Friday, 22 December 2017

Realiti Golongan Lelaki di Malaysia II

PengakuanKu

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih kepada admin sekiranya sudi menyiarkan confession saya ini.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas komen & maklum balas anda semua. Saya juga ingin memohon maaf sekiranya ada yang terasa dan kecil hati setelah membaca confession saya sebelum ini.

Suka saya ingatkan, confession saya bukanlah untuk memburukkan golongan lelaki. Saya tak kata semua lelaki tidak berkualiti. Tidak sama sekali. Masih ramai lelaki berkualiti di Malaysia ini. Alhamdulillah. Yang baik dan berkualiti itu, tahniah untuk anda. Teruskan menjadi lelaki berkualiti sehingga hujung usia anda. Saya tak perlu nak ulas panjang sebab anda sudah berkualiti!

Bagi golongan yang tidak berkualiti ini, kita perlu sama-sama cuba bantu & beri kesedaran, supaya mereka boleh berubah dan menjadi lebih baik. Betul, perempuan pun ramai yang tidak berkualiti. Tetapi saya rasa lebih penting untuk membincangkan isu kualiti golongan lelaki kerana golongan lelaki merupakan pemimpin. Lelaki merupakan ketua keluarga yang perlu mendidik isteri dan anak-anak. Tugas seorang anak lelaki menjaga ibu bapa yang tua sehingga akhir hayat mereka. Lelaki merupakan imam di masjid, memberi ilmu & ceramah. Lelaki juga yang akan memimpin negara. Jadi tanggungjawab lelaki sangat besar. Sebab itu kita perlu tingkatkan kualiti golongan lelaki.

Ada yang mengecam saya kerana penulisan tidak ilmiah. Kepada pembaca budiman sekali, penulisan ada banyak jenis : penulisan ilmiah, penulisan santai, penulisan kreatif dan sebagainya.

Saya tidak menggunakan ‘style’ penulisan ilmiah dalam confession ini kerana target audience (pembaca) saya bukanlah pembaca jurnal/ahli akademik. Penulisan ilmiah mempunyai ‘tone’ yang flat/mendatar, dan mengandungi terma (term) yang janggal/jargon, menyebabkan ramai orang tidak minat nak baca. Target audience saya adalah pembaca IIUM confession yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, jadi penulisan santai lebih sesuai. Dalam penulisan santai, kita akan selitkan unsur ‘humor’, emosi, perasaan supaya pembaca rasa menarik untuk membaca.

Kenapa saya confess dekat sini? Tulis dalam jurnal/kertas kajian sudahlah.

Jawapan saya, sebab saya nak beri kesedaran dan nak sampaikan mesej kepada ramai orang. Berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang membaca jurnal ilmiah? Jadi saya gunakan medium IIUM confession ini sebab ramai pembaca, jadi lagi ramai yang dapat mesej ini.

Apa mesej saya?

Nak beri kesedaran dan nak ajak kita semua terutamanya ibu bapa untuk mendidik anak lelaki dengan baik dan tegas supaya besar nanti mereka jadi lelaki berkualiti. Kerana mereka ini akan menjadi pemimpin, paling kecil pun menjadi pemimpin keluarga. Anak-anak lelaki ini bakal menjadi suami dan ayah. Jadi sangat penting untuk kita membentuk kualiti mereka dari kecil.

Penulisan di page IIUM confession ini agak limited. Tak boleh nak masukkan table of data, pie chart, diagram, graph. Nak masukkan figures pun tak muat, sebab setiap figures/ statistic yang kita tulis kena letak reference sekali (sumber rujukan). Ini merupakan disiplin/adab/etika dalam penulisan ilmiah. Sekiranya saya nak masukkan semua data ini, sebab-sebab, punca-punca lelaki tidak berkualiti untuk memenuhi syarat penulisan ilmiah, boleh jadi setebal thesis PhD 200 muka surat.

Oleh sebab itu, penulisan santai lebih sesuai di sini. Yang penting saya dapat sampaikan mesej yang nak di bawa.

Ok lah, panjang pulak saya membebel. Jadi saya nak sambung lagi golongan lelaki tidak berkualiti di Malaysia. Kepada yang berkualiti itu, tak perlu nak terasa. Tulisan ini adalah untuk membuka mata kita semua tentang realiti golongan lelaki di Malaysia. Saya selitkan satu dua contoh supaya mudah memahami.

6. Golongan lelaki ego setinggi KLCC

Anda pernah tak menegur lelaki? Lepas tu kena sound balik? Ada yang siap dapat pakej makian dan cercaan lagi.

Isteri saya seorang doktor. Jadi dia banyak cerita kisah dia melayan kerenah pesakit. Kadang-kadang dia stress sebab bila tegur pesakit, lepastu kena sound balik. Terutamanya pesakit lelaki, pantang ditegur.

Ada seorang lelaki menghidap penyakit diabetes (kencing manis). Doktor dah nasihat dan tegur supaya jaga pemakanan. Lepas beberapa bulan, pesakit datang balik ke hospital sebab luka di kaki sudah teruk dan perlu dipotong. Bila tanya pesakit, Encik minum teh tarik ke setiap hari? Dia jawab, “isu suka hati aku lah nak minum apa!. Bila tanya isteri dia, “Puan tak tegur suami ke minum teh tarik setiap hari?. Isteri dia jawab, dah puas saya tegur, setiap kali tegur nanti dia marah saya balik.

Kalau sakit tak menyusahkan orang takpelah. Ni nanti kaki kena potong, isteri yang dia selalu marah tu lah yang akan jaga dia nanti.

Itu belum kira lagi golongan yang kita tegur hisap rokok dekat dengan anak-anak kecil. Tak kisahlah anda nak hisap rokok, itu hak anda. Tapi janganlah hisap rokok dekat dengan anak-anak yang masih kecil, kesian mereka. Bila kita tegur, dia marah balik.

Saya pernah mengajar di sebuah universiti. Jadi selaku pendidik, saya banyak kali menegur pelajar saya, lelaki dan perempuan. Apa yang dapat saya simpulkan, pelajar perempuan mudah menerima teguran dan berubah. Manakala pelajar lelaki susah menerima teguran dan susah untuk berubah. Tak tahulah macam mana nak buat lagi.

Orang kata melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi sebab itu penting untuk kita didik anak lelaki dari kecil dengan sifat rendah diri, supaya bila besar nanti ego dia tidak setinggi KLCC. Kadang-kadang ibu bapa ‘treat’ anak lelaki macam raja, semua kerja rumah anak perempuan yang buat. Jadi bila anak lelaki ni dah besar, mereka rasa mereka adalah ‘raja’, orang lain tak boleh tegur mereka. Tak boleh arah mereka buat kerja.

Baru-baru ini berita mengenai mat rempit yang membelasah driver ambulans? Sebab apa, sebab kena tegur. Itu dah tahap ego setinggi Gunung Everest.

Apabila orang lain menegur & menasihati kita, cuba kita turunkan ego, berlapang dada dan menerima teguran tersebut. Jangan cepat melatah & memaki hamun orang lain.

7. Golongan lelaki pemalas & suka ambil kesempatan

Sebelum saya bekerja di universiti, saya pernah bekerja sebagai guru. Jadi faham-faham lah kerja guru melayan pelbagai kerenah pelajar.Selama menjadi guru, saya dapat simpulkan, pelajar lelaki ramai yang pemalas berbanding perempuan (bukan semua).

Homework tiru dan copy paste pelajar perempuan punya, membaca malas, ulangkaji pun malas dan suka ambil kesempatan. Sebab itu universiti di Malaysia lebih ramai pelajar perempuan. Sebab pelajar perempuan rajin berusaha, manakala kebanyakan pelajar lelaki malas, jadi keputusan peperiksaan tidak bagus untuk melayakkan diri masuk ke universiti.

Saya belajar di United Kingdom(UK) selama 7 tahun. 4 tahun degree + 3 tahun PhD. Kebanyakan universiti di UK, pelajar lelaki lebih ramai dari pelajar perempuan. Terbalik dengan universiti di Malaysia. Cuba anda fikir-fikirkan.

Sifat pemalas golongan lelaki yang wujud sejak zaman kecil/sekolah ini terbawa-bawa hingga ke alam perkahwinan. Sebab itu sekarang ini ada golongan suami yang pemalas, cuma mengharapkan pada isteri. (bukan semua)).

Zaman datuk nenek, mak ayah kita dulu, golongan lelaki sahaja bekerja, kebanyakan golongan perempuan duduk di rumah. Jadi wajarlah suami zaman dahulu pulang ke rumah dan terus berehat, manakala isteri yang akan membuat kerja rumah.

Tetapi zaman sekarang, kebanyakan suami isteri bekerja. Jadi sepatutnya kerja rumah, menguruskan anak dilakukan bersama, bukanlah diletakkan pada bahu isteri sahaja. Ada sesetengah suami, bila balik kerja terus berehat duduk atas sofa, melayan handphone atau menonton tv. Isteri yang juga baru balik bekerja kelam kabut di dapur memasak sambil menjaga anak-anak. Sudah pasti sifat pemalas ini telah dibentuk sejak kecil lagi. Sekiranya suami seorang yang rajin, dia akan sama-sama membantu isteri membuat kerja rumah dan menjaga anak-anak.

Ini belum kira lagi golongan suami yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan gaji isteri. Mengambil kesempatan atas kebaikan isteri. Statistik perceraian di Malaysia pada tahun 2016 merekodkan hampir 50,000 pasangan Islam yang bercerai. Ini bermakna, dalam sehari ada 140 pasangan yang bercerai. Antara faktor tertinggi perceraian adalah disebabkan pengabaian tanggungjawab memberi nafkah dari suami kepada isteri. (Sumber : LPPKN, KPWKM)

Kepada suami-suami yang rajin membantu isteri & memberikan nafkah, tahniah diucapkan. Anda memang lelaki berkualiti tinggi!

Oh lagi satu, golongan lelaki yang malas solat. Anda pernah jumpa?

8. Golongan lelaki keyboard warrior

Dalam era teknologi ini, golongan ini makin cepat membiak. Bila timbul apa-apa isu, maka akan muncul lah golongan ini menulis komen. Kebanyakan komen mereka menggunakan perkataan/ bahasa yang kesat & mencarut. Kalau berlawan komen dengan mereka pasti anda kalah. Golongan ini bila berkata-kata atau menulis komen, gajah pun boleh terbang. Cuba anda scroll down dalam ruangan komen, ada tak jumpa golongan ini?

Tak salah nak menulis komen. Tapi gunalah bahasa yang baik. Hampir 90% keyboard warrior yang menggunakan bahasa kesat ini adalah lelaki. Tak percaya, anda boleh lihat & baca komen mereka sendiri.

9. Golongan lelaki bernafsu tinggi.

Cuba check handphone suami/ abang/ adik lelaki/ kawan lelaki, ada tak gambar/video lucah? Kalau takde, alhamdulillah. Kalau ada, orang penang kata punggah!

Kita biasa lihat & dengar, pekerja/pelajar lelaki menuturkan kata-kata lucah, melakukan gangguan seksual kepada pekerja/pelajar perempuan.

Sejak dari zaman sekolah lagi, golongan lelaki didedahkan dengan pornografi. Saya tak nafikan golongan perempuan juga terlibat dengan pornografi, tetapi tidak sehebat golongan lelaki. Kadang-kadang tu, tanpa segan silu, golongan lelaki ini share/ hantar gambar/video lucah dalam whatsapp group.

Macam mana amalan kita (solat/puasa dan lain-lain) Allah nak terima sekiranya setiap hari kita menonton video lucah?

Bagaimana nak didik/pimpin keluarga kita sekiranya otak kita dirosakkan dengan ketagihan bahan lucah?

Itu belum kira lagi golongan pedofilia & pervert yang majoritinya adalah lelaki.

10. Golongan lelaki penunggang agama

Dalam semua kategori lelaki tidak berkualiti, golongan ini paling bahaya kerana menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.

Sibuk memekik poligami itu sunnah, tetapi tanggungjawab pada isteri dan anak-anak ke laut.

Sibuk menghentam orang lain salah, padahal diri sendiri banyak yang tak betul dan tak boleh menerima teguran.

Mempergunakan anak yatim dan pusat tahfiz untuk mengumpul duit untuk poket sendiri.

Menjual produk-produk dengan nama Islam dengan harga tinggi untuk kepentingan sendiri.

Dan macam-macam lagi.

Saya ulang kembali mesej saya,

Nak beri kesedaran dan nak ajak kita semua terutamanya ibu bapa untuk mendidik anak lelaki dengan baik dan tegas supaya besar nanti mereka jadi lelaki berkualiti. Kerana mereka ini akan menjadi pemimpin, paling kecil pun jadi pemimpin keluarga.

Jadi sebab itu penting untuk kita didik anak-anak terutamanya lelaki dengan sifat rendah diri, ringan tulang. Jangan ‘treat’ anak lelaki seperti raja. Didik mereka dengan akhlak dan adab yang baik.

InshaAllah untuk confession akan datang, saya akan berkongsi 12 ciri-ciri lelaki & perempuan berkualiti yang di tulis dalam al-Qur’an. Ciri-ciri ini Allah yang tetapkan dan kita sebagai hamba-Nya perlu cuba memenuhi ciri-ciri tersebut.

Al-Qur’an adalah panduan dan petunjuk bagi kita. Jadi marilah kita kembali kepada Al-Qur’an.

– Mohamad

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.