Monday, 25 June 2018

Tak Semuanya Indah

PengakuanKu

Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim. Pertama sekali, tujuan saya confess disini bukanlah untuk membuka pekung sendiri mahupun menunjuk diri hebat atau merendahkan orang lain. Diharap confession saya ini sedikit sebanyak dapat dijadikan iktibar buat semua dan tidak menyinggung hati sesiapa. Bacalah dengan hati dan minda yang terbuka, yang baik datangnya dariNya dan segala yang buruk dari saya yang penuh khilaf.

Saya Lala berumur 26 tahun sudah berkahwin dan punya seorang anak. Saya anak sulung dari 5 beradik, masih punya seorang ayah dan ibu telah pergi menghadap Ilahi. Terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang 26 tahun hidup saya di bumi Allah ini. Saya anggap segalanya ujian dariNya dan pasti ada hikmah yang menanti diakhir nanti. Setelah ibu meninggalkan kami, ayah berkahwin lagi. Ibu tiri kami adalah typical ibu tiri dalam drama Melayu. Perangai ayah juga banyak berubah setelah beristeri baru. Entah dimana silapnya, hubungan antara ayah dan kami adik beradik semakin renggang hari demi hari, terutamanya antara ayah dan saya, mungkin kerana perselisihan pendapat antara saya dan ibu tiri tidak lama dulu.

Setelah berkahwin, saya berhijrah agak jauh dari keluarga. Tidak lama setelah bernikah, saya disahkan hamil dan kemudian lahirlah seorang putera penyeri keluarga kecil kami. Sepanjang hamil dan proses berpantang, ada sedikit liku dan cabaran yang saya lalui. Di usia kandungan saya 8 bulan, suami dibuang kerja kerana kegawatan ekonomi. Saya tidak punya kerja tetap, hanya berniaga online secara kecil kecilan. Jadi sumber pendapatan kami agak terhad sepanjang tempoh itu, dengan keadaan saya yang sedang sarat dan tunggu masa. Memang agak terasa dengan kehilangan sumber pendapatan suami. Alhamdulilah 2 minggu selepas saya melahirkan, suami dapat kerja baru yang lebih baik dari sebelumnya. Sungguh, setiap anak yang lahir itu punya rezeki yang sudah ditetapkan. Janji Allah itu pasti.

Saya tinggal berdekatan dengan rumah mertua, jadi sepanjang proses berpantang saya tinggal bersama mereka. Tidak. Mereka baik dan menerima saya dengan hati terbuka. Tapi adatlah berpantang dengan mertua, bukan semua benda kita senang untuk berkongsi. Sepanjang berpantang, banyak perkara yang saya lakukan sendiri termasuklah menguruskan anak 100% sendirian berhad. Kenapa tak balik rumah bapa sendiri? Bukan taknak balik dan bukan tak cuba balik, seminggu selepas berpantang dirumah mertua saya cuba pulang ke kampung sendiri untuk berpantang disana. Tapi ibu tiri saya awal2 lagi dah ‘lari’ pergi bercuti dengan bapa saya. Tinggallah saya bersama baby dan adik yang masih bersekolah, berpantang sendirian di kampung. Mengenangkan keselamatan dan kesihatan saya dan baby, suami mengambil keputusan untuk membawa saya pulang dan meneruskan proses berpantang dirumah mertua. Semasa check up sebulan, saya terpaksa pergi seorang diri ke klinik kesihatan dan situasi paling sedih ketika di klinik ialah saya terpaksa menyerahkan bayi saya seketika pada seorang ibu yang sedang menunggu giliran kerana terpaksa ke tandas untuk menyerahkan sampel air kencing. Mana suami? Dia baru sahaja mula bekerja tambahan pula dia bekerja di pelantar minyak, jadi tak mungkin untuk dia pulang atau ambil cuti semata mata untuk menemankan saya ke klinik. Ibu mertua? Hehe. Dari awal ibu mertua saya dah cakap, dia akan hantar saja, dah selesai nanti call lah, dia akan ambil dari klinik.

Berpantang tanpa seorang insan bergelar ibu kandung itu tidak mudah. Ya, ibu mertua juga layak digelar ibu, tapi tidak sama perasaan mereka terhadap kita seperti ibu kandung kita sendiri. Banyak perkara yang tak dapat kita kongsikan bersama ibu mertua seperti ibu kandung kita sendiri. Sungguh ketika tempoh berpantang itu rindu saya pada ibu terlalu dalam. Ketika anak menangis tak tidur malam, makin saya rindukan ibu. Kalaulah dia ada, pasti dia temankan saya sama sama menjaga baby.

Tidak lama selepas saya melahirkan, giliran kakak ipar saya pula melahirkan. Ya. Memang berbeza layanan terhadap kakak ipar dan saya dalam tempoh berpantang. Tapi saya tak salahkan mertua, mungkin faktor keselesaan yang menyebabkan layanan itu kelihatan sedikit berbeza. Mungkin dia lebih selesa dengan anak kandungnya sendiri.

Kenapa tak berpantang dirumah sendiri? Saya tiada pengalaman berpantang, suami pula kerja jauh dan tiada dirumah. Dia risaukan keadaan saya jika tinggal berseorangan. Saya anak sulung, tiada kakak atau kakak ipar untuk membantu dalam proses berpantang. Nak upah CL, mampu berhuhu sahajalah, kami tak mampu.

Apa yang cuba saya sampaikan disini, setiap kita punya nasib dan cabaran yang berbeza dalam hidup. Tapi cubalah lihat sudut positif disebalik dugaan tersebut. Jika terlalu dilayan perasaan, memang boleh jadi gila. Jika terlalu dibiarkan jiwa dihimpit stress dan tekanan, memang akan kemurungan. Sebaliknya cuba didik jiwa untuk jadi positif. Cubalah. Dewasa ini, terlalu ramai mereka yang didiagnos dengan masalah mental akibat stress yang tidak diurus dengan baik. Tolonglah didik jiwa sebelum terjerumus kearah depression dan sebagainya. Prevention is better than cure. Elakkan sebelum terkena. Cuba jadi positif.

Dan tujuan saya menulis ini juga adalah untuk memberi sedikit gambaran pada kawan kawan dan adik adik diluar sana, bahawa alam perkahwinan itu tidak sentiasa seperti a bed full of roses. Pasti akan ada ujian yang datang tanpa kita duga. Belajarlah untuk jadi redha, matang dan kuat dalam menempuh liku liku dialam perkahwinan.

Saya tak sempurna, saya juga tak kuat tapi ingat dalam apa jua keadaan kita punya Allah. Mengadulah dan mintalah padaNya. Doalah semahunya. Hanya itu sumber kekuatan saya. Semoga kita semua mampu menempuh ujian yang diturunkan kepada kita. Takkan diuji hamba yang tidak mampu menggalas ujian tersebut. Semoga kita semua terus sabar dan tabah menempuh ujian. Doakan juga keluarga kecil saya terus bahagia dan sejahtera. Sekali lagi maaf andai ada terlanjur kata mahupun tersalah bicara. Maaf kalau penceritaan saya agak bercelaru dan tidak jelas. Saya tidak cerita secara detail, sekadar memberi gambaran kasar. Wassalam.

– Lala

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.