Hai! Aku si penulis confession “ 12 Hari Yang Panjang ”.
Aku tersenyum sendiri membaca komen-komen anda semua.
Kepada yang memberi komen positif, aku ucap terima kasih banyak banyak.
Kepada yang memberi komen berbaur negatif, aku doakan suatu hari nanti anda memahami apa yang kami ( pesakit mental ) lalui. Perlulah anda si pengomen negatif tahu, bahawasanya penyakit yang kami deritai ini, sungguh membuatkan minda mahupun fizikal kami menjadi sakit.
Aku telah melalui pelbagai penderitaan, kesedihan, kepayahan juga keperitan sejak aku dilahirkan. Namun, aku gagahi, aku kuatkan semangatku untuk terus menongkah kesemua arus itu. Allah itu Maha Penyayang, setiap kali aku berada di dalam fasa kepayahan, pasti bantuan akan tiba. Pasti ada sahaja insan yang ikhlas membantu aku. Aku percaya pada kuasa doa, aku selalu berdoa
“ Ya Allah, bantu lah aku…bantu lah aku…bantu lah hamba-Mu yang lemah ini ”.
Jika dilihat dari luaran, pastinya aku nampak sempurna, gembira, bahagia, malahan ramai yang menganggap aku seorang yang amat bertuah dan pintar. Aku seringkali dijadikan ‘role model’.
Hakikatnya, dalaman aku ini amat ‘fragile’. Momen-momen lalu, peristiwa masa lampau yang telah aku lalui menjadi penyebab aku mengalami ketakutan, kekecewaan dan kesedihan yang tidak terungkap oleh kata-kata. Aku mengalami pelbagai trauma yang amat dahsyat sepanjang perjalanan hidupku.
Aku mengharungi zaman kanak-kanak yang sangat luar biasa. Aku ditinggalkan seusia beberapa minggu dilahirkan, mujur datuk dan nenek mengambil dan membesarkan aku. Beberapa tahun selepas aku tinggal bersama ibu dan bapa, bapa aku yang aku sayangi menghadap Ilahi. Sungguh, aku menyayangi bapa, kerana bapaku seorang yang baik hati , penyayang dan memahami. Saat aku menerima perkhabaran sedih itu, aku terasa dunia terhenti seketika. Aku menangis semahu-mahunya. Konflik-konflik yang timbul selepas bapa meninggal, menambahkan luka di hati kecil ku ini. Datuk dan nenek mengambil dan menjagaku semula, Zaman kanak-kanakku dipenuhi oleh emosi-emosi negatif. Aku pernah dihina, diejek malahan dipukul dan pernah melihat adik aku didera. Ya Allah, betapa beratnya beban perasaan aku ketika itu aku berusia 11 tahun. Aku menangis sendirian. Setiap malam, air mata menjadi peneman sebelum tidur. Kekecewaan aku bertambah, apabila aku gagal melayakkan diri ke asrama penuh akibat keputusan UPSR yang tidak memberangsangkan. 2 tahun aku menangis, aku menangis sebelum ke sekolah. Tidak ada satu manusia pun tahu tangisanku. Aku berkata kepada diri aku “aku pasti boleh berjaya…aku pasti boleh berjaya..aku pasti boleh berjaya”, sambil aku menyapu airmata yang mengalir dipipi dan aku galas beg sekolah dengan penuh semangat. Aku nekad aku ingin belajar bersungguh-sungguh, konflik yang berlaku sekelilingku aku tepis sekuat hati.
Aku melonjak kegembiraan, begitu juga kedua-dua datuk dan nenek aku apabila aku menerima surat tawaran kemasukan bukan ke asrama penuh tetapi surat tawaran ke MRSM. Sungguh aku tidak duga, aku bersyukur ke hadrat Ilahi doaku dimakbulkan.
Diawalnya, aku kekok dengan kehidupan asrama, beramai-ramai begitu aku tidak biasa. Aku janggal bila mana lihat, ibu dan bapa kawan-kawan sekelilingku sungguh mesra. Aku mula merasa sedih dan tertekan. Aku cemburu dengan kebahagiaan yang dikecapi kawan-kawan sekelilingku Aku menangis lagi, menangis sendirian di dalam tandas. Aku, jenis yang suka sendirian. Kemana-mana aku sendirian. Aku boleh berkawan, cuma aku gemar bersendirian. Satu hari semasa aku Tingkatan 4, aku mulai sedar bahawa aku perlu belajar bersungguh-sungguh, aku mahu buktikan bahawa walaupun aku berbeza dengan kawan-kawanku tetapi aku masih boleh berjaya. Datuk aku selalu berkata, dia tahu aku tidak sepandai orang lain, tetapi dia selalu memuji aku ini seorang yang cukup rajin berusaha. Dia selalu percaya bahawa orang yang berusaha, pasti akan berjaya. Nenek aku juga selalu menyebut-yebut “nanti budak yang kau ejek inilah yang akan berjaya”. Aku belajar siang malam, cuti hujung minggu aku habiskan masa dengan prep di dalam kelas. Aku buat nota kecil, peta minda dan latih tubi bagi setiap matapelajaran. Dipendekkan cerita, aku ditawarkan ke program ekspress di satu universiti tempatan. Aku menangis lagi di situ kerana bidang itu tidak serasi dengan aku, aku mahu ke matrikulasi tetapi Ibu membantah, dia hanya membenarkan aku berhenti dengan syarat aku jika aku ditawarkan ke universiti lain. Aku menangis sambil berdoa “ Ya Allah, bidang ini tidak sesuai dengan aku. Berilah aku yang terbaik”. Aku memandang dengan perasaan pilu melihat ramai kawan-kawanku meninggalkanku dan mengikuti program matrikulasi. Sehinggakan kawan sebilikku memujukku “sabar ya, moga-moga tempat awak di Pusat Asasi Sains”. Aku cepat-cepat mengaminkan doanya. Ternyata, doa kawan aku dimakbulkan Allah. Aku berjaya mendapat tempat di sebuah Pusat Asasi Sains di universiti tempatan yang cukup gah. Aku merasa amat sebak saat aku menjejakkan kaki di universiti terulung di Malaysia.
Bermulalah perjuangan sebagai pelajar Asasi. Sungguh aku tidak tipu, silibus cukup mencabar dah melelahkan. Semua subjek diajar oleh pensyarah-pensyarah berpangkat PHD dan Professor. Aku belajar dengan berlipat kali ganda usaha. Di sana, aku hilang berat badan hampir 25%. Kenangan paling pahit aku disana ialah apabila aku diserang acute gastritis pada awal pagi hujung minggu di mana roomate aku home leave. Biarpun pelbagai kesukaran yang aku lalui, aku berjaya menamatkan pengajianku dengan keputusan membanggakan. Alhamdulillah.
Saat yang paling sukar apabila timbul pelbagai konflik keluarga selepas aku tamat Asasi Sains. Aku berdoa supaya dipercepatkan kemasukan ke universiti pilihan aku. Konflik yang berlaku membuatkan aku menangis setiap hari tanpa pengetahuan sesiapa, sehingga aku hilang berat badan lagi.
Aku mendapat tempat di universiti tempatan yang agak ternama. Datuk dan nenek orang yang paling gembira saat itu. Nenek berkata “budak yang kau ejek ni, sudah berjaya ke universiti”. Kata nenek dengan bangga. Setiap semester datuk memberi wang belanja walaupun aku menerima tajaan JPA. Pada awal semester, aku cukup payah untuk menyesuaikan diri. Seperti biasa aku gemar bersendirian. Selepas solat Isyak, selalunya aku akan terus masuk tidur, aku jarang mengikuti atau mengambil tahu aktiviti-aktiviti di kolej kediaman ( asrama ). Kawan-kawanku selalu merungut, “asal aku pergi bilik engkau, pasti engkau dah tidur. Awal sangat kau tidur”. Aku cuma membalas dengan enyuman. Dalam hati aku berkata, “ sebenarnya aku tidak suka bersosial dan aku jenis cepat penat”. Pada tahun pertama aku sebagai pelajar universiti, kami dibahagikan kepada kumpulan kecil dan dipantau oleh seorang pensyarah. Kami diwajibkan menghadiri sesi perjumpaan yang telah dijadualkan oleh pihak Universiti. Aku hadir hanya pada sesi pertama iaitu sesi suai-kenal sahaja kerana aku merasa cukup janggal. Sesi-sesi seterusnya, aku sudah tidak ambil pusing. Suatu hari, selepas kuliah aku memberanikan diri bersua muka dengan pensyarah kumpulan aku. Aku berkata, “ maaf, untuk sesi perjumpaan esok saya tidak dapat hadir. Saya ada urusan peribadi”. Beliau membalas “ setakat ini, kamu baru sekali menghadiri sesi perjumpaan. Sesi ini sangat penting kerana pihak kami mahu memantau prestasi pelajar”. Cepat-cepat aku menjawab “ baiklah”. Dalam hati aku berkata, “ who are u to come into my life!”. Keesokan hari nya, aku tidak juga hadir. Aku memilih untuk tidur dari menghadiri sesi perjumpaan. Aku menghadiri kuliah beliau seperti biasa, mujur pensyarah aku tidak memarahi aku. Satu program telah dijalankan, dimana ia nya mengubah pendirianku untuk hadir ke sesi perjumpaan pelajar-pensyarah. Satu aktiviti yang mana pensyarah mula mengetahui kisah pahitku dan kisah aku telah menyentuh hati beliau. Dalam aktiviti itu, aku menangis hampir 2 jam. Mulai saat itu beliau tidak jemu membantu dan memberi aku semangat. Satu hari selepas kuliah, aku rasa kosong dan sunyi. Aku berjalan ke arah pejabat beliau dan menangis selama satu jam. Biarpun banyak kepahitan yang aku lalui, akhirnya aku berjaya menamatkan pengajianku, malahan aku cukup bangga kerana aku menerima anugerah dekan pada tahun akhir pengajianku. Hati aku direnggut pilu pada hari aku mengenggam ijazah, berlinang air mata aku. Perasaan sebak tidak diungkap. Dalam hati aku berkata “ bapa, ijazah ini untuk bapa”. Bapa saudara dan sepupu aku hadir melihat majlis konvokensyen aku. Saat aku menerima scroll di atas pentas, aku hampir menitik kan airmata. Perasaan aku bercampur baur. Aku amat bersyukur, walaupun aku mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan, dengan izin Allah, sokongan datuk dan nenek juga bantuan dari pensyarah, aku mampu menamatkan pengajian aku.
Dugaan tidak terhenti di situ sahaja. Aku melalui fasa berkeluarga dan berkerjaya dengan penuh jerih dan kepayahan. Sungguh perit untuk aku berkongsi cerita. Buat masa ini, biarlah aku dan Psychologist aku sahaja yang mengetahui derita yang telah dan sedang aku lalui.
Selalu aku menyangka, aku mengalami tekanan/ stress biasa kerana setiap kali ujian melanda, aku mampu bangkit kembali dan menyinar dengan lebih terang. Wahlal sebenarnya, aku mengalami penyakit mental.
Semuanya bermula dengan tema kesihatan oleh WHO pada tahun ini iaitu “Depression, let’s talk”. Pelbagai awareness dijalankan, aku mula tersedar bahawa aku mengalami kesemua simptom-simptom kemurungan sejak aku kecil lagi. Aku terduduk. Aku menjadi takut yang amat, aku takut jika aku dikatakan gila. Satu hari, aku terpilih untuk mendengar talk mengenai kemurungan, yang disampaikan oleh Psychiatrist, Kaunselor, Ustaz dan Occupational Therapist. Dalam masa yang sama, aku diam-diam mengisi borang DASS, ternyata tahap kemurungan aku di peringkat severe depression. Aku hampir mahu menangis. Aku cuba menafikan simptom-simptom yang aku ada hanyalah sekadar tekanan biasa kerana aku masih boleh mengawal kesemua simptom itu dan menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun hakikatnya, aku berpura-pura. Berpura-pura menjadi kuat, gembira dan yakin.
