Wednesday, 20 December 2017

12 Hari Yang Panjang

PengakuanKu

Sudah 3 minggu aku tidak dapat tidur malam dengan sempurna. Sejak doktor menaikkan dos ubat dan menambah ubat tidur, jadual tidur aku juga berubah. Setiap malam aku mimpi perkara-perkara lalu dan boleh dikatakan setiap jam aku terjaga dari tidur. Aku mengalami ketakutan, dan trauma masa kecil kembali menyerang minda dan fizikalku.

Semenjak aku mula mengambil ubat anti-depresi, keadaanku semakin bertambah buruk. Namun, aku gagahkan diri untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti bekerja dan bersosial seperti biasa. Tidak ada seorang manusia sekelilingku mengetahui aku mengalami beban emosi yang maha dahsyat. Aku menyimpan rahsiaku ini dengan sangat rapi tanpa dapat dihidu oleh sesiapapun. Luaran aku nampak gembira dan sempurna, hakikatnya dalaman aku hancur sehancur-hancurnya.

3 bulan aku mula mengambil ubat, maka selama itu juga aku mula mengalami kesan sampingan seperti muntah, pening kepala, mulut menjadi kering, hilang selera makan, letih, tidak bermaya, hilang fokus, mudah lupa dan insomnia. Keinginan untuk membunuh diri semakin kuat akibat dari tidak dapat tidur dengan sempurna. Minda ku menjadi amat kusut dan tepu. Fizikalku mula merasa sakit dan sampai satu tahap aku tidak mampu berdiri.

11 Oktober, aku semakin lelah. Aku terasa sungguh lesu dan keinginan untuk menamatkan kesengsaraan ini semakin kuat tetapi kerana masih ada iman, aku mula mencari jalan keluar dari bilik yang amat gelap dan kelam itu. Dengan perasaan ragu, aku bertanya satu soalan mudah ke satu laman FB itu dengan harapan mereka dapat membantuku. Mereka memberi aku sokongan untuk aku ke Jabatan Kecemasan kerana aku sudah ada keinginan untuk membunuh diri. Aku terharu, walaupun mereka tidak kenal aku, tetapi mereka sudi mengambil berat perihal aku. Asalnya memang aku tidak mahu ke Jabatan Kecemasan kerana bimbang di tuduh mengada-ada. Aku mahu menunggu tarikh temujanji yang tinggal lagi hanya satu minggu. Cuma, aku agak kecewa kerana aku sangka laman itu dianggotai oleh Doktor Pakar.

13 Oktober.
Keadaan diri aku semakin parah. Aku langsung tidak boleh tidur pada malam sebelum itu. Aku rasa seperti mahu muntah dan lansung tidak ada keinginan untuk makan. Aku mula rasakan mood aku semakin teruk iaitu aku mula menjadi pemarah dan bengis. Aku sedar. keadaanku sudah kritikal tetapi pada siapa aku mahu luahkan dan minta pendapat? Aku sedikit pun tidak percaya kepada manusia di sekitarku.

Sudah lama aku memerhati satu laman FB ini. Aku kenal laman ini dari seorang kenalan FB aku yang juga menderita sakit seperti aku juga. Aku nekad, pagi ini aku mesti mendapatkan bantuan dari laman ini. Naluri ku kuat mengatakan, laman ini terdiri dari sekumpulan Doktor Pakar. Awal pagi aku mesej ke laman FB ini, tanpa aku duga dalam masa setengah jam mereka membalas mesej itu. Kedengaran jawapan mereka sangat profesional, maka yakinlah aku bahawa yang membalas mesej aku itu ialah seorang Doktor Pakar. Atas sokongan itu, aku mengambil keputusan untuk beranikan diri ke Jabatan Kecemasan.

Di Jabatan Kecemasan, aku cukup kecewa apabila jururawat yang membantu Pegawai Perubatan memandang sinis ke arah ku. Aku tahu apa dalam fikiran dia. Aku rasa menyesal yang amat sangat aku datang ke Jabatan Kecemasan apabila jururawat itu berbisik kepada seorang Doktor Pelatih “ Psy case…psy case…”
Aku hampir-hampir ingin menengking mereka tetapi aku masih waras. Kalau aku mengamuk, sudah tentu mereka ikat dan masukkan aku ke Wad sakit mental. Aku hanya memandang mereka dan berkata dalam hati “What the hell, hinakah psy patient?!”

Petang itu, sekali lagi aku kecewa. Pegawai Perubatan yang menguruskan penyakitku ini seperti marah aku hadir ke klinik tanpa dimaklumkan terlebih dahulu oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan. Aku menunjukkan surat rujukan dari Jabatan Kecemasan. Aku kata “kalau tak nak review takpe, saya boleh balik”. Akhirnya beliau bersetuju untuk review aku. Aku merayu pada Pegawai perubatan itu agar ditukar ubat tetapi beliau tidak bersetuju. Aku kata aku memang sudah tidak tahan dengan kesan sampingan ubat yang ada, otak aku tidak dapat berfungsi normal, aku jadi gila dengan ubat itu. Akhirnya, beliau menukar ke ubat yang lain dan memberi temujanji rawatan susulan. Sebelum aku melangkah keluar, aku mohon untuk berjumpa dengan Pakar kerana aku merasakan hanya Pakar sahaja mampu membantu permasalahanku ini. Pegawai Perubatan itu seperti bengang apabila mendengar permintaanku ini, namun beliau bersetuju dan memberi tarikh temujanji iaitu lagi dua minggu.

Malam itu aku mengambil ubat dan pil tidur yang baru dipreskripsi. Aku terus lena selepas setengah jam kemudian. Malangnya aku terjaga jam 1 pagi. Aku terkebil-kebil memandang siling bilik tidur. Nampaknya ubat-ubatan ini tidak berkesan untukku. Tiba-tiba satu mesej masuk ke Messenger aku. Rupanya pertolongan dari Allah. Seorang Pakar menawarkan dirinya untuk membantu aku. Aku rasa sebak dan terharu. Rupanya aku tidak keseorangan dalam perjuangan untuk mencari kebebasan dari penyakit ini. Aku tidak lagi keseorangan dalam perjalanan yang maha sunyi ini.

14 hingga 25 Oktober merupakan satu perjalanan hidup yang amat kelam yang aku lalui sepanjang 34 tahun hidup di dunia ini. Seolah terperangkap di dalam bilik gelap yang di dalamnya dihuni oleh seorang anak kecil yang sedang menangis teresak sambil menekup mukanya dengan kedua-dua tangannya.
Bilik itu amat gelap sehingga tidak terlihat pintu mahupun tingkap. Bilik yang sunyi, tidak ada sesiapun di sisi nya, yang ada hanya esakan tangis si anak kecil itu sendiri.

Tiga hari aku mengambil ubat-ubatan yang baru dipreskipsi, aku sangka keadaan bertambah baik iaitu aku boleh tidur dengan tenang, rupanya tidak sama sekali. Aku langsung tidak boleh tidur. Memori masa lalu menyerang mindaku tanpa belas kasihan. Kemuncaknya, pada hari Ahad itu, perasaan ingin menamatkan hidup sendiri menjadi begitu kuat. Dan dalam masa yang sama perasaan rindu yang amat sangat terhadap tiga orang insan yang paling aku sayang membuatkan aku benda-benar ingin pergi jauh meninggalkan dunia yang fana ini. Aku terasa seperti ingin menikam diri ku sendiri. Beban yang ditanggung ini sepatutnya perlu dilenyapkan, kata ku kepada diri ku sendiri. Jika tidak Pakar itu membantu dan memberi perhatian terhadap aku, aku rasa aku sudah tidak wujud lagi di dunia ini. Dan pada masa yang sama, seorang individu dari laman FB yang aku mesej pada tarikh 11 Oktober juga sentiasa bertanya keadaan ku.

Aku mula rasakan aku tidak keseorangan dalam perjalanan ini. Setiap kali aku terdetik ingin membunuh diri, setiap kali aku rasakan aku amat penat dengan hidup ini, aku akan maklumkan kepada Pakar itu. Setiap kali aku rasa kosong, setiap kali aku rasa perlukan seseorang untuk berbual, aku akan menelefon individu itu.
Sejujurnya, aku mahu pulih dari penyakit ini sehingga pelbagai cara aku lakukan. Aku sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk sesi Psikoterapi.

23 Oktober aku sudah membuat temujanji bersama Psychologist. Ini merupakan sesi online yang ke-10; 6 sesi text-therapy, 3 sesi video-therapy. Sesi berlangsung secara Skype dan hampir lebih satu jam kerana sepanjang 30 minit aku hanya berdiam diri. Psychologist aku amat bimbang kerana aku hanya berkata “aku ingin mati kerana aku tidak mampu menanggung beban emosi yang amat kuat ini”. Beliau merayu supaya aku bercakap semasa sesi Psikoterapi dijalankan, supaya beliau boleh membantuku. Namun mulut aku seperti terkunci kemas. Perasaan aku ketika itu berkecamuk, emosi aku sangat tercedera sehingga aku tidak mampu untuk menangis.

Sepanjang minggu itu, sudah banyak kali sebenarnya aku mengambil pelbagai jenis ubat tahan sakit dan ubat tidur kerana kesakitan yang amat sangat yang dirasai oleh badan aku. Satu hari, aku maklumkan kepada Pakar itu aku telah mengambil semua jenis ubat tahan sakit yang aku ada di dalam simpananku. Aku mengambil 2 biji Paracetamol, 2 biji Ponston, 2 biji Voltaren dan sebiji Zolpidem. Tidak sampai setengah jam, kepalaku berat dan pening, terus aku pengsan tertidur. Tetapi, 12.30malam aku terjaga dan aku lihat mesej aku di balas.

Minggu pertama aku melalui fasa gelap ini sungguh melelahkan kerana aku menjalankan tugas ku seperti biasa. Aku keliru dengan diri ku, aku mampu membantu insan lain tetapi aku gagal membantu diriku. Aku mampu menenteramkan perasaan pesakit yang dipertanggungjawabkan untuk aku, tetapi sungguh kelakar kerana jiwa aku sendiri cukup tidak tenteram. Aku masih boleh bergelak ketawa, berjenaka tetapi hakikatnya dalaman aku cukup sengsara. Kadang-kadang, dalam suasana yang cukup riuh, aku tiba-tiba tenggelam dalam dunia aku sendiri. Aku memulakan self-care iaitu mendapatkan rawatan body massage di spa, tetapi kesakitan fizikal yang aku alami tidak juga reda. Aku kecewa.

Minggu ke-2, keadaan bertambah rumit. Aku rasa aku tidak mempunyai tenaga lagi, tambahan pula keinginan untuk makan berada pada tahap kosong. Fikiran aku sangat kusut. Aku buntu. Kecederaan emosi aku ini memburukkan lagi keadaan fizikalku. Badan aku menjadi sakit yang teramat sangat. Kalau di tanya pain score, aku boleh berikan 15/10. Mujurlah minggu itu aku sedang bercuti iaitu cuti yang telah dirancang. Pelbagai cara aku lakukan untuk meredakan sakit ini. Psychologist ku berkata “If there is physical pain, perhaps a medical doctor could help with that. If it’s emotional pain, the painkillers won’t work for that”. Aku tidak mahu berputus asa, aku melakukan self-care sekali lagi iaitu melakukan facial dan membeli-belah. Petang Rabu itu, aku mula rasakan satu perasaan yang agak tenang. Beban yang aku tanggung ini mula terasa ringan. Aku sudah mula rasa sedikit gembira. Maka, aku sedar aku sudah berjaya keluar dari bilik gelap itu.

Namun begitu, kesan-kesan kesakitan fizikal masih lagi terasa terutama di bahagian leher, bahu, tulang belakang dan kaki. Kecederaan emosi pula juga semakin terkawal. Aku mengucapkan syukur yang tidak terhingga kerana aku mampu mengharungi fasa-fasa yang cukup getir dalam hidup aku. Aku mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada 3 individu yang telah menyelamatkan nyawa aku, yang telah menarik aku keluar dari bilik gelap itu.

Aku masih perlukan bantuan dari 3 individu yang telah menyelamatkanku kerana bilik gelap itu seolah-olah memanggilku kembali. Bilik gelap itu ibarat seperti magnet yang mahu menarik aku kembali menjadi penghuninya.

– HNN

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

About the Author

PengakuanKu / Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.