Sunday, 31 December 2017

Couple Di IPT

PengakuanKu

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Terima kasih kepada Admin kerana sudi menerbitkan artikel saya kali ini. Pertama sekali, ini merupakan artikel kedua saya dan saya amat berharap agar semua pembaca dapat mengambil ibrah daripada apa yang saya ingin sampaikan. Sengaja saya pilih tajuk seperti ini, semoga masing-masing dapat berfikir sendiri tentang isu yang ditimbulkan. Saya merupakan pelajar tahun tiga UIA, direct intake, dan sekarang tengah sibuk dengan final exam.

Saya ingin membincangkan tentang ‘couple’. Lumrah manusia ingin memiliki pasangan dan suka kepada perhatian. Couple daripada segi konteks masyarakat di Malaysia merujuk kepada pasangan kekasih yang belum memiliki ikatan perkahwinan. Kalau dah berkahwin, istilah couple jarang digunakan untuk merujuk kepada suami atau isteri. Realitinya, banyak artikel-artikel yang ditulis tentang tajuk ini melabel couple sebagai haram. Pada asasnya, hukum jatuh cinta, bertaaruf dan berkenal-kenalan atau seumpamanya adalah HARUS. Akan tetapi, terdapat tindakan atau beberapa keadaan yang boleh menjadikannya HARAM.

Impression pertama saya sebelum menjejakkan kaki di UIA, ada yang cakap dekat sini tak boleh bercouple. Kalau berdua-duaan dekat tempat terbuka macam di cafe mahallah pun akan ditegur oleh akhi dan ukhti. Malangnya, bila dah berada di sini, perkara tersebut jarang berlaku. Bila kawan-kawan sendiri yang bercouple, rasa kekok untuk menegur. Tambahan pula, yang bercouple tu ada title hafiz. Tak semua pelajar di sini berlatarbelakangkan sekolah agama. Jadi, pastinya suasana couple seperti ini akan memberi perspektif berbeza kepada ramai mahasiswa lain. Seolah-olah wujud istilah couple Islamik di IPTA. Bermula daripada merisik nombor telefon, bertegur-tegur di whatsapp, kemudian keluarlah berdating berdua-duaan.

Berkahwin amat digalakkan dalam Islam. Akan tetapi dalam keadaan masing-masing masih belajar, pasti keutamaan adalah pada pelajaran. Couple sampai angau sekalipun, tanpa persediaan dan kewangan yang cukup, takkan ke mana juga. Hanya menambahkan dosa dan menggalakkan kawan-kawan yang lain untuk terjebak sama. Rahimi Muslim(2013) dalam satu artikelnya menjelaskan terdapat lima sebab mengapa couple itu haram.

Pertama, ia menjadi haram apabila pasangan tidak mempunyai niat yang baik. Dalam sesebuah perhubungan istimewa antara seorang lelaki dan wanita seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk berkahwin. Jadi, sebarang perhubungan seperti bercouple untuk berhibur, bersuka-suka dan sebagainya yang tidak bertujuan seperti tersebut adalah tidak harus. Realitinya, budaya couple di IPTA adalah hanya sekadar trend dan majoriti pasangan tidak akan menamatkannya dengan berkahwin. Bila dah clash, hidup menjadi serba tak kena. Akhirnya pelajaran yang menjadi mangsa. Bila dah berada dalam alam pekerjaan, baru sedar bahawa banyak lagi pilihan yang menanti.

Sebab kedua adalah couple tidak mematuhi syariat agama. Lumrah bercouple, pastinya akan ada aktiviti seperti bergurau senda dan berdating. Paling tidak, pasti di dalam bercouple akan berlaku pandangan mata yang tidak harus, perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Kaedah Fiqh ada menyebutkan : sesuatu yang membawa kepada yang haram, maka ia juga menjadi haram. Justeru berdasarkan kaedah ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga adalah haram. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat.

Sebab yang ketiga adalah ia bakal menjatuhkan maruah peribadi seorang wanita. Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita muslimah akan dipersoalkan. Khalayak jarang menyalahkan pihak lelaki yang bercouple, tetapi pihak perempuan yang akan dipersalahkan. Islam amat menitikberatkan penjagaan maruah seorang wanita. Masyarakat akan bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan dirinya diusung(maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut bukan wanita yang baik.

Sebab keempat adalah couple hanya membazirkan wang kepada perkara yang tidak wajar. Dalam budaya bercouple di IPTA, biasanya pihak lelaki akan banyak menghabiskan duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya. Terdapat juga keadaan di mana pihak perempuan yang berbelanja untuk pihak lelaki. Bila bercouple, berlakulah pembelian kad top-up yang keterlaluan hanya kerana call untuk bertanya khabar dan bersenda gurau bagi merapatkan hubungan pasangan. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian. Justeru, penggunaan wang ini kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan.(Rujuk Al-Israa ayat 27)

Sebab kelima adalah perbuatan ini hanya membuang masa kepada perkara yang tidak sewajarnya bagi seorang mahasiswa. Penggunaan masa yang berkesan di IPTA adalah amat penting bagi memastikan kualiti mahasiswa yang dihasilkan adalah bermanfaat untuk masyarakat. Malangnya, masa yang amat terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan sia-sia yang ditegah oleh Allah. Pastinya kita dapat lihat, apabila seseorang memiliki kekasih, masanya dengan pelajaran dan perkara-perkara lain akan berkurangan.

Sebab seterusnya adalah kerana suara wanita adalah aurat dihadapan lelaki-lelaki yang ajnabi sama ada dikhuatiri terjadinya fitnah mahupun tidak. Suara wanita tidak aurat sekiranya masih berada didalam batasan yang digariskan. Suara wanita yang bernada rendah/ mendesak/ merayu/ menggoda/ lembut terhadap ajnabi ataupun didengari oleh ajnabi ianya haram. Haram bercakap dengan nada yang lembut dan mendayu-dayu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud, “Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan.”

Walaubagaimanapun, Islam tidak mengharamkan secara total perhubungan seperti ini. Bertaaruf adalah amat penting sebelum bermulanya proses perkahwinan. Islam tidak menghalang perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka status perbuatan tersebut menjadi Haram serta menjauhkan diri pelaku daripada kasih sayang dan cinta Allah. Semoga artikel ini menjadi peringatan untuk diri sendiri agar tidak terjebak dalam budaya couple.

Jika kita melalui jalan yang haram untuk mendapatkan jodoh, ditakuti hidup kita sesudah itu tidak diberkatinya, perkahwinan kita tidak bahagia bahkan banyak berlaku pasangan yang berkahwin atas dasar cinta ‘separuh mati’ ini berakhir dengan perceraian. Semoga dengan kita mentaati semua perintah Allah, Dia akan menganugerahkan kita pasangan yang baik. Allah berjanji dalam Surah An Nur bahawa wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita baik. Semoga kita mendapat petunjuk dari Allah SWT dalam menjalani kehidupan kita yang penuh dengan ujian ini..

– Syah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.