggu sekali. Dengan gaji pokok RM1000 sebulan. Mereka usahakan dan ikhtiarkan untuk hidup.

Belum campur masalah pelanggan mengada. Beli kerusi sebiji, disuruh hantar ke kereta macam lah dia tu OKU. Buat pekerja kedai macam hamba. Padahal boleh saja angkat sendiri. Kadang-kadang puas juga hati bila budak-budak kedai tu buat pekak saja, buat tak endah dengan arahan tak masuk akal pelanggan.

Masalah orang atasan cerewet. Mengarah itu ini bagaikan kaki dan tangan mereka ada empat dan lima. Tapi mereka sabar.

Hati aku sebak. Aku juga pernah merasa kerja begitu di zaman muda belia aku. Siapa yang pernah merasa saja faham perasaan mereka. Penat kerja. Balik malam. Tiada ‘life’, makan tidur tak tentu.

Aku hairan bagaimana orang masih boleh kata anak muda memilih kerja. Orang kata budak muda mana ada yang mahu bekerja buruh kasar. Orang masih berani perlekehkan kemampuan anak muda..Anak muda kita manja, katanya. Tidak setanding buruh Bangladesh, Nepal. Tidak kisah hangit baunya, asal bayarannya menjimatkan. Tidakkah mereka tahu anak muda ini masa depan negara.

Hati aku tersentuh bercampur marah bila baru-baru ini kita dikejutkan dengan penemuan harta mewah seorang hamba Allah bernilai berbilion ringgit. Dahulukan rakyat, katanya.

Celah mana dahulukan rakyat? Rakyat tak kira muda atau tua keringatnya diperah macam kain buruk, nilainya ditelapak kaki. Dia? Dia bermewah untuk perkara yang tidak perlu.

Hati aku mendidih marah saat ada juga segelintir yang boleh berkata, kesian mereka. Penat dan sebagainya. Penat? Penat sejam dua itu kesian? Anak muda yang penat siang malam bertahun-tahun tak perlu dikesiankankah?

Butakah kalian? Lupakah kalian? Sedangkan anak dia sendiri dedahkan semua keburukan dia supaya kita dapat tahu perkara sebenar..Yang sibuk nak back up dia tu siapa? Kenapa? Apa kebaikan dia buat? Tapi itulah kan. Bercakap dengan orang macamtu, kita takkan pernah menang.

Kudrat dan keringat rakyat diperah tak berbaki, rakyat hidup kais pagi makan pagi. Demi tas tangan harganya berjuta ringgit Malaysia..Bukan satu, bukan dua. Tapi berkotak-kotak. Pakai mungkin sekali dua. Atau mungkin tak pernah dipakai langsung, malahan. Allahu. Harga yang dikumpul selama bertahun-tahun oleh rakyat marhaen untuk membeli sebuah rumah sekangkang kera. Tapi dia bolehkan laburkan wang sebanyak itu untuk memenuhi nafsu serakah diri.

Aku merayu kepada admin IIUMC ini, tolonglah siarkan suara hati ini. Bukan aku mahu berpolitik, tapi aku ada pesanan buat pemimpin hari ini. Aku berharap kalau ada yang membaca ini, tolong share.

Tolong panjangkan luahan hati aku ini kalau boleh biar sampai perdana menteri kita baca. Suara hati aku ini mewakili jutaan rakyat Malaysia yang mungkin tidak pandai mengarang ayat berbunga untuk menarik orang membaca. Tapi rasa kita sama, kita mahukan pentadbiran yang telus dan amanah.

Buat para pemimpin, ketahuilah hidup kita ini bukan lama. Sementara saja. Buruk kau tadbir, berat azab kau di sana nanti. Kau pemimpin, kau harus tahu tanggungjawab kau berat. Kau harus tahu semua ini sebelum berani memikul amanah Allah.

Kami anak muda walau ada yang pertama kali mengundi, kami bukan bodoh.

Miskin itu ujian. Kaya juga ujian. Kalau sungguh niat kalian memimpin, pimpinlah kami dengan wajar dan seharusnya. Bukan kenyangkan tembolok sendiri, tapi rakyat tersandar lelah mengais siang malam demi sesuap nasi. Rakyat percaya pada kalian, jangan hampakan hati kami lagi..

Kau pemimpin, tugas kau bukan berdebat di kaca televisyen, menabur manifesto kencang semata. Tugas kau laksanakan semua itu. Janganlah lagi kalian menipu kami, menggula-gulakan kami dengan janji manis. Kami mengharap kalian telus dan amanah. Amin. Amin ramai-ramai doa ini.

Anak muda, sabar dan bertabahlah. Tahniah aku ucapkan buat semua yang bekerja siang malam, yang gigih mencari kerja yang halal. Tahniah sebab tidak melepak tanpa arah, tahniah sebab tidak menghisap dadah. Tahniah sebab tidak merosak anak dara orang, menghancur masa hadapan negara. Tahniah buat semua anak muda.. Aku amat menghargai tenaga kerja muda seperti kalian. Kalian bukan manja. Kalian perlukan bayaran setimpal dengan penat lelah kalian. Moga berkat rezeki yang Allah janjikan. Moga syurga buat kalian.

Rakyat, pilihan di tangan kita. Kita sudah ubah, dan ubahlah sama sikap kita. Tak guna kita ubah pentadbiran, tapi sikap dan gaya hidup kita masih serupa.

Tak guna kita ubah kerajaan,kita masih tinggal solat. Kita masih buang sampah merata. Kita masih tinggal puasa tanpa sebab. Kita masih pakai produk sampah bermerkuri. Kita masih buang masa membawang pasal rumah tangga artis. Kita masih bersikap biadap pada pembantu kedai. Ubah, ubah semua itu.

Lepas makan di kedai, kemaskan pinggan mangkuk kita supaya senang orang mengutip. Beli barang di kedai, kalau nak tambah barang, tambah awal-awal. Jangan sampai di kaunter, cashier sedang scan baru nak ambil barang lain. Menyusahkan orang lain. Kalau barang tak banyak, dan tak berat, angkatlah sendiri. Tidak perlu susahkan pekerja kedai sedangkan kau melenggang kangkung berjalan. Jangan pakai kosmetik sampah, warna krim semua satu fesyen. Produk apa pun sama saja warna krim. Jangan termakan iklan artis putih melepak. Hitam manis bukan tak lawa. Kalau hati baik, muka pecah pun orang sejuk memandang.

Bulan Ramadhan ni, sucikan hati kita. Sucikan diri kita.

– Arman

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.