Trigger yang mengheret kaki aku ke Klinik Pskiatrik apabila berlaku sesuatu kejadian di tempat kerja. Aku rasa teramat tertekan sehingga aku hilang selera untuk makan, hatta untuk minum. Kesemua yang masuk ke dalam mulut, aku muntah semula. Aku hilang berat badan mendadak dan badan aku menjadi amat kurus. Namun begitu, aku tetap menafikan aku mengalami penyakit mental. Akhirnya, pada satu malam, perasaan aku sudah tidak tertanggung lagi, aku beranikan diri menghantar mesej ke seorang Psychologist ( sekarang aku menjalani Psychotherapy dengan beliau) bertanya, adakah tekanan tempat kerja menyumbang ke arah kesihatan mental? Dalam masa beberapa jam, dia membalas mesej aku dan dia berharap aku mendapatkan bantuan dengan kadar segera. Bertitik tolak dari itu, aku dirujuk ke Klinik Psikiatrik tanpa pengetahuan sesiapapun. Aku menyimpan rahsia aku dengan kemas kerana aku tahu persepsi masyarakat mengenai penyakit mental.
Aku sudah bertukar ubat kali ke-3. Awalnya ubat kali ke-3 ini tidak sebegitu serasi, maka Pakar Pskiatrik menambah satu jenis lagi ubat bersama-sama pil tidur. Tahu lah aku bahawa ubat yang ke-3 ini merupakan ubat bagi Major Depressive Disorder dan ubat itu adalah ubat untuk Anxiety. 2 minggu pertama aku mengambil kedua-dua ubat itu bersama-sama ubat tidur kerana hampir setiap malam aku mengalami mimpi yang amat menakutkan. Masuk minggu ketiga, perasaan aku mulai stabil dan sehingga kini aku tidak lagi perlu mengambil pil tidur. Alhamdulillah, rentak tidur aku kembali normal.
Dengan ubat-ubatan yang aku ambil dan sesi Psikoterapi yang aku jalani, Alhamdulillah aku mula nampak cahaya di hujung perjalanan yang amat gelap ini. Sesi Psikoterapi memang banyak membantu aku. Syukur aku dikurniakan seorang Psychologist yang cukup memahami dan prihatin. Walaupun aku perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk sesi Psikoterapi, namun aku rasa sangat berbaloi. Beliau mengagumi semangat kentalku kerana aku mampu mengharungi kepayahan dan beban emosi yang amat dahsyat, malahan dia mengucapkan tahniah atas kejayaan dan pencapaian yang telah aku terima. Kini, sudah 6 bulan aku menjalani sesi Psikoterapi dengan beliau dan 5 bulan mengambil ubat-ubatan. Sesi Psikoterapi yang awalnya melalui text-therapy, beralih ke video-therapy melalui Skype, yang awalnya aku sangat kurang berkomunikasi, yang awalnya aku bagaikan patung, kini aku mampu berkomunikasi, menangis dan becerita malahan bergurau senda bersama beliau, Psychologist ku. Jujurnya, memang ada ‘ups and downs’ dan ada masa aku rasa ‘blues’, kata Psychologist ku itu fasa biasa seorang pesakit yang mengalami depression. Beliau memberi maklum balas bahawa aku menunjukkan perubahan yang positif dan dia gembira dengan pencapaianku. Psychologist ku melatih cara aku berfikir, melatih aku menerokai perasaan aku, mengajar ‘coping skill’ dan yang paling penting melatih aku menerima setiap apa jenis perasaan yang aku alami terutama perasaan negatif iaitu sedih dan kecewa. Secara iujur, beban perasaan yang aku tanggung inj mulai terasa ringan.
Itulah kisah liku-liku kehidupan aku, seorang insan yang telah didiagnos menghidapi penyakit mental, iaitu Dysthymia dan C-PTSD. Sekian.
-HNN-
– HNN
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment