Assalamualaikum. Bismillah. Syukur pada Allah sebab aku masih lagi dapat berkongsi sedikit ilmu di sini.
Isi confession ini ditulis dengan merujuk kitab Bidayatul Hidayah karya Imam Al Ghazali sepenuhnya.
” Maka celaka bagi si jahil sekali kerana ia tidak mahu belajar dan celaka bagi si alim seribu kali celaka apabila ia tidak mengamalkan ilmunya ”
Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini ada tiga ;
Golongan pertama ;
(1) Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.
Golongan Kedua ;
(2) Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan, pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya.
Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. Jikalau dia mati sebelum senpat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan ” su’ul khatimah ” ( lawan kepada husnul khatimah ) kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah ( kalau mahu dimaafkan atau diseksa )
Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung, kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.
Golongan ketiga ;
(3) Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukkan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya.
Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia. Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama.
Dia bercakap seperti percakapan ulama dan berpakaian seperti pakaian ulama, pada hal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia.
Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah meyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa akan firman Allah Taala
Maksudnya ” Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan barang yang tidak kamu amalkan? ” (Surah Al Shaf, ayat 2)
Dalam sabda Rasulullah saw, nabi lebih membimbangkan ulama yang jahat daripada bimbang kepada dajjal. Kerana apa? Dajjal itu menyesatkan dengan jelas tetapi ulama jahat ini menyesatkan dalam ia menyangka ia berbuat kebaikan. Remember that action speak louder than word. Kata kata ulama jahat itu tidak diikut melainkan perbuatan buruknya yang diikut.
Wallahua’lam. Kekhilafan saya mohon diampuni. Semoga penulisan ini bermanfaat buat penulis, pembaca dan tak lupa iuga buat admin. Moga bertemu dilain penulisan inshaaAllah.
– Nur
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment