Sunday, 31 December 2017

Kekuatan Dalam Kesempitan

PengakuanKu

Allah tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan. Tapi kadang-kadang saya benar merasakan tidak mampu atas segala ujian.

Banyak luahan saya baca di sini. Masing-masing dengan ujiannya. Terima kasih jika luahan saya disiarkan. Semoga dijadikan pengajaran.

2017 adalah tahun ujian saya paling hebat. Di sini saya ingin ceritakan bagaimana saya melalui tahun ini dengan hari-hari yang amat sukar setiap hari. Tiada siapa yang tahu kesukaran yang saya lalui, kerana kalau dilihat dari luaran saya adalah seorang perempuan yang berperwatakan ceria kerana sentiasa tersenyum dan amat komited dengan kerja seolah-olah kehidupan saya amat sempurna. Saya amat disenangi oleh kawan sekerja mahupun keluarga. Tapi hakikatnya apabila saya bersendirian, air mata pasti akan bergenang dan belinang. Alhamdulillah atas kekuatan yang Allah berikan selama ini.

Menggalas tanggungjawab menanggung keluarga adalah suatu amanah untuk saya. Kerana amanah itulah yang memakan diri saya. Mungkin berpunca dari saya yang tidak pandai mengurus kehidupan terutamanya kewangan. Selama beberapa tahun yang lalu, saya berusaha mencukupkan segala keperluan keluarga walaupun hakikatnya saya tidak mampu. Demi sebuah senyuman saya akan buat apa sahaja untuk mereka. Sehingga saya berhutang terlalu banyak dengan bank dan pinjaman berlesen. Maka bermula tahun 2017 saya telah tiada gaji lansung kerana gaji saya digunakan untuk membayar hutang sehingga 100%. Saya sabar dan redha mungkin ini ujian untuk saya. Walau tiada sesiapa yang tahu , tapi saya ada Allah yang tahu sengalanya.

Kerana hutang-hutang tersebut saya telah menyertai program AKPK. Pihak AKPK membantu hutang yang berkaitan dengan bank sahaja dan tidak berkaitan dengan pihak pinjaman wang berlesen. Saya mula berusaha menambah pendapatan. Selain itu banyak barang peribadi yang telah saya jual untuk menampung perbelanjaan. Namun, desakan kewangan yang sering tidak cukup telah memaksa saya untuk menambah pinjaman dengan pihak pinjaman wang berlesen sehingga setiap bulan perlu membayar amaun yang amat besar kepada mereka. Tidak cukup dengan itu saya telah meminjam dengan ah long. Saya tersepit dengan segalanya. Tiada siapa yang tahu di sebalik senyum saya setiap hari saya sebenarnya bertarung dengan perasaan.

Saya bernekad untuk berubah untuk membantu keluarga. Saya membuat jualan beberapa produk secara dropship. Dugaan berjualan, kadang-kadang keluarga dan kawan-kawan pun tidak menyokong. Ada yang memandang produk yang saya jual dengan sebelah mata. Saya sedar mereka menggunaakan produk yang mahal sahaja yang dijual di pusat membeli belah. Saya tidak memaksa untuk membeli, tapi jangan lah menghina kawan yang mencari rezeki yang halal. Keuntungan satu produk walaupun hanya RM2.00 amat lah besar nilainya. Ianya lebih baik daripada saya meminta-minta dengan orang dan apatah lagi meminjam dengan ah long yang bunganya amatlah tinggi. Saya tidak mahu manambah hutang dan hanyalah berusaha untuk membayar hutang. Saya telah mengikut beberapa orang perancangan kewangan di media sosial dan cuba mengamalkan apa yang mereka kongsi. Saya buat segala amalan untuk menjemput rezeki. Sehingga sekarang, saya terus berusaha gigih berjualan. Iklan di sana sini, namun mungkin bukan rezeki saya dan saya redha.

Saya bukan lah seorang yang suka meminjam dan meminta , mungkin sebab itula saya membuat hutang selama ini kerana tidak mahu menyusahkan keluarga dan kawan-kawan. Bagi saya, biarlah saya sendiri yang susah daripada menyusahkan orang lain. Namun kerana terdesak sejak kebelakangan ini, saya tiada upaya dan telah meminjam dengan kawan-kawan. Terima kasih kawan-kawan yang telah menghulurkan bantuan selama ini. Ada telah saya bayar dan ada pula tidak kisah jika saya bayar kemudian, mungkin mereka kasihan kan keadaan saya. Saya amat bersyukur, mungkin itu salah satu bantuan dari Allah. Pada tahun ini juga saya telah kehilangan berat sehingga 13 kilo dan banyak yang menegur saya kelihatan sangat kurus . Saya sering tidak sihat dan kadang-kadang saya tidak makan sehingga 3 hari. Saya hanya akan makan jika betul-betul lapar. Saya tetap tersenyum di hadapan keluarga, kawan-kawan dan terus berusaha memperbaiki keadaan.

Namun sehingga hari ini, keadaan saya semakin teruk. Saya tidak dapat untuk untuk melunaskan hutang-hutang dengan pinjaman wang berlesen yang begitu banyak, sewa rumah yang tertunggak, segala bil yang perlu di jelaskan dan makan minum keluarga. Saya hanya mampu untuk memberi mereka makan nasi, telur dan ikan masin dengan hasil jualan yang saya dapat. Saya tidak tahu sampai bila dapat bertahan. Saya segan meminjam dengan kawan-kawan lagi. Saya tidak tahu apa harus saya jual lagi. Kalau saya jual telefon ini, tiada cara lagi saya mencari duit kerana saya menjual barang secara online. Saya amat buntu dan tertekan , apatah lagi dengan tuan rumah dan pihak yang mendesak saya membayar sewa/ hutang/ bil. Saya sedih melihat keluarga saya yang serba kekurangan. Hanya mampu bersabar dan berharap agar l mana- mana pihak berlembut hati tidak mengambil tindakan kepada saya. 2018 yang saya harapkan akan ada sinar dalam kehidupan, sama juga hambar seperti tahun sebelumnya.

Tidak cukup dengan itu , di atas kesusahan saya ada juga pihak yang mengambil kesempatan. Dengan rupa yang saya miliki, ada pihak yang menyuruh saya menjadi perempuan simpanan untuk mendapatkan duit banyak . Ada yang menyuruh menjadi escort girl. Ya Allah, dengan penampilan saya yang bertudung dan sentiasa berpakaian sopan pun di suruh begitu. Ada yang mahu meminjamkan duit sekiranya gambar bogel saya di beri. Biarlah saya hidup susah merempat saya tidak akan jual maruah saya. Sejak kebelakangan ini juga ibu saya telah bersikap dingin dengan saya mungkin kerana tidak mampu memberinya duit lagi seperti dahulu. Saya jadi kemurungan dan ada kalanya seperti saya mahu lari dari segalanya. Dia lah kekuatan saya selama ini, apabila dia tiada saya jadi semakin lemah. Saya berdoa agar hatinya lembut dan memahami keadaan saya sekarang.

Sesungguhnya saya amat tidak kuat melalui semua ini. Dugaan , ujian terasa amat berat. Setiap hari saya berperang dengan perasaan macam mana melalui keesokkan hari. Hari- hari berlalu juga sehingga ke hari ini 31 Disember 2017. Alhamdulillah, saya masih bernafas. Walau pun merasa tidak kuat , tapi disebaliknya ada kekuatan di hati saya iaitu dengan yakin Allah itu selalu ada untuk saya. Semoga menjadi pengajaran semua agar terus kuat, walau dalam keadaan terhimpit teruslah kuat. Mungkin Allah tidak menyelesaikan segala masalah, tetapi dengan memanjangkan masalah itu tanda Dia menyayangi saya. Dia mahu saya terus mendekatkan diri kepadaNya terus meminta hanya denganNya dengan seikhlasnya. Saya yakin ada sinarnya nanti, suatu hari. Pasti.

– Aishah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.