Friday, 29 June 2018

Hilangnya Kasih Ibu

PengakuanKu

POV Seorang Pelajar

2014, Enstek, Negeri sembilan.

Tahun tu merupakan tahun genting buat aku. SPM hanya berbaki beberapa bulan. Aku sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan sambil membaca nota nota yang aku salin di dalam kelas.

Kehidupan di asrama sangat padat. Selepas kelas rasmi berakhir, kami akan berehat untuk lunch dan solat zuhur. Selepas itu, kami wajib pergi ke kelas semula untuk prep petang atau kelas tambahan yang telah diatur oleh guru. Di ikuti pula dengan dinner dan prep malam.

3 hari berlalu, dan aku tidak berkesempatan untuk bertanya khabar mereka di rumah. Terlalu lama dari kebiasaan. Selalunya, selang sehari, aku pasti menelefon; melepaskan rindu.

Petang itu aku nekad; aku perlu telefon walau apa pun terjadi. Berbekalkan seuncang syiling aku beratur di pondok telefon; di belakang seorang junior. Junior itu pantas menghabiskan bualnya, tidak mahu orang dibelakang tertunggu lama. Tiba giliran aku, aku pantas mendail nombor yang sudah tersemat dalam mindaku. Ayah menyambut talian dan aku seperti biasa dengan suara ceria bertanya keadaannya.

Sangkaku, ayah akan mengatakan perkara yang sama. “Kami sihat. Semua orang kat rumah sihat”. Tetapi sangkaan ku meleset sama sekali. Aku separa menjerit apabila ayah mengatakan ibu kurang sihat dan berada di hospital. Aku seperti tidak percaya apabila ayah memberitahu terdapat ketumbuhan di dalam perut ibu dan ibu akan dibedah dalam masa terdekat.

Aku tergamam. Perasaan aku bercampur baur.

Sejurus perbualan kami berakhir, aku berjalan pantas ke dorm rakan baikku. Aku duduk di situ, memeluk lutut. Termenung dan menangis. Aku menyalahkan diriku. Berfikir sebab aku tidak call awal. Terlalu sibukkah aku? Mungkin.. Aku sibuk di sini dengan urusan dunia sedangkan ibu sedang sibuk bertarung nyawa, melawan kesakitan beliau. Anak apakah aku ini? Aku menangis semahunya.

Selepas peristiwa itu, aku akan mencari masa untuk telefon rumah. Bertanyakan keadaan ibu hari demi hari. Apa yang aku fahami, keadaan ibu agak kritikal. Aku cuba kuatkan diri. Dan sejak dari itu juga, aku pergi ke dining hall 15 minit awal untuk breakfast dan dinner. Aku pastikan, aku sempat membaca yaasin untuk ibu sebelum aku menjamah makanan.

Sejujurnya waktu itu, aku sangat takut. Aku takut ibu akan pergi meninggalkan aku. Aku berdoa dan terus berdoa dengan penuh kesungguhan. Pelajaranku, alhamdulillah tidak terjejas. Aku sematkan dalam hati bahawa aku perlu lakukan ini untik ibu dan ayah. Aku mahu mereka bergembira dengan pencapaianku. Hanya ini yang mampu aku lakukan untuk setiap pengorbanan dan jasa mereka. Kejayaanku, Wallahi aku dedekasikan khas untuk mereka, ibu dan ayah yang sangat aku sayang.

Masa berlalu dan cuti persekolahan tiba. Aku berasa teruja untuk pulang ke rumah kerana dapat melihat wajah wajah yang aku sayang. Aku pulang dengan keadaan ibu yang sangat berbeza dari sebelumnya.

Perkara pertama yang aku perasan ialah, ibu tiada rambut. Kesan chemotherapy yang ibu jalani. Tubuh ibu yang gempal juga telah susut dek sakit yang dialami. Tetapi ibu tetap seperti biasa. Selalu tersenyum dan positif menghadapi dugaannya. Kadang kadang aku lihat ibu berlari ke bilik air. Ibu selalu loya dan muntah muntah. Aku kasihankan ibu. Adik ku yang berada di rumah, menceritakan keadaan ibu sewaktu ketiadaanku. Dan pada waktu itu aku tersedar bahawa kesakitan yang ibu alami jauh lebih menyakitkan dari apa yang ibu cuba pamerkan.

Bergenang air mataku mengenangkan dugaan yang ibu alami. Tidak lupa juga apabila aku membaca whatsapp messages yang berada di group group keluarga. Keadaan ibu sangat kritikal dari apa yang aku fikirkan. Perkara perkara ini, tidak ayah sebutkan dalam perbualan dengannya setiap hari. Mungkin ayah tak mahu aku berasa gundah. Memandangkan SPM yang menghampiri, mungkin ayah tidak mahu menyerabutkan fikiran ku.

Sekali lagi aku berasa seperti anak tak berguna.Perempuan yang mereka sedang katakan ini ialah ibuku. Ibu yang membawa aku dalam rahimnya selama 9 bulan. Yang menjaga dan mendidik dari kecil hingga ke hari ini. Mengapa aku perlu jadi orang terakhir mengetahui kesakitan yang dialami ibuku.. syurgaku.

Aku menarik nafas panjang. Aku cuba berkir dengan logik dan tidak terlalu mengikut perasaaan. Mungkin sedikit sebanyak ianya salahku. Aku banyak berubah sedari itu. Aku menghubungi ibu setiap hari. Aku gandakan usahaku dengan niat kejayaanku ini kelak akan aku hadiahkan untuk ibuku.

Bulan berlalu dan keadaaan ibu semakin baik. Aku sangat mengagumi ibu. Ibu sangat kuat dan tabah dalam menghadapi kesakitannya. Ibu pernah mengatakan kepadaku, bahawa kesakitan tidak boleh kita turutkan. Minda perlu kuat untuk melawannya dan perlu selau berdoa padaNya, kerana sesungguhnya dia Maha Penyembuh. Dengan izinNya ibu sihat.
Ibu sememangnya Super Woman di mataku. Ibu kembali melakukan rutin rutin ketika beliau sihat, seperti ibu akan masak sebelum subuh makanan breakfast dan lunch kami kerana tugasan ibu sebagai guru mungkin membuatkan ibu pulang lambat ke rumah jika terdapat mesyuarat.

Masa berlalu dan keadaan bertambah baik. Aku belajar sesuatu dari peristiwa ini; iaitu untuk menghargai orang disekelilingku. Keadaan berubah dan aku semakin rapat dengan ibu. Setiap hari aku pasti akan menelefon ibu.

Keadaan in berlanjutan hinggalah aku menyambung pelajaran di India.

________________________________________

2018, Salem, India.

Sewaktu aku di India, ibu menghadapi masalah kerosakan kedua belah buah pinggang. Ibu terpaksa menjalani dialisis 4 kali seminggu. Aku risau akan ibu. Dengan keadaanku yang berjauhan dari keluarga, tidak banyak yang boleh aku lakukan selain berdoa kepada Illahi agar dipermudahkan urusan ibuku.

Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Keadaan ibu bertambah teruk apabila ibu dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman dan sesak nafas. Doktor memaklumkan bahawa jantung ibu dalam keadaaan tidak berapa baik. Hanya 20% yang berfungsi.

Mendengar akan keadaan ini hati aku menjadi gundah. Bulan 3 itu, aku pulang ke Malaysia untuk berjumpa ibu dan keluargaku.

Ternyata kesakitan ibu kali ini lebih kuat dari yang ibu pernah alami. Keadaan ibu lain, personaliti ibu berubah sama sekali. Ibu tidak ceria. Ibu tidak positif seperti dulu. Apa yang aku pasti ialah.. ibu penat. Ibu terlalu penat melawan sakitnya ini.

Aku hanya balik untuk 2 minggu dan dalam masa itu aku banyak menangis sewaktu melayan karenah ibu. Hampir kesemua masaku aku habiskan dengan menemani ibu di hospital. Aku merasa sebak. Terlalu sebak. Ibu hanya boleh minum 500ml air sehari. Minuman ibu bersukat. Aku kasihan pada ibu. Dengan cuaca yang panas, pasti ibu kehausan. Tetapi aku keraskan hati, aku minta ibu mengikut arahan doktor. Dr ada terangkan kepadaku sekiranya ibu mengambil air dalam kuantiti yang banyak, jantung ibu tidak mampu untuk mengepam darah dengan baik. Lebih lagi buah pinggan ibu yang rosak, tiada air kencing yang dapat dikeluarkan untuk menurunkan kandungan air dalam badan ibu.

Aku menjaga ibu sebaik mungkin. Aku tidak tahu bila lagi aku dapat berjumpa ibu. Hari terakhir aku di Malaysia, aku berjumpa ibu di hospital. Ibu banyak meninggalkan pesan kepadaku. Ibu meminta aku mendoakan umurnya dipanjangkan kerana beliau ingin melihat anak anaknya berkahwin. Aku tidak dapat menahan sebak dan menangis dalam pelukan ibu. Kami menangis bersama. Selepas itu aku terus ke airport bersama ayah untuk pulang ke India.

__________________________________________

13.5.18, Salem, India

Pagi ahad itu, aku bangun dan membuka whatsapp. Aku tersentak apabila membaca whatsapp bahawa ibu megalami serangan sakit jantung. Aku pantas menelefon adik ku untuk mengetahu keadaan yang terjadi.

Kata adik, ibu baru lepas menjalani dialisis, dan berada di dalam kereta bersama mereka. Sedang ibu berbual tiba tiba nafas ibu berhenti dan ibu collapse.

