Aku nak cerita pasal kes kakak aku. Kakak aku ni dah kahwin dan ada anak satu. Awal bulan lalu, mereka laki bini bergaduh besar pasal tv kat rumah. Kesnya, anak mereka guna penyembur air (yang untuk seterika baju tu) nak sembur kat tv. Abang ipar aku perasan, cepat-cepat dia buang air dalam tu dan bagi semula penyembur air tu pada si anak untuk buat main. Malam tu, kakak aku ambil penyembur air yang kosong tu kemudian isi air sampai penuh. Lepas seterika baju, mungkin dia letak di tempat yang boleh dicapai oleh si anak. Esoknya, si anak ni ambil penyembur air tu kemudian sembur pada tv. Bila si ayahnya buka je tv, meletuplah tv tu. Makanya, bermulalah perbalahan suami-isteri tersebut. Sampai nak cerai ke mahkamah bergaduh pasal tv. Si suami cabar kakak aku untuk ambil boring fasakh di mahkamah.
Mungkin pada malam yang sama itulah kakak aku mesej aku, cakap yang dia dah tak larat nak hidup sebumbung dengan suami. Bila sakit hati, kita akan tend untuk ungkit macam-macam. Kerja rumah semua dia yang buat. Duit nafkah yang company potong tiap bulan, si suami minta semula. Barang-barang dapur kakak aku tanggung. Duit pengasuh bayar sendiri. Peralatan di rumah macam tv, sofa, mesin basuh, katil semua kakak aku yang beli. Anak kadang-kadang suami balik awal, suami tak ambil dari rumah pengasuh. Ada tu lewat malam baru si anak ni dijemput dari rumah pengasuh. Puasa culas. Bila datang ke rumah kami baru solat. Kalau di rumah sendiri, sejadah terbang entah ke mana. Pendek kata, macam-macam lah. Kakak aku mula depress dan selalu marah-marah.
Akhirnya, mungkin sebab suami dah tak mampu nak kawal keadaan, bila kakak aku nak balik rumah mak ayah aku, suami benarkan dan dia sendiri yang hantar kakak aku ke rumah kami. Mereka naik kereta berasingan sebab asyik nak berbalah aje kerjanya. Sebelum sampai ke rumah kami, si suami ajak kakak aku ke DarulSyifa’. Mungkin dia perasan yang perangai kakak aku tu lain macam sikit. Kuat sangat marahnya. Jadi di DarulSyifa’ orang perubatan Islam di sana dah buang jin yang duduk di bawah dada kakak aku. Masa azan maghrib, kakak aku telefon suruh ambil dia di kedai serbaneka di kawasan rumah kami. Dia cakap, ada 2 jin dalam kereta dia, jadi dia takut nak masuk dalam kereta semula. Aku buka telekung balik, pakai tudung, ambil kunci kereta dan jemput dia di sana. Semasa dalam kereta, aku dah mula perasan kakak aku merapu ntah apa-apa. Semua yang dia cakap macam tak make sense langsung. Aku pandang muka mak aku, mak aku pandang aku, dalam hati terdetik, “ape hal pulak ni?lain macam je karekter kakak aku ni.”
Esoknya waktu maghrib, ada tetamu datang ke rumah kami. Rupanya kawan si suami, datang untuk mengubati kakak aku. Dia pegang tengkuk kakak aku daripada belakang sambil baca ayat suci Al-Qur’an, terus kakak aku pengsan. Bila dia pegang lutut kakak, kakak aku menjerit-jerit sakit. Rupanya ada yang dengki hantar sihir kepada keluarga mereka. Kawan ofis aje. Kali ketiga, kami berubat dengan orang yang sama tapi kami ke rumah sewa kakak aku. Kali itu, si pendengki kedua dapat dikenalpasti. Ex-bf kakak aku hantar sihir pembenci dan santau angin. Sejujurnya, aku bukan lah tak percayakan kewujudan jin dan sekutunya. Tapi mungkin perubatan Islam macam ni jarang sangat atau tak pernah kami gunapakai khidmatnya selama ini. Tapi ikhtiar tak salah kan? Mak aku orang medical. Jadinya, dia masih nak refer kes kakak aku ke unit psikiatri. Selepas consultation, para doktor bagi ubat penenang untuk kakak aku yang perlu dimakan sekali sehari.
Pada pandangan mata kasar aku, kakak aku nampak lebih normal berbanding daripada awal dia datang ke rumah kami dahulu. Dah kurang takut. Dah tak terjaga malam-malam. Dah kurang merapu. Dah start buat kerja rumah macam masak untuk anak dan basuh baju. Timeframe untuk semua proses ni (daripada awal datang ke rumah kami sampai consume ubat penenang dan nampak kesan baiknya), memakan masa lebih kurang 3-4 minggu. Dan selama itulah kakak aku cuti dan mak aku arahkan suaminya balik semula ke rumah sewa sebab tak tahan mereka bergaduh. Allah uji emosi kami sekeluarga. Letih fizikal, tenat emosi, penat kerja di ofis pagi sampai petang tak habis lagi, balik rumah kena menghadap satu lagi masalah di rumah.
Dalam discussion antara mak ayah dan kakak aku, mak ayah aku suggest untuk teruskan bercerai sebab nilai tanggungjawab tu memang tak ada dalam diri suami. Lepas tangan. Harap isteri buat semua. Solat dan puasa ntah ke mana. Macam mana rumahtangga nak bahagia? Tiba-tiba kakak aku tak setuju, katanya suami dah pujuk dia untuk kembali bersama. Mak aku cakap, kalau lepas ni berlaku kes macam ini lagi, jangan cari mak. Mengadu masalah pada kita tapi bila orang bagi nasihat tak dengar.
Sejujurnya, apa yang berlaku pada kakak aku sebenarnya bagi impak besar kepada kami. Kepada kakak aku: Bila mak ayah larang kahwin dengan si polan bin si polan, pasti ada hikmahnya. Semua mak ayah hendakkan yang terbaik untuk anak mereka, walaupun anaknya tak mendengar kata. Bila gaduh laki bini, cari mak ayah. Bila tak sekufu dengan mak ayah, mengadu pada suami. Sampai bila nak macam tu? Kalau kita tak boleh menyenangkan hati mak ayah, sekurang-kurangnya jangan menyusahkan mereka. Kepada si suami kakak aku: Belajarlah bertanggungjawab. Tanggungjawab kepada Allah, isteri dan diri sendiri. Nafkah itu tanggungjawab suami. Kalau isteri tak halalkan duit yang isteri keluarkan daripada poketnya sendiri, si suami di kira berhutang sampai hari akhirat. Tak takut api neraka?
– Si Adik lah.sape lagi?
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment