Saturday, 23 December 2017

Melayu Oh Melayu

PengakuanKu

Sejujurnya, aku malu dengan bangsa aku sendiri. Kadang-kadang aku malu nak mengaku aku Melayu. Komuniti kita terlalu “toxic” kadang-kadang, terlalu kepoh tanpa mengambil cakna terlebih dahulu. Senang cerita, aku listkan aje lah apa yang aku perhatikan daripada bangsa aku sendiri:

1. Melayu yang tindas Melayu

Tak cukup dengan komersilkan produk kosmetik yang membahayakan pengguna, bila orang cuba sebarkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk kesihatan masing-masing, mula lah keluar komen “Melayu tak habis-habis dengan penyakit hasad dengki”. Tak masuk lagi penipuan atas nama testimoni? Reka testimoni semata-mata nak tarik pelanggan? Bab ni boleh lupa halal haram, bab babi dan anjing dalam mana-mana produk haaaa amboiiii kemain semua melatah keluar pucuk silat. Kalau naik teksi pun, kau perhatilah. Pemandu Melayu yang ambil kesempatan lebih atas penumpang Melayu dengan charge lebih.

Percayalah, orang kita lagi prejudis dengan bangsa cina dan india dan lebih takut mereka ambil kesempatan atas kita. Tapi dalam masa yang sama, bangsa kita lagi ramai yang ambil kesempatan atas orang kita sendiri. Kita yang jadi sekam dalam api. Kita sendiri pun kiasu pikir periuk nasi kita sendiri sampai menipu dalam meniaga dan ambil kesempatan atas bangsa sendiri tapi masih lagi tak malu nak tuduh bangsa lain kiasu. Kita takut dengan bangsa lain, tapi bangsa sendiri lagi menakutkan.

2. Double-standard

Recently, kes bunuh diri artis kpop tu. Oh kalau perempuan minat kpop memang habis lah pandang macam berdosa besar ya? Yang lelaki-lelaki Melayu sampai tiga hari beratur panjang beli tiket bola, sampai buat solat sunat hajat, bakar stadium dan bertumbuk semua tu bukan fanatik? Lelaki-lelaki yang turun jumpa Maria Ozawa dekat KL tu tak tergolong kumpulan sama jugak? Hipokrit. Tu bukan namanya double-standard?

Lepas tu, yang bising pasal artis yang bunuh diri tu pun. Yelah, hangpa kpoppers ka, yang nak raih RT pasal kemurungan ka, yang sama naik bash ka. Amboi, bukan main pum pang pum pang bising pasal kemurungan dan kesedaran kesihatan mental. Tapi bila naik isu Iqram Dinzly, boleh pulak buat lawak tentang kunyit. Boleh lagi ambil mudah gelakkan dia. Kadang-kadang aku terfikir mana sifat empati orang Melayu ni. Mana sifat caknanya kalau semua benda nak dibuat modal lawak. Kalau isu tentang artis korea bunuh diri tu hangpa boleh fight, tolong, tolong jangan pandang enteng pasal Iqram Dinzly. Tiada manusia yang waras akan memalukan diri sendiri untuk upload terang-terangan benda-benda lucah yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Tolong, aku merayu untuk kalian semua bangsa aku sendiri untuk didik diri supaya lebih cakna dan sensitif dengan cara kita “react” dengan sesuatu isu yang berlaku dalam komuniti kita sendiri.

3. Mempergunakan tiket agama

Ini memang banyak aku tengok orang kita buat. Daripada guna agama sebagai tiket sebab nak menipu jual insurans, atau menipu jual pakej umrah, sampailah menipu jual produk menggunakan ayat Quran yang boleh menyembuhkan kanser dan penyakit jantung dan sampailah isu kesedaran tentang kesihatan mental pun nak guna sentimen agama “kau ni iman tak kuat” “dia kafir sebab tu senang bunuh diri, iman takde macam tu ah” dan “ah kalau solat cukup 5 waktu tak bunuh diri.”

Waktu tengah naik tentang isu kesihatan mental dan bunuh diri, waktu tu lah guna tiket agama dan isu Palestin. Persoalannya, kenapa orang kita ni bising sangat memperjuangkan isu Palestin tapi bila masuk isu tanah adat orang asli di Malaysia yang dirampas, ramai yang mendiamkan diri? Aku tak tahu lah sama ada orang kita ni, cuma memperjuangkan isu Palestin ni bermusim sahaja ke, atau pun kita cuma nak join trend sahaja ke, ataupun kita memang langsung sebenarnya tak cakna pun hal-hal ni apatah lagi dengan orang asli kita sendiri. Kebanyakan orang kita mungkin cuma nak ambil peluang untuk rasa bagus daripada orang lain sahaja dengan menghakimi orang yang mungkin menyalurkan sumbangan dalam bentuk yang kita tak nampak.

Waktu isu remaja 16 tahun kena rogol, boleh lagi guna tiket agama salahkan perempuan sebab kena rogol tak pandai jaga diri sendiri. Orang kita tak pernah rasa kita sebagai komuniti gagal bekerjasama untuk halang semua ni dari terjadi. Orang kita tak pernah rasa malu bila benda-benda ni berlaku dan rasa “it takes a village to raise a kid”. Apatah lagi bila masuk bab ayah rogol anak sendiri, datuk rogol cucu, bayi kena rogol, kita pandang mudah. Kita rasa lelaki berubah jadi syaitan dan lelaki tak boleh kawal nafsu bila bersendirian dengan perempuan tu normal. Dan yang lelaki, tak pernah rasa terhina bila ramai yang tanpa sedar, dari ayat-ayat yang kita gunakan, menyamakan lelaki sebagai binatang yang hanya tunggu masa untuk muncul bila perempuan tak jaga diri sendiri, bila berada di tempat gelap, bila berseorangan. Kita rasa lelaki melancap itu normal. Berita-berita rogol terlalu banyak sehinggakan kita langsung tak rasa benda ni sebagai barah yang tengah tenat menghidap bangsa kita.

Bukan itu sahaja, bila berlaku isu macam ni, ada lagi manusia-manusia dalam kalangan bangsa aku sendiri yang boleh nak salahkan perempuan sebab tak jaga batas dengan ahli keluarga lelaki sendiri sambil quote ayat-ayat Quran dan ajaran Islam. Itu belum lagi dengan isu gangguan seksual dalam KTM/LRT. Bila berlaku depan mata, ramai yang gelakkan je bila lelaki tu geselkan zakar dia dekat punggung mangsa. Takde pun yang nak bantu tangkap lelaki gila seks tu. Takde. Gelak semata-mata. Isu ragut pun sama. Kita tak terpanggil nak bantu bila berlaku depan mata. Kita pura-pura tak nampak dengan harapan ada orang lain akan bantu. Akhirnya, tiada orang yang kedepan untuk hulur bantuan. Dan mangsa bergelut sendiri dengan peragut sampai cedera.

Dan dalam masa yang sama, kita lagi banyak tuding jari dari ambil sikap proaktif untuk ambil tindakan dan ubah diri sendiri.

Kesimpulannya,
kita yang Melayu selalu bangga dengan zaman kegemilangan Melaka kita dahulu. Kita lupa, kita gemilang sebab sikap terbuka kita dalam belajar mengenai bangsa lain dan dalam belajar perkara-perkara baru yang dibawa oleh pedagang-pedagang luar. Tapi aku tak nampak sikap terbuka daripada bangsa aku sendiri untuk belajar perkara-perkara yang susah bagi mereka nak faham (macam kemurungan dan penyakit mental). Aku tak nampak mana sikap terbuka orang kita untuk didik diri mereka supaya rasa sensitif dengan isu-isu penting dan serius, supaya ambil cakna dan didik diri sendiri dahulu sebelum menghakimi orang lain.

Tak perlu terbuka sehingga kita hilang semua nilai budaya agama kita, tapi perlu sikap terbuka untuk belajar dan didik diri terlebih dahulu tentang perkara yang lain dari apa yang kita dah biasa. Penting untuk terbuka dalam menilai tanpa menghakimi terlebih dahulu. Orang putih kata “it takes a village to raise a kid”, tapi village tu siapa kalau bukan kita lah sebagai satu bangsa, kita yang kena ubah diri sendiri dahulu. Kita sendiri sebagai individu yang kena cabar cara kita berfikir dan handle isu-isu penting dalam komuniti kita dahulu.

Wallahualam.

– Leha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.