Aku tidak berfikir panjang dan terus menempah tiket pulang ke rumah malam itu. Aku membawa luggage kecil berserta jubah hitam milikku. Aku tidak tahu mengapa, tetapi jauh dalam sudut hatiku aku mahu bersedia untuk sebarang kemungkinan

Aku balik seorang diri, ditemani tangisan ketakutan. Aku sangat takut ibu akan pergi meninggalkan aku tanpa aku sempat melihat wajahnya. Sepanjang 12 jam perjalanan (3jam ke airport, 4 jam flight, 2 jam bas) aku merasa sakit perut, mahu termuntah dan terkencing pada masa yang sama. Aku tidak pernah merasa ketakutan yeng begini. Sangat takut.

Apabila aku pulang, ibu dalam keadaan koma. Ibu dipasangkan dengan alat bantuan. Banyak salur salur dipasangkan di tubuh ibu. Tubuh ibu panas. Ibu demam. Keadaan ibu merobek robek jantungku tetapi aku cuba untuk kuat. Aku kuatkan diri untuk ayah dan adik adik. Aku simpan tangisanku. Ibu koma selama 4 hari. Sepanjang masa itu kami menjaga ibu semampu yang mungkin. Di wad ibu, tiada siapa dibenarkan untuk tidur menemani pesakit.

Hari ke 4 itu hari pertama puasa. Aku berasa syahdu. Aku rasa tidak tak mampu lagi. Aku menyediakan sahur buat adik adikku dan ayah dalam keadaan sangat sebak. Aku tidak tahu bagaimana ibu mampu melakukan semua ini. Subuh itu aku melawat ibu bersama adik adik.

Keadaan ibu terasa lain. Kesihatan ibu semakin merudum. Papan elektronik bernombor itu aku analisis sebaik mungkin, cuba mencari hubungan dengan apa yang pernah aku belajar. Petang itu juga, ibu nampak semakin tenat. Pantas aku mencari dr bertugas untuk menerangkan keadaan ibu kepadaku. Penjelasan dr hanya mengecewakan lagi diriku. Dengan tangisan aku capai surah yaasin dan bacakan untuk ibu. AKu angkatkan wudhu untuk ibu, risau kalau kalau itu kali terakhir aku bertemu dengannya.

Aku bersama ayah pulang ke rumah untuk berbuka. Malam itu; 18hb Mei 2018, pukul 2 pagi, jumaat, 2 ramadhan ibu pergi meninggalkan kami.

Begitulah kisah aku, ayah dan adik adik kehilangan ibu yang sangat kami sayangi. Ibu terbaik yang selalu mendahulukan anak anaknya tanpa memikirkan dirinya. Ibu yang permurah dan selalu menolong orang tanpa berkira. Moga Allah mudahkan jalan ibu kepadaNya, dan moga Allah menyayangi ibu lebih dari kami mampu menyayangi ibu. Rehatlah ibu. Kami tahu ibu penat dengan kesakitan ibu. Moga kami dapat jumpa ibu di syurga kelak.
_______________________________________

1.Dan langsung tidak terlintas di fikiranku untuk pergi ke hospital malam itu untuk bersedia dan sebagainya. walaupun hatiku berat mengatakan ibu wouldnt make it through the night. And that is the regret that i will live with forever. Dont need to mock us whatsoever. Asking if kami sempat menghadap ibu tak before dia pergi. Ya, kami tak sempat.. Give us some slack. Im 21, adik adik 20, 19 and 12.

2. Harini, 29 Jun merupakan hari jadi Ibu. Setiap tahun kami pasti serabut dan excited untuk cari hadiah ibu. Nak buat ibu happy dan bahagia. Ibu clumsy sikit so dia misplace hadiah jam kami bagi tahun lepas. 2, 3 hari before dia kena heart attacck, ibu asyik cari mana jam tu. Dia nak pakai. :'( tahun ni kami mampu hadiahkan al-fatihah saja buat ibu.

3. Ibu pergi baru sebulan 12 hari. Dah ramai orang sibuk suruh ayah cari pengganti. Aku faham ayah sunyi. Aku pun nak ayah happy,tak lonely and ada peneman. tapi boleh tak give some respect to ibu. kubur ibu masih merah. Jokes about kahwin lain and so on is not gonna make us feel better. we are not moving on from Ibu’s death yet… nor we ever will. So sedikit kefahaman dan respect sangat dihargai. Cuba letak diri kat tempat kami. simpati. Dan empati. Pls?
Pelik bila sang suami yang pergi tiada siapa berani suruh si isteri cari lain, give her some space and respect. but bila the opposite, lain yang jadi.

5. Doakan arwah ibu saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diberi ganjaran syurga. Jun 1972- May 2018

6. Doakan juga saya mampu menghabiskan pengajian dalam bidang pergigian yang masih lagi berbaki 4 tahun. Arwah ibu mesti nak tengok saya berjaya jadi seorang doktor. Doakan keadaan mental dan fizikal saya dua dua sihat . Hahaha.

Terima kasih kerana sudi membaca.

– Yang selalu jauh

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.