Terima kasih admin jika siarkan tulisan yang tak seberapa ini. Ada benda penting aku nak kongsikan buat wanita-wanita, anak gadis mahupun remaja sekalian. Eh, baca tajuk pun dah panas ke? Sabar. Sebelum itu nak beritahu, tulisan aku ini mungkin ‘berbau’ sedikit kasar. Tapi percayalah, bahawa aku tidak berniat melukakan hati sesiapa pun. Sekadar teguran cuma. Kalau aku tulis ceramah di sini, aku pasti, tiada orang pun akan ambil peduli.
Baiklah. Tengok pada tajuk, mungkin ada yang dah tahu apa yang aku nak kongsikan. Nak ajar cara selfie? Ke nak ajar cili mulut orang yang kutuk gambar selfie kau? Eh bukan. Sebenarnya, aku nak ajak wanita-wanita, anak gadis semua supaya jangan selfie. Jangan salah faham. Boleh selfie, tak ada masalah pun. Yang jadi masalahnya, bila kau letak gambar selfie kau di laman sosial. Oh ya, sebenarnya bukan gambar selfie saja, tapi semua jenis gambar.
Aku tahu, ramai sangat yang tak setuju dengan apa yang selalu aku utarakan. “Eh biarlah dia, gambar dia, suka hati dia la nak letak mana pun”. “Alah, bukan gambar seksi pun“. “Kau cemburu sebab dia lawa kan? “Alah, aku tak cantik pun, kalau letak pun tak ada orang teliur”. “Kau dulu pun sama juga, bersepah gambar kat facebook”. Itu antaranya. Aku nak tegur, tapi akhirnya, aku pula yang kena cili. Sedih.
Sejujurnya, tak pernah terdetik pun aku nak menyibuk atau dengki ke apa. Tapi mentaliti ‘manusia’ zaman kini, bila orang tegur, dikatanya dengki, sibuk jaga tepi kain orang. Tak mengapa, lupakan yang itu. Sebab aku dulu pun suka letak gambar di laman sosial juga. Tapi sampai suatu masa, aku rasa malu dengan diri sendiri. Kenapa perlu tayang diri pada semua orang? Lepas itu, aku padam semua gambar. Rasa malu yang teramat. Aku berubah.
Sekarang, aku nak tanya soalan yang sama pada semua, perlu ke tayang diri di laman sosial? “Alah, tak ada niat apa pun, saja nak kongsi gambar, salah ke? Dah nama pun laman sosial, tempat bersosial, kalau tak kongsi gambar, nak kongsi apa? Hmm. Aku kadang tak terjawab juga kalau disoal begitu. Tapi satu saja nak tanya, tak rasa ke diri kau tu mahal? Tarik nafas. Tepuk dada, tanya iman.
Ada orang bagi alasan. Bahawa gambar yang dimuat naik di laman sosial tu hanyalah untuk kenang-kenangan. Nanti gambar tak hilang. Boleh diterima. Alasan yang logik. Tapi, ada banyak lagi tempat yang boleh simpan gambar. Sebagai contoh, dalam hard disk atau dropbox. Baiklah, kalau nak sangat simpan gambar di facebook, pergilah edit privacy gambar tu, tekan ‘only me’.
Ataupun bukak akaun baru di facebook @ instagram. Pastikan jangan friend atau bagi sesiapa follow. Jadi boleh la kau nak simpan gambar tu dengan selamat. Harap-harap Mark Zuckerberg dan Kevin Systrom tak bubarkan facebook dan instagram. Kalau tak, hilang juga gambar kau tu. Hihi. Yang paling senang, pergilah buat photobook atau apa saja. Asalkan jangan tayang gambar di laman sosial.
Wahai wanita dan anak gadis sekalian, laman sosial ini percuma saja. Orang lelaki yang tengok gambar kau, tak kena bayar pun. Apatah lagi nak simpan gambar kau. Entah-entah, ada yang siap cetak gambar kau buat tatapan sebelum tidur. “Eh kau ni, buruk sangka sangat! Bukan buruk sangka, cuma nak takutkan. Macam zaman kecil dulu, ayah selalu cakap, jangan main/mandi sungai, nanti lemas, mahu.
Kaedahnya sama, bukan? Ayah cakap macam tu, bukannya mahu kau lemas. Cuma nak ingatkan, nak takutkan kau, supaya jangan main terlalu lama. Diri sendiri pun, kau tahu ke apa yang akan jadi esok hari? Okay lah, tak payah esok pun tak apa, beberapa minit akan datang. Kita tak akan tahu. Apatah lagi tentang orang lain. Aku bukan nak ajak berburuk sangka, tapi nak ajak lari sebelum jadi. Pepatah Melayu pun ada kata, ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’. Tak setuju ke?
Baru-baru ini, tunang aku tunjuk mesej dari group whatsApp kawan lama masa degree dulu. Semua lelaki dalam tu. Kami semua satu batch, satu kelas dulunya. Ada seorang ni, dia screenshot gambar perempuan (kawan kami satu batch juga), dan hantar dalam group lelaki, dengan niat untuk mengusik kawannya dalam group tu. Tapi lama-kelamaan, jadi benda lain. Aku malas nak sebut. Ada yang baik sikit konon bagi nasihat sambil bergurau, “Jangan, kawal nafsu tu”. Dan diringi dengan gelak ketawa beramai-ramai. Aku terkilan.
Itu baru satu kes. Aku yakin ada berpuluh, beratus, malah beribu kes macam ni. Kau bayangkan, aku baru saja tengok gambar kawan aku tu di instagram, gambar elok, tutup aurat, tak gedik pun, tiba-tiba dah masuk dalam group lelaki. “Alah, bergurau je pun dengan kawan-kawan, tak payah nak serius sangat”. Betul, bergurau. Tapi kau dijadikan ‘bahan’ gelak ketawa lelaki. Semua ahli group ter‘download’ gambar kau. Tak rasa ke diri tu murah sangat?
Bila jadi kes, gambar kena viral, kena edit yang bukan-bukan. Kau salahkan lelaki. Tapi berapa ramai perempuan yang salahkan dirinya sendiri? Yang tak tutup aurat, yang tutup aurat, yang bertudung labuh, yang berniqab, yang menggoda, yang tidak menggoda, yang seksi, yang tidak seksi, yang masih anak dara, yang sudah bersuami, pun sama saja. Walau berbalut kain 7 lapis pun, aku tetap tak setuju gambar tersebut perlu dimuat naik di laman sosial.
Jenis orang yang macam aku ni la yang selalu kena cili dengan ayat “Aku yang selfie, kau yang panas? Sesuai sangat aku dengan ayat tu kan. Ya, memang panas pun. Sebab aku risau. Aku sayang pada semua. Lupakah kita, bahawa Islam telah mengangkat darjat wanita yang dahulunya ditindas? Rasulullah s.a.w berjuang untuk kita semua. Kenapa kita seolah rela diri direndahkan semula? Mana sifat malu kita? Ya, malu mesti bertempat. Inilah tempatnya. Berhenti serlahkan diri pada mata-mata lelaki yang tidak halal pun bagi kau.
Panjang juga rasanya aku tulis. Bukan rasa diri terlalu bagus. Aku ulang. Sekadar teguran. Sekadar peringatan. Nak setuju atau tidak, terpulang pada diri masing-masing. Nak ikut atau tidak, perlu juga ikut kerana Islam suruh kita jaga pandangan, jaga kehormatan diri. “Alah, artis tu, ustazah selebriti, penuh gambar di media sosial”. Siapa pun dia, seeloknya, sebaiknya, dia perlu jaga kehormatan diri. Firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 31:
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Sebagai orang Islam, kita wajib ikut apa yang sudah jelas disebut dalam al-Quran. Jangan nafikan dengan alasan yang direka sendiri. Bila orang tegur, terima dengan hati yang tenang. Kerana itu sifat orang beriman. Allah berfirman dalam Surah al-Anfal, ayat 2:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal.
Semoga kita semua menjadi orang yang beriman.
– Cik Noni
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment